Connect with us

Bolehkah Harta Pusaka Dibahagi Sama Rata Tanpa Ikut Faraid?

Umum

Bolehkah Harta Pusaka Dibahagi Sama Rata Tanpa Ikut Faraid?

SOALAN:
Boleh atau tidak harta peninggalan si mati dibahagi secara rata dalam kalangan adik beradik tanpa mengikut faraid?

JAWAPAN:
Ilmu faraid pada Syarak bermaksud pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/273)

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا
“Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).” (Surah al-Nisa’: 7)

Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Begitu juga hadith-hadith Nabi SAW berkenaan isu ini. Antaranya ialah, Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
“Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.” [Riwayat al-Bukhari (6351)]

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/284-286), antara lain menyebut: “Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan.

Ia merupakan syariat Allah yang Maha Bijaksana dan Terpuji. Ia memelihara kepentingan semua orang. Walau bagaimana sekalipun manusia merasakan pandangan mereka lebih baik, namun undang-undang Allah SWT tetap merupakan undang-undang yang terbaik.

Allah SWT berfirman:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ ۚ وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١٣﴾ وَمَن يَعْصِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُّهِينٌ
“Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.” (Surah al-Nisa’: 13-14)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami tegaskan bahawa apa yang Allah putuskan sudah tentu mempunyai hikmah tersendiri. Terkadang-kadang tercapai oleh akal kita dan kadang-kadang di luar jangkauan akal kita. Justeru, amat perlu seseorang memahami apa yang telah diputuskan oleh Allah.

Kami cadangkan perkara pertama apabila berlaku kematian, mulakan dengan urusan yang membabitkan harta si mati mengikut apa yang telah ditetapkan oleh para ulama’. Antaranya:

• Gunakan harta tersebut untuk penyelesaian berkenaan dengan urusan pengebumian si mati.

• Sebarang bentuk hutang yang ditanggung oleh si mati hendaklah diselesaikan terlebih dahulu.

• Sebarang bentuk acara ibadat membabitkan harta yang belum dilaksanakan oleh si mati hendaklah dilaksanakan dahulu seperti badal haji, zakat, nazar dan lain-lain.

• Jika si mati pernah berwasiat berkenaan hartanya seperti ingin berwakaf atau memberi kepada seseorang, maka hendaklah dilaksanakan. Tetapi jangan melebihi satu pertiga daripada jumlah nilaian harta.

• Selepas selesai semuanya, maka barulah harta tersebut berhak dibahagi mengikut faraid yang telah ditetapkan oleh syarak.

• Sebelum membahagikan secara sama rata, hendaklah dilakukan secara faraid terlebih dahulu, dan kemudian masing-masing berhak untuk tanazul atau mengurangkan haknya dengan pembahagian secara sama rata. Ini kerana selepas dimiliki, maka menjadi milik sepenuhnya oleh seseorang itu. Justeru, berhaklah ia untuk bertindak membahagikan kepada kaum keluarganya yang lain.

• Kami juga cadangkan supaya pembahagian pusaka dilakukan secepat mungkin supaya tidak timbul kematian ahli waris yang lain pula sebelum diberikan hak kepada mereka. Ini sudah pasti akan menyukar dan menyusahkan untuk pembahagian dan kadang-kadang membawa kepada ketidakadilan dalam pembahagian. Hal ini juga menyebabkan pembahagian terpaksa dibuat secara beberapa lapis yang dikenali sebagai hukum munasakhah.

Akhir kata, suka kami tegaskan, ramai dalam kalangan kaum keluarga pada asalnya sanggup untuk pembahagian sama rata, tetapi selepas itu dek kerana sesuatu perkara, merasa tidak puas hati dan berlakulah tuntutan demi tuntutan sehingga membawa ke mahkamah.

Semoga jawapan yang kami kemukakan ini mendapat perhatian yang sewajarnya dalam berinteraksi dengan harta pusaka atau peninggalan si mati. Kami berdoa kepada Alah, semoga Allah sentiasa menunjukkan kita ke jalan yang benar dan diredhai-Nya:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
“Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top