Connect with us

Oh! Media

Doktor Jamak Solat Kerana Pembedahan

Umum

Doktor Jamak Solat Kerana Pembedahan

ADVERTISEMENT
Soalan:
Apakah hukum doktor perubatan menjamakkan solat fardu kerana merawat pesakit atau mengendalikan pembedahan?
Jawapan:
Pada hukum asal, solat fardu hendaklah ditunaikan pada waktunya. Ini berdalilkan kepada firman Allah Taala:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (Surah al-Nisa’: 103)
وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ
Dan dirikanlah sembahyang, pada dua bahagian siang, dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. (Surah Hud: 114)
Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyebut bahagian pertama siang itu bermaksud solat fardu subuh, dan bahagian kedua siang itu merangkumi solat fardu zuhur dan asar. Manakala solat malam pula merangkumi solat fardu maghrib dan isyak. [Rujuk Tafsir al-Qurtubi (9/108-109)]
Pendapat Ulama Silam Tentang Solat Jamak Kerana Sakit Dan Uzur
Dalam mazhab al-Syafie, pendapat yang masyhur lagi muktamad bahawa jamak hanya pada safar yang jauh, ketika hujan dan ketika Hari Arafah. Adapun bagi orang yang sakit maka tidak boleh menjamakkan solat. Ini kerana faktor sakit adalah suatu yang tidak pasti sedangkan penetapan waktu solat adalah suatu yang sabit berdasarkan nas.  Namun begitu Imam al-Nawawi dan beberapa ulama Syafieyyah lain seperti al-Qadhi Hussein, Ibn Suraij, al-Ruyani, al-Mawardi, al-Darimi, dan al-Mutawalli menyokong pendapat yang membenarkannya. [Rujuk Taqrirat al-Sadidah – Qism Ibadat (hal. 322)]
Berkata Imam Ibn Ruslan al-Syafie dalam Sofwah al-Zubad:
في مَرَضٍ قَوْلٌ جَلِيٌّ وقَوِي اختارَهُ حَمْدٌ ويحيى النَّوَوِي
Tentang (jamak ketika) sakit, ada pendapat yang terang dan kuat [Pilihan Hamdun (al-Khattabi) dan Yahya al-Nawawi]
Para ulama ini menyokong mazhab Imam Ahmad bin Hanbal yang membenarkan jamak sekiranya terdapat keuzuran atau masyaqqah (kesukaran). Berkata Imam Ibn Qudamah dalam al-Mughni (2/205-206):
“Tidak diharuskan jamak selain daripada apa yang kami telah sebutkan (seperti musafir, tanah berlumpur, angin kuat, hujan, dan sakit). Berkata Ibn Syubrumah: Dibenarkan sekiranya ada hajat atau suatu urusan, selagi mana tidak dijadikan sebagai adat, berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW menjamakkan solat Zuhur dengan Asar, Maghrib dengan Isya’ tanpa sebab takut atau hujan. Ditanya Ibn Abbas mengapa Nabi berbuat demikian. Beliau menjawab kerana baginda tidak ingin memberatkan umatnya. 
Di sisi kami (Mazhab Ahmad dan Jumhur ulama), hukum diambilkira daripada umum khabar-khabar syarak yang menentukan waktu solat. Hadis Ibn Abbas ini kami tanggungkan ia ketika sakit, dan diharuskan untuk mengambil rukhsah ini orang yang mengalami kesukaran seperti ibu yang menyusukan anak, orang tua yang lemah dan mereka yang seumpama mereka berdua yakni mereka yang sukar untuk tidak meninggalkan jamak. 
Hadis berkenaan juga memiliki kemungkinan bahawa (jika dijamakkan tanpa uzur) adalah dengan solat waktu pertama dilewatkan (tanpa melangkaui waktunya) dan solat kedua diawalkan perlaksanaannya pada awal waktu. Amr bin Dinar meriwayatkan hadis ini daripada Jabir bin Zaidm daripada Ibn Abbas. Amr bertanya kepada Jabir: Wahai Abu al-Sya’tha’! Aku berpendapat bahawa Nabi melewatkan zuhur dan mempercepatkan asar, melewatkan Maghrib dan menyegerakan Isyak. Berkata Jabir: Aku juga berpendapat sedemikian.”
Justeru, di sisi ulama salaf, sebahagian mereka berpendapat bahawa boleh seseorang sakit itu menjamakkan solat. Ini termasuk jua mereka yang memiliki situasi yang sama seperti orang sakit pada kesukaran untuk tidak meninggalkan jamak solat.
Pendapat Ulama Kontemporari
Sebahagian ilmuwan Islam kontemporari memasukkan doktor bedah yang merawat atau menjalan pembedahan yang mengambil masa yang lama ke atas pesakit juga mendapat rukhsah untuk menjamakkan solat.
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga dalam Fatawa al-Mu`asirah (2/584) apabila ditanya hukum menjamakkan solat apabila doktor bedah menjangkakan lama tempoh pembedahan:
“Dia boleh menjamakkan solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak, secara taqdim atau ta’khir, mengikut apa yang mudah baginya. Ini dilakukan secara jamak tanpa qasar berdasarkan mazhab Imam Ahmad yang mengharuskan jamak kerana uzur berdasarkan hadis Ibn Abbas dalam al-Sahih.”
Syeikh Atiyyah Saqr, Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar, dalam fatwanya menghuraikan pendapat Hanabilah ini menyebut:
“Harus bagi pesakit untuk menjamakkan solat jika sukar baginya solat pada waktunya. Begitu juga bagi wanita yang menyusukan anak sedangkan dia keluar darah istihadah kerana mengelakkan sukarnya hendak bersuci pada setiap waktu solat. Serupa jua dengan orang yang menghidapi kencing tak lawas. 
