Connect with us

Oh! Media

Doa Di Dalam Solat Selain Yang Terdapat Dalam Al-Quran

Umum

Doa Di Dalam Solat Selain Yang Terdapat Dalam Al-Quran

Soalan:
Apakah boleh berdoa di dalam solat dengan doa yang bukan dari al-Quran dan apakah terdapat hadith yang menceritakan sedemikian?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Solat dari sudut bahasa adalah doa dan kita amat dituntut untuk memperbanyakkan berdoa di dalam solat. Berdasarkan soalan di atas, terdapat beberapa buah hadith yang mengisyaratkan bahawa dibolehkan untuk berdoa dengan doa selain yang terdapat di dalam al-Quran. Antaranya:

1. Daripada Abu Bakar RA, bahawa Rasulullah SAW telah mengajarku satu dia untuk aku membacanya di dalam solatku iaitu:

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ
“Ya Allah! Sesungguhnya aku telah banyak menzalimi diriku dan tidak ada yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau. Maka, Kau ampunilah aku dengan keampunan di sisi-Mu serta Kau rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [Riwayat al-Bukhari (6236)]

2. Daripada Aisyah R.anha berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَّلاَةِ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا، وَفِتْنَةِ المَمَاتِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَأْثَمِ وَالمَغْرَمِ
“Adapun Rasulullah SAW berdoa di dalam solatnya (selesai membaca tasyahhud akhir): Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada seksaan kubur, aku berlindung dengan -Mu daripada fitnah al-masih al-Dajjal, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian, serta aku berlindung dengan-Mu daripada perbuatan dosa dan hutang.” [Riwayat al-Bukhari (832)]

Berdasarkan kepada kedua hadith ini, jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW mengajarkan kepada para sahabat-Nya agar berdoa dengan doa yang diajarkan dan doa ini tidak terdapat di dalam al-Quran. Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith doa sebelum daripada memberi salam menyatakan bahawa dibenarkan bagi setiap orang yang mendirikan solat untuk berdoa dengan apa jua doa yang dikehendaki. [Lihat: Fath al-Bari, 2/318]

Persoalan ini juga pernah diajukan kepada Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dan mereka menyatakan bahawa empat mazhab bersepakat bahawa tidak disyaratkan di dalam solat beriltizam dengan nas-nas doa yang warid daripada al-Quran dan juga sunnah. Justeru itu, jumhur ahli feqah menyatakan bahawa dibenarkan untuk berdoa dengan apa jua doa yang meliputi kepentingan dunia dan akhirat. Selain itu, persoalan berdoa dengan selain daripada bahasa arab telah kami jawab di dalam artikel sebelum daripada ini.

Penutup

Kesimpulannya, dibenarkan untuk berdoa dengan doa selain daripada al-Quran dan juga sunnah ketika di dalam solat. Akan tetapi, berdoa dengan apa yang disebutkan di dalam al-Quran dan sunnah adalah lebih baik. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan doa-doa yang diajar oleh Nabi SAW. Amin. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas