Connect with us

Bersedekah Sebelum Mati

Umum

Bersedekah Sebelum Mati

Al-Quran menyebutkan angan-angan manusia yang suka menunda-nunda amal soleh di dunia sehingga datang kematiannya seandainya diberi kesempatan hidup kembali dirinya akan bersedekah dan menjadi orang soleh. Allah berfirman:

وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ
Dan belanjalah sebagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang di antara kamu lalu dia berkata: “Ya Tuhanku, sekiranya Engkau mahu menunda (kematian)ku sedikit waktu lagi maka aku akan bersedekah dan aku akan termasuk orang-orang yang soleh.” (Al-Munafiqun: 10)

Kenapa mayat menyebut tentang mahu bersedekah dan tidak pula amal yang lain?

Berkata para ulama: “Tidaklah seorang mayat menyebutkan ‘sedekah” kecuali kerana dia melihat besarnya pahala dan balasan baiknya setelah dia meninggal dunia..”

Perkara yang paling menyelamatkan seseorang di akhirat adalah iman. Dan sedekah adalah bukti kebenaran iman. Rasulullah saw bersabda:

والصدقة برهان
“Sedekah adalah bukti.” (Hadith Muslim)

Imam Nawawi menjelaskan: “Yakni bukti kebenaran imannya. Oleh kerana itu sedekah dinamakan demikian kerana ia merupakan bukti dari kebenaran imannya.”

Sedekah dapat membebaskan pelakunya dari siksa kubur. Rasulullah saw bersabda :

‏إن الصدقة لتطفىء عن أهلها حر القبور
“Sedekah akan memadamkan api siksaan di dalam kubur.” (Hadith Tabarani)

Pahala sedekah yang dikeluarkan seseorang akan terus mengalir kepadanya walau ia sudah berada di liang kuburnya. Rasulullah saw bersabda:

“Apabila anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah pahala amalnya kecuali tiga perkara; salah satunya, sedekah jariyah.” (Hadith Muslim)

Sedekah juga boleh menyelamatkan pelakunya dari jilatan api neraka. Rasulullah saw bersabda :

اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ
“Pelihara dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan setengah buah kurma, jika tidak ada maka dengan berkata yang baik.” (Hadith Bukhari)

Sedekah itu walaupun sedikit merupakan perisai untuk menjauhkan kita dari api neraka. Semakin banyak sedekah, semakin jauh kita darinya.

Sedekah yang dikeluarkan seseorang akan menaunginya di akhirat. Rasulullah saw menceritakan tentang 7 jenis manusia yang mendapat naungan di hari kiamat yang tidak ada naungan lain selain dari naungan Allah di hari itu. Salah satunya adalah:

رجل تصدق بصدقة فأخفاها، حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه
“Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” (Hadith Bukhari)

Dalam hadith lain :

كل امرء في ظل صدقته حتى يقضى بين الناس
“Setiap orang berada dibawah naungan sedekahnya hingga diputuskan hukum di antara manusia.” (Hadith Hakim)

Marilah kita perbanyakkan bersedekah sebelum kematian datang kepada kita. Wallahu a’lam.

+ Ustaz Azhar Idrus (Original)

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top