Harus menjamakkan solat bagi orang yang tidak mampu mengetahui awal waktu solat seperti orang buta atau mereka yang tinggal di bawah bumi seperti para pekerja lombong, dan juga mereka yang takut sesuatu yang buruk berlaku pada nyawanya, hartanya, dan maruahnya, atau pun takut suatu mudarat berlaku pada kehidupannya jika dia tidak jamak. Pada demikian itu merupakan satu kemudahan bagi para pekerja yang mustahil bagi mereka untuk meninggalkan tugas mereka bagi menunaikan solat pada waktunya.” [Rujuk Fatawa Dar al-Ifta` al-Misriyyah (9/55)]
Lajnah Daimah Li al-Buhuth wa al-Ifta Arab Saudi dalam fatwa bernombor 20913, 58/112 menyebut: “Doktor yang telah dikhususkan untuk melaksanakan operasi pembedahan perlu meraikan waktu solat agar dilaksanakan pada waktunya. Namun harus baginya pada keadaan darurat untuk menjamakkan solat secara taqdim atau ta’khir seperti Zuhur dengan Asar, Maghrib dengan Isyak, ketika mana datang keadaan darurat. 
Adapun bagi solat yang tidak boleh dijamakkan dengan solat selepasnya, seperti Asar (yakni dengan Maghrib) atau Subuh (yakni dengan Zuhur), maka jika mampu hendaklah solat itu dilaksanakan pada waktunya sekalipun perlu digantikan doktor atau petugas dewan bedah bergilir-gilir dan itu lebih baik. Jika tidak mampu maka tidak ada masalah untuk dilewatkan solat dan digantikan solat itu setelah selesai operasi pembedahan. Ini kerana hal darurat yang diberikan rukhsah pada tempatnya.”
Syeikh Fahd bin Abdullah al-Hazami: “Diharuskan bagi orang sakit untuk menjamakkan solat dalam keadaan hendak dilaksanakan pembedahan ke atasnya sehingga tidak memungkinkan pesakit itu menunaikan solat kedua pada waktunya Justeru siapa yang akan dibedah bermula pada waktu zuhur dan akan selesai selepas maghrib atau sebelum maghrib cuma masih sakit yang tidak membolehkannya menunaikan solat, maka harus bagi untuk jama’ (taqdim) solat zuhur dan asar. Begitu juga harus bagi doktor untuk menjamakkan solat jika berlaku keadaan tadi.” [Rujuk Taqrib Fiqh al-Tabib (hal. 14)]
Syeikh Walid bin Rasyid al-Sa`idan dalam kitabnya al-Qawaid al-Syar`iyyah fi al-Masa’il al-Tibbiyyah (hal. 30): “Harus bagi doktor bedah untuk menjamakkan solat jika dia tidak mampu mendirikan solat pada waktunya dengan sebab sibuk dengan urusan pembedahan.”
Kesimpulan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-54 yang bersidang pada 23 Januari 2003 telah membincangkan Pekerja-Pekerja Islam Di Kilang-Kilang Yang Tidak Dapat Menunaikan Sembahyang Fardhu. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Sembahyang adalah wajib bagi setiap orang Islam yang cukup syaratnya. Sembahyang fardhu hanya boleh dijamakkan jika terdapat keuzuran yang dibenarkan oleh syarak.
Menasihatkan kepada pihak berkuasa agar sentiasa berbincang dengan pihak kilang untuk mencari jalan supaya orang Islam boleh menunaikan sembahyang dalam waktunya.
[Rujuk Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (hal. 42)]
Juga, Muzakarah MKI Kali Ke-49 yang bersidang pada 19 September 2000 telah membincangkan Sembahyang Jamak Kerana Menjalani Rawatan Penyakit-Penyakit Kronik Di Hospital-Hospital Kerajaan/Swasta telah memutuskan bahawa hukum sembahyang jamak kerana rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama seperti menjalani rawatan hemodialisis bagi penyakit buah pinggang dan seumpamanya adalah harus.
[Rujuk Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (hal. 72)]
Kami berpendapat harus hukum bagi seorang doktor bedah untuk menjamakkan solatnya atas alasan kesukaran akibat rawatan dan pembedahan pesakit. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh yang muktabar:
الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ
Kesukaran itu mendatangkan kemudahan pada hukum. [Rujuk Asybah wa al-Nazhair (hal. 76)]
Namun begitu, rukhsah terbabit perlulah diikat dengan dawabit, atau prinsip-prinsip seperti berikut:
• Ancaman kepada nyawa pesakit. Sekiranya doktor itu meninggalkan pesakitnya itu, maka tindakannya itu akan mengancam nyawa atau melambatkan kesembuhan pesakitnya itu.
• Tiada pengganti. Sekiranya terdapat doktor atau ahli perubatan yang boleh menggantikan, maka hendaklah digantikan pada masa solat itu dan tidak boleh dijamakkan. Ini berdasarkan maklumat yang disampaikan kepada kami bahawa sekalipun pembedahan mengambil masa berjam-jam, tetapi ada situasi yang membolehkan doktor bedah mengambil rehat sementara digantikan oleh petugas lain.
Justeru, harus bagi seorang doktor untuk bertaqlid kepada para ulama yang membenarkan jamak solat kerana kesukaran. Wallahua’lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas