Connect with us

Oh! Media

Bersumpah Untuk Melariskan Perniagaan

Umum

Bersumpah Untuk Melariskan Perniagaan

Soalan:
Apa hukum seseorang itu suka bersumpah sekalipun tidak benar untuk melariskan perniagaan?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تُطِعْ كُلَّ حَلَّافٍ مَّهِينٍ
“Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya).” [Surah al-Qalam (10)]

Al-Maraghi berkata: “Engkau tidak dibenarkan mengikut orang yang banyak bersumpah, sama ada dengan hak atau batil. Bagi orang yang berdusta, mereka menyembunyikan kelemahan dan kehinaannya di hadapan yang hak, dengan sumpah palsu yang sengaja diada-adakannya terhadap Allah SWT. Ini menunjukkan dia tidak sedikit pun berasa takut kepada Allah SWT. Pendustaan adalah punca segala kejahatan dan sumber segala kemaksiatan. Oleh itu cukup besar larangan bagi orang yang biasa bersumpah, kerana menjadikannya sebagai pintu segala keburukan dan pangkal segala keaiban.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7155-7156)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Lebih berat lagi pengharamannya, jika pengeliruannya itu dilakukan dengan bersumpah bohong. Nabi SAW melarang keras para peniaga memperbanyakkan sumpah dengan nama Allah SWT secara umum iaitu dalam keadaan benar, dan bersumpah bohong dalam keadaan yang tertentu.” (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 438)

Rasulullah SAW bersabda:

الْحَلِفُ مُنَفِّقَةٌ لِلسِّلْعَةِ مُمْحِقَةٌ لِلْبَرَكَةِ
“Bersumpah itu memang melariskan barang dagangan, tetapi dia menghilangkan keberkatan.” [Riwayat al-Bukhari (2087)]

Ibn Hajar berkata: “Hadis ini menjelaskan berkenaan sumpah dusta sekalipun bertambah pada harta yang diperolehi, tetapi ia menghilangkan keberkatan.” (Lihat Fath al-Bari, 4/316)

Antara sebab Nabi SAW membenci sumpah dalam jual-beli, kerana sumpah itu adalah alat orang hendak memperdayakan pembeli, di samping menyebabkan lenyapnya perasaan membesarkan nama Allah SWT daripada hati, khususnya apabila sering kali dilakukannya.

Semoga Allah SWT memberikan kita sentiasa mengikut ajaran Islam yang sebenar dan menjarakkan kita daripada segala bentuk kemungkaran termasuklah sumpah dusta atau sikap suka bersumpah. Amin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas