Connect with us

Oh! Media

Cara Bayar Hutang Kepada Pemiutang Yang Meninggal Dunia

Umum

Cara Bayar Hutang Kepada Pemiutang Yang Meninggal Dunia

Soalan:
Jika pemiutang meninggal dunia dan kita berhutang dengannya dan membayar hutangnya secara ansuran dengan mendepositkan ke bank pemiutang. Bagaimana cara terbaik untuk terus membayarnya. Adakah dengan setiap bulan disedekahkan dengan niat bagi membayar hutang dan disedekahkan bagi pihak si mati atau membayar kepada waris mengikut kaedah faraid?
Cara mana yang terbaik? Mohon penjelasan.

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Hukum membayar hutang adalah wajib. Kegagalan menjelaskan hutang disebabkan oleh kelalaian atau ketidakmahuan penghutang adalah satu perbuatan berdosa.

Niat untuk membayar hutang dengan benar-benar ikhlas terhadapnya merupakan salah satu daripada sikap yang amat mulia dan bertanggungjawab. Kami berdoa semoga ia termasuk dalam hadis Nabi SAW:

مَا مِنْ أَحَدٍ يَدَّانُ دَيْنًا ، فَعَلِمَ اللَّهُ أَنَّهُ يُرِيدُ قَضَاءَهُ ، إِلاَّ أَدَّاهُ اللَّهُ عَنْهُ فِي الدُّنْيَا
“Tidaklah seseorang yang berhutang dan Allah mengetahui bahawa dia ingin melunaskannya, kecuali Allah akan memudahkan untuk menyelesaikannya di dunia.“ [Riwayat al-Nasa’ie (6239), Ibn Majah (2408) dan Ahmad (26299)]

Daripada Abdillah bin Ja’far R.Anhuma, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ مَعَ الدَّائِنِ حَتَّى يَقْضِيَ دَيْنَهُ
“Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang berhutang sehinggalah dia melunaskan hutangnya.” [Riwayat Ibn Majah (2409)]

Ibn Batthal berkata: “Iaitu orang yang berhutang yang berniat untuk melunaskan hutangnya, makanya jika kuat kehendaknya untuk melunaskannya, insya Allah, Allah akan menolongnya dalam menyelesaikan hutang yang dihadapinya.”
(Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Batthal, 10/119)

Justeru, berdasarkan dua hadis di atas, hendaklah seseorang itu ketika berhutang, dengan niat yang baik dan azam yang tinggi untuk melunaskannya. Nescaya, dia mendapat pertolongan Allah.
(Lihat Taudhih al-Ahkam, 4/456)

Harta yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya akan menjadi milik waris yang ditinggalkan. Ini jelas sepertimana yang dinyatakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ مَاتَ وَتَرَكَ مَالاً فَمَالُهُ لِمَوَالِي الْعَصَبَةِ
“Barangsiapa yang meninggal dan meninggalkan harta, maka hartanya itu adalah untuk wali asabah.” [Riwayat al-Bukhari (6745)]

Dalam pembahagian harta pusaka di dalam Islam, hutang penghutang terhadap si mati adalah termasuk dalam definisi harta pusaka. Ulama mendefinisikan harta pusaka sebagai semua yang ditinggalkan oleh si mati daripada jenis harta, hak dan manfaat. Hutang adalah harta si mati yang dipinjam dan wajib dikembalikan semula kepada ahli waris sebagai harta pusaka kerana pemilikan si mati sudah beralih kepada para waris. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/344-347)

Dalam isu ini, wajib kepada penghutang untuk membayar hutang tersebut kepada ahli waris si mati kerana hutang tersebut telah menjadi sebahagian daripada harta pusaka. Harta si mati telah beralih pemilikan dengan sendirinya menjadi milik waris sesudah ketiadaan si mati. Oleh itu, hutang tersebut tertakluk kepada pembahagian faraid yang telah ditetapkan oleh syarak.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan bagi isu ini ialah, hutang penghutang kepada si mati wajib diserahkan kepada waris si mati yang tinggal. Ini kerana harta milik si mati yang ditinggalkan selepas kematiannya akan beralih pemilikan kepada ahli waris yang tinggal. Harta tersebut perlu untuk dibahagikan mengikut bahagian faraid yang ditetapkan oleh syarak. Namun begitu, sekiranya penghutang mahu menghadiahkan dan menyedekahkan pahala kepada si mati, penghutang boleh sahaja menggunakan hartanya sendiri untuk disedekahkan dan diniatkan pahalanya kepada si mati.

Begitu juga, jika sekiranya yang berhutang tidak mampu menemui pemberi hutang kepadanya, sama ada terputus hubungan atau tidak dapat dikesan atau kerana kematian dan juga tidak diketahui warisnya, kami syorkan hendaklah diwar-warkan dahulu melalui media sosial moden masa kini dan juga melalui akhbar. Jika sekiranya masih lagi tidak dapat dikesan, maka hendaklah diserahkan kepada Baitul Mal.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman dan pencerahan kepada kita semua dalam melayari kehidupan dengan syariat Islam yang sebenar. Amin.

Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas