Connect with us

Oh! Media

Bisikan Syaitan Supaya Menceraikan Isteri

Umum

Bisikan Syaitan Supaya Menceraikan Isteri

Soalan:
Saya memohon pandangan tentang apa yang berlaku di antara saya dan suami. Suami saya pada suatu malam meluahkan kegusaran dia selama ini, dengan berkata; “Semenjak abang nikahi awak, abang terdengar bisikan untuk mentalakkan awak.” Apakah jatuh talak selepas daripada penceritaan itu?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Dalam membincangkan persoalan ini, kami akan menjawab tentang masalah lafaz talak dan masalah bisikan yang didengari.

Kami mulakan dengan menerangkan tentang lafaz talak. Sighah (bentuk) lafaz talak secara asasnya terbahagi kepada dua iaitu:

  • Sighah talak Sarih: Iaitu talak yang dilafazkan dengan lafaz yang sememangnya masyhur dengan talak, seperti lafaz talak sendiri, perceraian, dan apa-apa perkataan yang sama erti dengannya.
  • Sighah talak kinayah: Setiap perkataan yang dilafazkan akan mengandungi makna talak dan makna lain.

Selain itu, para fuqaha’ tidak hanya berbincang dalam perbahasan lafaz ini daripada sudut bentuk yang dilafazkan. Turut dibincangkan tentang hal yang lebih luas seperti syarat-syarat sahnya untuk menjadi mutalliq iaitu pelafaz talak. Maka dalam hal ini dibincangkan bagaimana keadaan orang yang menyebut lafa talak. Apakah tujuan dia menyebutkan, samaada untuk pengajaran, penceritaan atau tujuan lain. Oleh itu disebutkan talak secara ikhbar atau penceritaan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili:

يُشْتَرَطُ بِالاتِّفَاقِ القَصْدُ فِي الطَّلَاقِ: وَهُوَ إِرَادَةُ التَّلَفُّظِ بِهِ، وَلَا يُشْتَرَطُ فِي هَذَا الرُّكْنِ إِلَّا تَحْقِيْقَ المُرَادِ بِهِ، فَلَا يَقَعُ طَلَاقُ فَقِيهٍ يُكَرِّرُهُ، وَلَا طَلَاقُ حَاكٍ عَنْ نَفْسِهِ أَو غَيْرِهِ؛ لِأَنَّهُ لَمْ يَقْصِدْ مَعْنَاهُ، بَلْ قَصَدَ التَّعْلِيْمَ والحِكَايَةَ، ولَا طَلَاقُ أَعْجَمِيٍّ لُقِّنَ لَفْظَ الطَّلَاقِ بِلَا فَهْمٍ مِنْهُ لِمَعْنَاهُ. وَلا يَقَعُ طَلَاقُ مَرَّ بِلِسَانِ نَائِـمٍ أَوْ مَنْ زَالَ عَقْلُهُ بِسَبَبٍ لَمْ يَعْصِ بِهِ، وَيَلْغُو
Disyaratkan secara ittifaq (persepakatan para ulama’) al-qasd (niat) dalam talak. Iaitu keinginan untuk melafazkan dengan (perkataan) talak (dengan makna asal iaitu penceraian). Tidaklah disyaratkan al-qasd sebagai rukun melainkan untuk menentukan makna dari lafaz yang disebutkan itu. Tidak jatuh talak apabila seorang faqih (orang yang alim dalam fiqh) mengulang-ulang perkataan talak, dan tidak jatuh talak kepada orang yang menceritakan ke atas dirinya (kerana menceritakan semula lafaz talak orang lain) kerana tidak memaksudkan dari lafaz talak itu, pada makna asalnya, bahkan (faqih) tujuan menyebut lafaz talak untuk pengajaran, dan (orang yang menceritakan) tujuannya adalah untuk menceritakan. Tidak jatuh talak ke atas orang ajam (bukan bangsa arab) yang menyebut lafaz talak tanpa memahami maknanya. Tidak jatuh talak jika disebutkan orang yang sedang tidur, atau orang yang hilang akal (dengan sendiri) tanpa melakukan maksiat, maka (perkataan talak itu) dianggap sia-sia (tidak dijatuhkan hukum).
[Rujuk kitab al-Fiqh al-Islami wadillahtuhu (9/6886)]

Selain itu, kami juga ingin menyentuh masalah bisikan yang dialami seperti mana disebutkan di dalam soalan. Kami dapati masih ramai masyarakat di luar sana, yang diuji oleh Allah SWT dengan hal-hal seperti ini. Hal-hal seperti ini tidak boleh dipandang enteng dan dibiarkan berlarutan. Sesungguhnya masalah terdengar bisikan atau disebutkan di dalam bahasa arab sebagai hadith al-Nafs. Hal ini telah disebutkan di dalam hadith sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لأُمَّتِي عَمَّا وَسْوَسَتْ أَوْ حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ بِهِ أَوْ تَكَلَّمْ
Sesungguhnya Allah mengampunkan umatku terhadap apa-apa yang dibisikkan kepada mereka dari perasaan was-was, ataupun monolog-monolog di dalam diri mereka selama mana mereka tidak melakukannya atau berkata-kata. [Riwayat Al-Bukhari (6664)]

Jelas, bahawa bisikan atau suara-suara yang didengari itu tidak memberikan apa-apa kesan dan tidak dikira selagi mana tidak dilafazkan dengan kata-kata atau perbuatan.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan nas dan hujah di atas, kami berpendapat secara hukumnya, talak tidaklah terjatuh kerana penceritaan semula. Ini kerana ketika suami yang bertanya menyebut lafaz itu dengan niat bercerita, bukanlah untuk melafazkan talak ke atas isterinya.

Untuk merawat masalah yang berkaitan dengan bisikan-bisikan, marilah kita mengamalkan amalan-amalan seperti membaca ayat suci al-Quran untuk mengelakkan dari gangguan syaitan serta bisikan-bisikan yang hadir untuk meragukan manusia. Antaranya, dengan mengamalkan surah al-Nas yang di dalamnya terdapat ayat yang memohon perlindungan daripada keraguan di dalam jiwa:


بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ ﴿١﴾ مَلِكِ النَّاسِ ﴿٢﴾ إِلَـٰهِ النَّاسِ ﴿٣﴾ مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ ﴿٤﴾ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ ﴿٥﴾مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ ﴿٦

Selain itu, kami cadangkan juga untuk membaca doa-doa sebagai memohon kebaikan dan kebahagian di dalam rumah tangga, seperti:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا فِيهَا وَخَيْرَ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا فِيهَا وَشَرِّ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ
“Ya Allah, aku pinta daripada-Mu kebaikannya, kebaikan yang terdapat padanya dan kebaikan yang dikirimkan bersamanya. Aku berlindung dengan-Mu dari keburukannya, keburukan yang terdapat padanya dan keburukan yang dikirim dengannya” [Riwayat Muslim (899)]

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang baik segala apa yang disyariatkan Allah SWT. Amin.

Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri
+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas