Connect with us

Oh! Media

Bahasa Arab Bahasa Syurga?

Umum

Bahasa Arab Bahasa Syurga?

Soalan:
Apakah status hadith ini?
أَنَا عَرَبِيٌّ وَالْقُرْآنُ عَرَبِيٌّ وَلِسَانُ أَهْلِ الْجَنَّةِ عَرَبِيٌّ
“Aku seorang arab, al-Quran di dalam bahasa arab dan lidah (bahasa) ahli syurga adalah bahasa arab.”
Jawapan:
Bahasa Arab merupakan bahasa al-Quran dan ia dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi bahasa untuk dibaca oleh hamba-Nya dalam memahami sifat Kalamnya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
“Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.” (Yusuf:2)
Berdasarkan soalan di atas, hadith di atas diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath (9147) daripada sahabat Nabi SAW iaitu Abu Hurairah RA. Di sana juga terdapat riwayat yang lain juga daripada Imam al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (11441) dan al-Mu’jam al-Awsath (5583) daripada Abdullah bin Abbas R.anhuma iaitu:
أُحِبُّ الْعَرَبَ لِثَلاَثٍ: لِأَنِّي عَرَبِيٌّ، وَالْقُرْآنُ عَرَبِيٌّ، وَكَلَامُ أَهْلِ الْجَنَّةِ عَرَبِيٌّ
“Aku mencintai arab kerana tiga perkara: Kerana aku adalah arab, al-Quran di dalam bahasa arab dan ucapan ahli syurga adalah bahasa arab.”
Antara ulama yang menilai hadith ini:
• Imam al-‘Uqailiy (322 H) menghukum riwayat Ibn Abbas sebagai munkar dan tiada asal baginya. [Lihat: al-Dhu’afa’ al-Kabir, 348/3]
• Imam Ibn al-Jauzi (597 H) menghukum hadith ini sebagai palsu di dalam kitabnya. [Lihat: al-Mawdhu’at, 41/2]
• Imam al-Zahabi (748 H) menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: Mizan al-I’tidal, 103/3]
• Imam al-Sakhawi (902 H) menilai hadith ini sebagai dhaif tetapi riwayat Abu Hurairah RA ini lebih kuat berbanding riwayat Ibn Abbas R.anhuma. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 64]
Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa hadith berkaitan bahasa ahli syurga adalah bahasa arab merupakan hadith yang terlalu dhaif walaupun dikatakan riwayat Abu Hurairah RA adalah lebih kuat atau sahih berbanding riwayat daripada Ibn Abbas R.anhuma tetapi kedua jalur ini terdapat perawi yang bertafarrud dalam meriwayatkan hadith tersebut.
Tambahan pula, tidak terdapat hadith yang sahih pada menyatakan bahasa yang akan digunakan oleh ahli syurga. Akan tetapi, pendapat yang menyatakan bahasa arab adalah bahasa ahli syurga datang daripada generasi selepas daripada Nabi SAW.
Penutup
Kesimpulannya, bahasa yang akan digunakan ahli syurga tidak diketahui kerana tidak ada dalil yang sahih dan jelas dalam isu ini. Maka, kami mengambil pendirian untuk bertawaqquf dalam isu ini. Akhirnya, semoga Allah SWT memasukkan kita semua ke dalam syurga-Nya di akhirat kelak. Amin.
Wallahua’lam. 
Ustaz Dr. Zulkifli Al Bakri

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top