Connect with us

Oh! Media

Berbual Ketika Khutbah Jumaat

Umum

Berbual Ketika Khutbah Jumaat

SOALAN:
Ada sesetengah orang yang datang ke masjid pada hari Jumaat masih berbual seperti biasa sekalipun khatib sudah membaca akan khutbah. Apakah hukumnya perbuatan orang tersebut?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Antara perkara yang disuruh ketika khatib membaca khutbah ialah diam sekelian yang hadir kerana mendengarnya. Berbual atau bercakap ketika itu adalah dilarang dan termasuk perbuatan yang keji. Dan orang yang bercakap-cakap ketika khutbah dibaca tidak akan mendapat keampunan Allah sebagaimana disebut dalam hadith.

Imam Abu Daud meriwayatkan dalam kitab Sunannya bahawasanya Rasulullah saw bersabda:

“من اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَلَبِسَ مِن أَحْسَنِ ثَيَابِهِ وَمَسّ مِنْ طِيبٍ – إِنْ كَانَ عِنْدَهُ – ثُمّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَلَمْ يَتَخَطّ أَعْنَاقَ النّاسِ، ثُمّ صَلّى مَا كَتَبَ الله لَهُ، ثُمّ أَنْصَتَ إذَا خَرَجَ إِمَامُهُ حَتّى يَفرُغَ مِنْ صَلاَتِهِ، كَانَتْ كَفّارَةً لِمَا بَيْنَهَا وَبَيْنَ جُمُعَتِهِ التّي قَبْلَهَا
“Barangsiapa mandi pada hari Jumaat kemudian memakai pakaiannya yang paling elok dan memakai wangian jika ada, kemudian datang ke masjid dalam keadaan tidak melangkah tengkok manusia, kemudian solat sunat, kemudian diam apabila Imam sudah keluar sehingga selesai solatnya nescaya adalah ia menjadi kafarah bagi dosanya antara Jumaat tersebut dengan Jumaat yang lepas.”

Berkata para fuqaha’:

يَنْبَغِي لِلْقَوْمِ أَنْ يُقْبِلُوا عَلَى الْإِمَامِ وَيَسْتَمِعُوا لَهُ وَيُنْصِتُوا، وَالِاسْتِمَاعُ هُوَ شَغْلُ الْقَلْبِ بِالِاسْتِمَاعِ وَالْإِصْغَاءِ لِلْمُتَكَلِّمِ. وَالْإِنْصَاتُ هُوَ السُّكُوتُ
“Sepatutnya bagi orang-orang itu berhadap kepada Imam dan menuntut dengarkan Imam dan tidak berkata-kata. Maksud menuntut dengar itu ialah menyibukkan hati dengan mendengar dan memberi perhatian kepada khatib yang berkata.”

Imam Malik dan Ahmad dan Bukhari dan Muslim dan Abu daud dan Nasaie dan Ibnu Majah ada meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah saw bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ: أَنْصِتْ، يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ
“Apabila kamu berkata kepada kawanmu ‘diam olehmu’ ketika khutbah Jumaat sedang disampaikan maka sesungguhnya kamu telah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia.”

Dan pada riwayat Imam Ahmad:

ومن تكلم فلا جمعة له
“Dan siapa yang bercakap maka tiadalah Jumaatnya.”

Maksudnya ialah Jumaat itu tidak sempurna tetapi Jumaatnya telah sah yang menggugurkan tuntutan wajib. Hukum ini berlaku ke atas orang yang berkata ‘diam’ atau ‘senyap’. Maka bagaimana kalau berbual-bual?

Telah berkata Syeikh Abdullah Harari: “Maka apakah sangkaanmu pada orang yang berbual pelbagai cerita dan kisah yang berlaku pada sesetengah hadirin ketika khutbah disampaikan? Apakah anggapanmu dengan orang-orang yang menganggu orang lain atau meliarkan orang ramai? Maka barangsiapa mengharapkan pahala dan ganjaran Allah dengan kedatangannya itu hendaklah dia diam.”

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas