Connect with us

Oh! Media

Dibakar Menjadi Abu Kerana Takutkan Allah

Umum

Dibakar Menjadi Abu Kerana Takutkan Allah

ADVERTISEMENT
Diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al Khudri radhiallahu ‘anhu, dia bekata: “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menceritakan mengenai seseorang di zaman dahulu atau orang sebelum kalian telah masuk ke dalam syurga sedang dia belum pernah melakukan kebaikan sedikit pun.
Allah telah mengurniakan kepadanya harta dan anak. Menjelang wafat, dia berkata kepada anak-anaknya: “Hai anak-anakku, bagaimana keadaanku selaku ayah bagi kalian?” Anak-anaknya menjawab: “Engkau adalah sebaik-baik ayah.” Orang tadi merasa dirinya bukan orang baik di sisi Allah (orang soleh), -Qatadah menafsirkan bahawa dia menyangka belum memiliki amalan- hingga dirinya berprasangka jika Allah menakdirkan, pasti Dia menyiksanya.
Kata orang tersebut: “Dengarkanlah (wahai anak-anakku), kalau aku mati, maka bakarlah aku, jika diriku telah menjadi arang, tumbuklah (haluskanlah) aku. Jika angin berhembus kencang, maka taburkanlah abuku dalam angin itu.” Maka sang ayah mengambil janji teguh anak-anaknya, akhirnya mereka melakukan yang diwasiatkan oleh ayahnya.
Lalu (pada hari Kiamat) Allah berfirman: “Jadilah engkau”, tiba-tiba orang itu berdiri tegap. Allah bertanya: “Hai hamba-Ku, apa yang mendorongmu berbuat seperti itu (menyuruh waris membakar jenazah)?” Hamba itu menjawab: “Kerana aku merasa takut terhadap-Mu.” Lalu Allah mengampuninya kerana rasa takut tersebut, padahal dia tidak pernah melakukan perbuatan baik kecuali tauhid (bersaksi bahawa Allah Tuhannya). Akhirnya orang itu berjumpa dengan Allah Taala dengan mendapatkan rahmat dari-Nya.”
(Sahih Bukhari, no. 3219, Sahih Muslim, no. 4952)
Lelaki ini adalah dari golongan orang yang jahil namun rasa takutnya kepada siksaan Allah di akhirat kelak sangat menebal. Dia dikatakan jahil kerana menyangka bahawa sekiranya dirinya dibakar dan menjadi abu, maka Allah tidak akan menyiksanya di akhirat kerana tidak mempunyai jasad seperti biasa. Maka di hari Kiamat Allah menghidupkannya kembali dan menyempurnakan anggota-anggotanya lalu ditanyakan akan hal tersebut (membakar jenazah), maka dia mengatakan berbuat demikian kerana takut kepada Allah. Dengan rahmat Allah, maka Allah ampunkan dosanya asbab rasa takutnya itu.
Namun harus dipelajari bahawa membakar jenazah adalah suatu dosa dan kesalahan kerana bertentangan dengan suruhan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang mengsunnahkan menguburkan jenazah. Selain itu sebuah hadith dari Aisyah radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “(Dosa) Mematahkan tulang orang yang mati sama seperti (dosa) mematahkannya ketika dia masih hidup” (Sunan Abu Daud, no. 2792, Sunan Ibnu Majah, no. 1606, Musnad Ahmad, no. 23596), yakni dilarang menyiksa mayat/jenazah.

Ketahuilah tiada siapa pun yang memasuki syurga Allah dengan amal yang dilakukannya, namun Allah memasukkan seseorang ke syurga dengan rahmat dan kasih sayang-Nya. Maka melalui amal soleh itu hadir kasih sayang Allah, dan melalui rasa takut kepada-Nya akan hadir rahmat-Nya. Wallahu a’lam bissawab.

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas