Connect with us

Oh! Media

Cegah Kemungkaran Raih Keberkatan

Umum

Cegah Kemungkaran Raih Keberkatan

Marilah kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 78-79 yang bermaksud:

ADVERTISEMENT

“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibnu Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh) yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.”

Menurut Tafsir al-Maraghi, Allah SWT melaknat kaum Bani Israil yang terus menerus mengerjakan perbuatan dosa dan mengingkari agama. Ini kerana sudah menjadi tabiat mereka tidak mahu mencegah akan perbuatan mungkar, meskipun ia berbahaya dan sangat keji.

Sedarlah bahawa tanggungjawab membendung kemungkaran ini adalah merupakan tanggungjawab kita semua. Malah ajaran agama mengaitkannya dengan iman seseorang. Hadis darpada Abu Said al-Khudri Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat suatu kemungkaran, maka dia hendaklah mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Perkara yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Sejauh manakah kepekaan kita terhadap maksiat yang berlaku di sekeliling kita? Tahukah kita bahawa Statistik Aduan Mengikut Kesalahan bagi tahun 2018 yang direkodkan oleh Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menunjukkan bahawa kesalahan khalwat adalah kesalahan jenayah syariah paling tinggi dengan jumlah aduan sebanyak 873 diikuti dengan kesalahan persetubuhan luar nikah sebanyak 65 aduan, kesalahan tidak menghormati Ramadhan sebanyak 60 aduan dan kesalahan berjudi sebanyak 49 aduan.

Manakala Statistik Tangkapan Mengikut Kesalahan bagi tahun 2018 pula menunjukkan kesalahan khalwat sekali lagi tersenarai pada kedudukan yang tertinggi dengan jumlah sebanyak 940 tangkapan diikuti dengan kesalahan berjudi sebanyak 80 tangkapan, kesalahan tidak menghormati Ramadhan sebanyak 48 tangkapan dan kesalahan persetubuhan luar nikah sebanyak 37 tangkapan. Persoalannya sekarang adakah kita rela berdiam diri menanti laknat dan celaan daripada Allah SWT? Atau sesuatu perlu kita lakukan? Dan apakah tindakan kita dalam menangani penularan gejala mungkar yang sedang berlaku tersebut?

Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam selaku pihak berwajib di setiap negeri sentiasa komited dan proaktif membanteras perlakuan-perlakuan mungkar yang diadukan oleh masyarakat di luar sana. Namun, usaha-usaha ini tidak akan berjaya jika tidak mendapat sokongan dan kerjasama yang padu daripada kalangan kita semua.

Peranan kita sebagai anggota masyarakat hendaklah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa, memberikan maklumat yang tepat, mengadakan muafakat sesama jiran tetangga bagi membasmi kemungkaran di kejiranan masing-masing, menghidupkan budaya saling menasihati bahkan mengajak kepada kebaikan adalah suatu yang amat dituntut.

Kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat adalah disebabkan kekurangan penerapan nilai-nilai iman dan kelemahan dalam pendidikan terutamanya pembangunan sahsiah. Hal ini sangat berkait rapat dengan peranan yang perlu dimainkan oleh guru-guru di sekolah dan ibu bapa di rumah. Ibu bapa dan guru perlulah menjadi contoh dan qudwah hasanah iaitu ikutan yang baik kepada anak-anak dan para pelajarnya. Tidak mungkin remaja yang soleh dan baik lahir daripada pendidiknya orang yang melakukan kemungkaran. Peribahasa Melayu mengatakan, “Bapa kencing berdiri, anak kencing berlari.”

Hakikatnya, semua pihak memainkan peranan tersendiri dalam usaha mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Inilah intipati daripada firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 71 yang perlu sama-sama kita berikan perhatian:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Disinilah pentingnya masyarakat untuk memahami bahawa tanggungjawab mencegah kemungkaran supaya ianya tidak menjadi barah dalam masyarakat yang merebak dan sukar dibanteras. Inilah rahmat yang dijanjikan oleh Allah kepada mereka yang sentiasa melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Cita-cita kita adalah mengimpikan negara, negeri, masyarakat, keluarga dan diri kita bebas daripada sebarang kemungkaran terhadap Allah SWT. Segala tanggungjawab ini tidak hanya terbeban kepada pihak tertentu dan berwajib sahaja, sebaliknya ia suatu kewajipan ke atas setiap manusia yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Semoga usaha-usaha ini akan membina suasana yang kondusif dan aman dengan berpaksikan persekitaran yang soleh untuk mencapai matlamat Baldatun Taiyibatun Wa Rabbun Ghafur.

Firman Allah Ta’ala:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selamalamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha mengetahui.” (Al-Nur: 21)


Oleh: Jabatan Agama Islam Selangor
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas