Connect with us

Oh! Media

Bolehkah Menjawab Azan Ketika Dalam Tandas?

Umum

Bolehkah Menjawab Azan Ketika Dalam Tandas?

Soalan:
Sewaktu saya masuk ke dalam tandas kebetulan azan dilaungkan. Apakah perlu saya menjawabnya?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Mengikut sesetengah pendapat melaungkan azan merupakan fardhu kifayah dan ini berdalilkan hadis Nabi S.A.W yang memerintahkan untuk mendirikan azan. Perintah ini menunjukkan fardhu kifayah seperti seruan jihad dan azan merupakan syiar Islam. Diriwayatkan Imam Bukhari di dalam Sahihnya sabda Nabi S.A.W:

وَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ
Apabila tibanya waktu melakukan solat maka bangunlah salah seorang daripada kamu untuk melaungkan azan. (Sahih Bukhari: 6008)

Pendapat yang rajih disisi Hanabilah adalah sunat muakkad begitu juga pendapat asoh Syafiiyyah dan mengikut jumhur ulama hukum melaungkan azan adalah Sunnat ketika solat fardhu dan fardhu Kifayah ketika solat Jumaat. (Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah: 2/358)

Begitu juga dalam hal menjawab azan Syeikh Muhammad Zuhaili menukilkan di dalam kitabnya hukumnya adalah sunnat sama ada dalam keadaan suci ataupun tidak, termasuk juga dalam keadaan haid atau berjunub. (Al-Muktamad Fi Al-Fiqh Syafii’: 1/190)

Hadis riwayat Imam Bukhari daripada Abi Said Al-Khudri sesungguhnya Rasullullah S.A.W bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ ما يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ
Apabila kamu mendengar seruan (azan) maka jawablah seperti yang dilaungkan Muazzin. (Sahih Bukhari: 611)

Larangan menjawab azan

Berkenaan dengan persoalan di atas kami datangkan perbahasan berkenaan hadis Nabi S.A.W tidak menjawab salam ketika menunaikan hajat. Hadis riwayat Imam Muslim daripada Ibnu Umar R.A:

أَنَّ رَجُلاً مَرَّ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَبُولُ فَسَلَّمَ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ‏
Seorang lelaki ketika melewati dan Nabi S.A.W ketika itu sedang menunaikan hajat lalu ia memberi salam dan Baginda S.A.W tidak menjawabnya.

Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini berkata: Makruh berkata-kata serta berzikir ketika sedang menunaikan hajat sama ada ketika di padang pasir atau di dalam binaan. Ini termasuk juga berkata-kata dalam hal yang lain melainkan dalam keadaan yang darurat sahaja. Selain itu apabila bersin tidak perlu menjawab Alhamdulillah ketika berada di dalam tandas. Juga tidak perlu menjawab salam dan menjawab azan. (Futuhat al-Rabbaniah ala Al-Azkar Al-Nawawiyah: 1/221).

Ini bagi menjaga kesucian nama Allah S.W.T begitu juga apa yang dilakukan Nabi S.A.W dengan menanggalkan cincinnya yang tertera nama Allah S.W.T sebelum menunaikan hajat. Daripada Anas bin Malik R.A:

كَانَ رَسُولُ اَللَّهِ ‏- صلى الله عليه وسلم ‏-إِذَا دَخَلَ اَلْخَلَاءَ وَضَعَ خَاتَمَهُ
Sesungguhnya Rasullullah S.A.W apabila memasuki bilik air Baginda akan menanggalkan cincinnya. (Bulugh Al-Maram hadis No. 93)

Selain itu dibenarkan untuk mengqada jawab azan setelah selesai menunaikan hajat atau bersama isteri seperti yang dinyatakan Imam Al-Nawawi di dalam kitabnya:

وَيُسْتَثْنَى مِنْ هَذَا الْمُصَلِّي وَمَنْ هُوَ عَلَى الْخَلَاءِ وَالْجِمَاعِ فَإِذَا فَرَغَ مِنْ الْخَلَاءِ وَالْجِمَاعِ تَابَعَهُ
Dikecualikan daripada hal ini (menjawab azan) bagi orang yang solat dan yang berada di dalam tandas serta melakukan jimak, apabila sudah selesai daripadanya (menunaikan hajat dan jimak) maka ikutilah ia (menjawab azan). (Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab: 3/118)

Begitu juga dibenarkan untuk menjawab azan di dalam hati ini seperti yang dinyatakan Imam Al-Nawawi:

فإن عطس فحمد الله تعالى بقلبه ولم يحرك لسانه فلا بأس، وكذلك يفعل حال الجماع
Sekiranya bersin maka ucapkanlah Alhamdulillah di dalam hatinya dan tanpa menggerakkan lidahnya ianya hal itu tidak mengapa. Begitu juga jika dalam keadaan berjimak. (Futuhat al-Rabbaniah ala Al-Azkar Al-Nawawiyah: 1/221)

Kesimpulan

Menjawab kepada persoalan yang diajukan hukum menjawab azan adalah disunatkan kepada setiap mukallaf yang mendengarnya. Adapun sekiranya ketika berada di dalam tandas ulama melarangnya serta makruh menjawabnya ini bagi menjaga syiar atau kebesaran nama Allah S.W.T dan merupakan salah satu daripada adab-adab memasuki tandas. Selain itu kita boleh qadanya selepas selesai menunaikan hajat ataupun menjawabnya di dalam hati.

Wallahua’lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas