Connect with us

Oh! Media

Bahana Antarabangsa! 5 Konsert Yang Pernah Menjadi Kontroversi Di Malaysia

Oh! Tidak

Bahana Antarabangsa! 5 Konsert Yang Pernah Menjadi Kontroversi Di Malaysia

Konsert ataupun pertunjukkan nyanyian sudah semestinya menjadi salah satu parkara yang menjadi kegilaan ramai orang, tidak kiralah di dalam negara mahupun luar negara. Ia akan lebih menjadi menarik apabila Hero dalam konsert tersebut merupakan seorang yang dikenali dan digilai oleh ramai orang. Sudah semestinya orang ramai akan bertungkus-lumus untuk mendapatkan tiket bagi menyokong selebriti kesayangan mereka.

ADVERTISEMENT

Walaupun terdapat beberapa selebriti antarabangsa yang datang ke Malaysia untuk menawan hati peminat di sini, tetapi terdapat juga kejadian yang mana tercetusnya kontroversi melibatkan selebriti antarabangsa untuk mengadakan konsert di Malaysia sehingga menjadi pertikai atas kewajaran mereka mengadakan konsert di sini. Jom kita lihat lima konsert yang pernah menjadi kontroversi di Malaysia.

1. Michael Jackson (1996)

Michael Jackson yang dilahirkan di Indiana, United State dijadualkan akan mengadakan konsert di Malaysia pada 27 Oktober 1996 di Stadium Shah Alam, Selangor yang diberi nama Michael Jackson History World Tower 97. Perkara itu mendapat perhatian para peminat di Malaysia dan mereka berusaha mendapatkan tiket yang dijalankan tiga minggu lebih awal sebelum konsert itu berlangsung. Kehadiran peminat ketika itu dijangka seramai 60,000 akan membanjiri stadium Shah Alam.

Namun, menurut arkib negara blogspot, Menteri Besar Selangor ketika itu, Muhammad Taib memberitahu bahawa konsert Michael Jackson itu bertentangan dengan nilai masyarakat tempatan dan hanya penyanyi atau artis yang menjadi role model sahaja yang dibenarkan membuat persembahan di Stadium Shah Alam. Kerajaan Selangor juga risau akan tarian goyang pinggulnya akan membawa pengaruh buruk kepada generasi muda.

Hasil daripada itu, kerajaan Selangor enggan memberikan permit konsert kepada Michael Jackson untuk mengadakan konsert di Stadium Shah Alam dan persembahan diteruskan di lokasi baharu iaitu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

2. Linkin Park (2003)

Selain Michael Jackson, Linkin Park merupakan salah satu band antarabangsa yang menjadi kegilaan orang ramai sehinggakan berjuta-juta orang sanggup berkumpul bagi melihat kumpulan penyanyi itu. Namun Linkin Park juga menjadi salah satu penyanyi antarabangsa yang menjadi kontroversi oleh sebab band tersebut akan mengadakan konsertnya di Malaysia.

Pada Tahun 2003, Linkin Park pertama kalinya akan bertandang ke Kuala Lumpur pada 15 Oktober untuk konsert pertamanya di Malaysia. Konsert tersebut yang merupakan salah satu Siri Konsert Jelajah Dunia Meteora 2003 itu dianggap sebagai konsert rock terbesar yang pernah diadakan di Malaysia dengan jumlah penonton yang dijangka hadir sehingga 40,000 orang. Namun, perkara itu menjadi kontroversi dan hangat diperdebatkan oleh kelompok ulama dan politik kerana takut akan aksi liar yang akan ditunjukkan oleh band tersebut semasa konsert itu dan akan mempengaruhi generasi muda negara.

Tetapi, konsert itu akhirnya diteruskan selepas Linkin Park bersetuju untuk tidak menunjukkan aksi liar seperti menjerit-jerit, melompat-lompat serta menggunakan perkataan kasar selain turut mengenakan pakaian yang mengikut garis panduan seperti tidak menggunakan seluar pendek ataupun tidak berbaju ketika berada di atas pentas.

3. Beyonce (2007)

Beyonce atau nama sebenarnya Beyoncé Giselle Knowles-Carter dilahirkan pada 4 September 1981 dan merupakan penyanyi R&B yang cukup dikenali orang ramai. Penyanyi yang merupakan teman wanita kepada penyanyi rap terkenal, Jay-Z jelas mempunyai bakat dalam industri hiburan selain turut berbakat dalam dunia lakonan, penari, penulis lagu dan sebagainya. Namun, penyanyi kelahiran Amerika Syarikat ini tidak pernah lekang daripada kontroversi disebabkan pemakaian yang begitu seksi ketika mengadakan persembahan.

