Connect with us

Oh! Media

Dajjal Hodoh Atau Cantik?

Umum

Dajjal Hodoh Atau Cantik?

SOALAN:
Adakah Dajjal yang akan terbit di akhir zaman itu makhluk yang hodoh atau cantik?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Rasulullah saw telah menceritakan perihal rupa Dajjal yang sebenar dalam banyak hadith.

Antaranya sifat tubuh badan Dajjal ialah bermata buta dan biji mata terjojol keluar dan berbadan pendek dan bertubuh bongkok. Berikut adalah dalilnya:

1. Buta

Dari Abdullah bin Umar r.a Rasulullah saw bersabda:

وإنَّ المَسِيحَ الدَّجَّالَ أعْوَرُ العَيْنِ اليُمْنَى
“Dan sungguhnya Dajjal Al-Masih itu buta matanya sebelah kanan.” [Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dan Ahmad dan Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah]

2. Biji Mata Seperti Buah Anggur Tergantung

Dari Ibnu Umar r.a Rasulullah saw bersabda:

كَأَنَّ عَيْنَهُ عِنَبَةٌ طَافِيَةٌ
“Adalah matanya seperti buah anggur yang tergantung.” [Riwayat Muslim dan Ibnu Hibbban dan Tabarani dan Al-Bazzar dan Al-Haithami dan Az-Zarqani]

3. Badan Pendek

Dari Ubadah bin Somit r.a Rasulullah menceritakan:

إِنَّ مَسِيْحَ الدَّجَّالِ رَجُلٌ، قَصِيْرٌ
“Bahawsanya Dajjal Al-Masih itu lelaki yang berbadan pendek.” [Riwayat Abu Daud dan dikeluarkan juga oleh Tirmizi dan Abu Nu’aim dan Al-Hafiz Ibnu Hajar]

4. Tubuh Bengkok

Dari Abu Hurairah r.a Nabi saw mensifatkan dajjal sebagai berikut:

فإنَّه أَعوَرُ العَينِ، أَجلى الجبْهَةِ، عَريضُ النَّحْرِ، فيه دَفَأٌ،
“Maka bahawasanya Dajjal itu buta matanya dan keningnya lebar dan dadanya luas dan badannya bongkok.” [Riwayat Ahmad dan dikeluarkan juga oleh Imam Ibnu Kathir dan Ahmad Syakir]

Kesimpulannya makhluk yang bermata buta dan biji mata terkeluar dan pendek lagi bongkok bukanlah disifatkan dengan cantik oleh sesiapa jua pun.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas