Connect with us

Benarkah Fadhilat Membaca Surah Al-Qadr Yang Tersebar?

Umum

Benarkah Fadhilat Membaca Surah Al-Qadr Yang Tersebar?

Soalan:
Saya telah membeli DVD ceramah yang disampaikan oleh seorang ustazah. Beliau memberikan syarahan berkenaan ganjaran bagi mereka yang sesudah mengambil wudhu’ membaca surah Al-Qadr. Katanya, barangsiapa yang membaca surah al-Qadr selepas mengambil wudhu’ maka Allah SWT akan mengampunkan 40 ribu dosa besar yang pernah dilakukan, jika tidak ada dosa besar yang tertinggal lagi, maka Allah SWT akan mengampunkan 40 ribu dosa besar jiran bersebelahannya. Adakah benar dakwaan penceramah tersebut?

Jawapan:
Melalui isu ini, telah beberapa kali kami menjawabnya menerusi panggilan telefon. Isunya adalah berkenaan fadhilat membaca surah al-Qadr. Terdapat beberapa fadhilat yang mahsyur di dalam kalangan masyarakat berkenaan kelebihan membaca surah al-Qadr ini.

Di antaranya adalah seperti berikut:

مَنْ قَرَأَ سُورَةً إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ يُكَفِّرُ ذُنُوبَ أَرْبَعِينَ سَنَةٍ
“Sesiapa yang membaca surah al-Qadr selepas berwudhu’ (kesan wudhu’), maka akan diampunkan dosa selama 40 tahun.”

مَنْ قَرَأَ سُورَةً إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ عَلَى أَثَرِ الوُضُوءِ مَرَّةً وَاحِدَةً, أَعْطَاهُ اللّه تَعَالَى ثَوَابُ خَمْسِينَ سَنَةِ صِيَامِ نَهَارِهَا وَقِيَامِ لَيْلِهَا, وَمَنْ قَرَأَهَا مَرَّتَيْنِ أَعْطَاهُ اللّه تَعَالَى مَا أَعْطَاهُ الخَلِيلُ وَالكَلِيمُ وَالحَبِيبُ وَالرَّفِيعُ, وَمَنْ قَرَأَهَا ثَلَاثَ مَرَّاتٍ يَفْتَحُ اللّه تَعَالَى لَهُ ثَمَانِيَةُ أَبْوَابِ الجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا مِنْ أَيُّ بَابٍ شَاءَ بِلَا حِسَابٍ وَلَا عَذَابَ?
“Barangsiapa yang membaca sekali surah al-Qadr selepas berwudhu’, Allah SWT akan menganjarkan sebanyak 50 tahun pahala berpuasa pada siang hari dan berqiyam pada malamnya, dan barangsiapa yang membacanya dua kali maka Allah SWT akan memberi ganjaran kepadanya seperti Allah SWT memberi kepada Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Muhammad dan Nabi Isa. Barangsiapa yang membaca tiga kali, Allah SWT akan membuka 80 pintu syurga dan dia akan memasukinya melalui mana-mana pintu yang dikehendaki dengan tanpa dihisab dan diazab.”

مَنْ قَرَأَ إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ عَلَى أَثَرِ الوُضُوءِ مَرَّةً وَاحِدَةً كُتُبٌ مِنْ الصَّدِيقَيْنِ, وَمَنْ قَرَأَهَا مَرَّتَيْنِ كُتُبٌ مِنْ الشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحَيْنِ, وَمَنْ قَرَأَهَا ثَلَاثَ مَرَّاتٍ يَحْشُرُهُ اللهُ يَوْمَ القِيَامَةِ فِي مَحْشَرِ الأَنْبِيَاءِ
“Sesiapa yang membaca surah al-Qadr selepas berwudhu’ sekali, maka akan dikumpulkan bersama orang-orang yang benar, barangsiapa yang membacanya dua kali akan dikumpulkan bersama orang-orang yang syahid dan soleh, dan barangsiapa yang membacanya tiga kali maka akan dikumpulkan di hari akhirat bersama kalangan Nabi-nabi.”

  • Kata Imam al-Ajluni di dalam kitab Kashful khafa’ menyatakan khabar ini tidak mempunyai asalnya.
  • Kata Imam as-Sakhawi, membaca surah al-Qadr selepas wudhu’ tidak ada asalnya dan tidak tergolong dalam perkara sunnah (rujuk Kitab Maqasid Hasanah, m/s 664).
  • Kata Sheikh al-Amiri al-Ghozi menyatakan bahawa khabar ini tidak ada asasnya (rujuk Kitab al-Jaddu al-Hasis fi Bayani ma Laisa bi Hadis, m/s 234).

Maka kesimpulan daripada ketiga-tiga fadhilat ini, kami berpendapat bahawa ia adalah khabar yang palsu dan tidak ada asalnya daripada hadis Nabi SAW yang sahih.

Adapun begitu, amalan membaca surah al-Qadr selepas mengambil wudhu’ menerusi kitab-kitab ulama’ syafieyah ada menyatakan ia termasuk sebagai perkara-perkara sunat, namun tidak dinyatakan fadhilat yang khusus berkenaan pembacaan tersebut. (rujuk Taqrirat as-Saididah fi Masail al-Mufidah, m/s 93).

Membaca surah al-Qadr merupakan sebahagian daripada kandungan al-Quran. Fadhilat membaca al-Quran juga dapat difahami melalui umum Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A.

Sabda Nabi SAW :

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لاَ أَقُولُ الْم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan yang ألم itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” [Hadis riwayat al-Tirmidzi, no. 2910, beliau menyatakan bahawa hadis ini adalah hadis hasan]

Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top