Beyonce Knowles dilaporkan akan membuat persembahan di Malaysia pada 1 November 2007 bertempat di Kuala Lumpur. Konsert tersebut diberikan nama The Beyonce Experience World Tour sekali lagi mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat di Malaysia yang rata-ratanya masyarakat muslim yang mendesak supaya Beyonce mengikut garis panduan dalam etika pemakaian ketika melakukan persembahan di atas pentas. Kelompok agama dan ahli politik tempatan mendesak Beyonce agar tidak menggenakan pakaian yang menonjol jika ingin membuat persembahan di Malaysia.

Menurut laporan The Star, Beyonce yang mendengar syarat yang ditetapkan jika ingin membuat persembahan di Malaysia terus membatalkan konsert tersebut kerana tidak mahu mengikut kod pemakaian yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia seperti menutup bahagian atas dada sehingga bawah lutut termasuklah bahagian bahu. Akhirnya, Beyonce menukar lokasi persembahan di Jakarta, Indonesia, pada tarikh yang sepatutnya membuat persembahan di Malaysia.

4. Inul Daratista (2008)

Inul Daratista atau nama sebenarnya Ainur Rokhimah dilahirkan 21 Januari 1979 merupakan salah seorang penyanyi dangdut terkenal di Indonesia. Beliau juga dikatakan telah diberikan simbol seksi oleh sebab dikenali sebagai Ratu Goyang ‘Ngebor’ di Indonesia. Beliau juga telah mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Adam Suseno pada tahun 2007 dan telah dikurniakan seorang anak lelaki bernama Yusof Ivander Damares

Inul juga pernah menimbulkan kontroversi hangat di Malaysia selepas dikatakan akan mengadakan konsertnya di Johor Bahru, Johor dan ramai pihak membantah persembahannya diadakan. Penyanyi dangdut yang terkenal dengan goyang gerudi itu dijadualkan akan mengadakan persembahan pada 19 Julai 2008 bertempat di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunus di Larkin, Johor Bahru.

Memetik artikel Minda Kembara, Inul yang sebelum ini pernah mengadakan konsert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1 Mei 2005 akhirnya terpaksa membatalkan konsertnya di Malaysia selepas kelompok ulama dan ahli politik tempatan membantah gelek gerudi penyanyi dangdut tersebut. Pihak berwajib di Kuala Lumpur dan Johor akhirnya membatalkan permit persembahan dan membawa kepada keputusan pembatalan konsert tersebut.

Hasil daripada pembatalan permit itu, penganjur kepada konsert itu terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM 300,000 setelah membuat pembayaran termasuk kepada artis, penyewaan stadium serta sistem bunyi walaupun sudah membuat rayuan untuk memohon permit konsert pada 10 Julai 2008.

5. Rihanna (2009)

Rihanna atau nama sebenarnya Robyn Rihanna Fenty dilahirkan pada 20 Februari 1988 dan merupakan anak kelahiran negara Barbados. Rihanna kemudiannya berpindah ke Amerika Syarikat ketika beliua berusia 16 tahun untuk mengejar cita-citanya menjadi seorang penyanyi. Hasilnya Rihana atau mesra dipanggil Riri telah menjadi salah seorang penyanyi yang terkenal di seluruh negara.

Rihanna juga turut disenaraikan dalam selebriti antabangsa yang mencetuskan kontroversi di Malaysia selepas menjadi pendebatan tentang konsert yang bakal berlangsung di negara ini. Rihanna pada asalnya dijadualkan akan membuat persembahan pada 13 Februari 2009 di Stadium Putra Bukit Jalil. Konsert yang diberi nama Rihanna Live In Kuala Lumpur merupakan salah satu tournya iaitu Good Girl Gone Bad.

Namun, penglibatan penyanyi itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan para ulama politik tempatan kerana membantah penampilan penyanyi itu yang selalu tampil menjolok mata ketika melakukan persembahan. Kerajaan Malaysia telah menetapkan syarat kepada Rihanna supaya mengikut garis panduan pemakaian jika ingin meneruskan persembahan di Malaysia sebelum dipersetujui oleh penyanyi itu sendiri.

Memetik laporan Mstar, Rihanna terpaksa menangguhkan konsertnya yang dijadualkan pada 20 Februari 2009 kerana masalah peribadinya. Beliau menarik diri pada saat-saat akhir selepas dilaporkan sedang menyelesaikan masalah berikutan dipukul oleh teman lelakinya, Brown di Los Angeles. Rihanna mengalami kecederaan parah termasuklah muka bengkak, hidung berdarah dan bibir pecah selepas diserang oleh teman lelakinya ketika itu.

Walaubagaimanapun, setinggi-tinggi perhargaan juga diucapkan kepada pihak berwajib ketika itu yang bertanggungjawab menjaga keamanan negara daripada perspektif negatif dan mengutamakan generasi muda agar tidak terpengaruh dengan budaya negatif barat. Kita sebagai rakyat Malaysia yang rata-rata beragama islam perlu peka dalam situasi ini supaya budaya masyarakat yang harmoni tidak lupus ditelan zaman.

Kredit: LordNikon

+ Baca respon pembaca di Facebook Oh! Media

Lagi dalam kategori Oh! Tidak

Ke Atas