Connect with us

Oh! Media

Bagaimana Jenazah Rasulullah ‎ﷺ Disolatkan?

Umum

Bagaimana Jenazah Rasulullah ‎ﷺ Disolatkan?

ADVERTISEMENT
Soalan:
Bagaimanakah cara solat jenazah dilaksanakan ke atas Rasulullah SAW?
Jawapan:
Solat jenazah disyariatkan dalam Islam sebagaimana disebut dalam banyak nas antaranya, hadis daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِىَّ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا
“Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali.” [Riwayat al-Bukhari (1188) dan Muslim (951)]
Dalam menjawab persoalan di atas, nas daripada kitab al-Muwatta’ menyebut:

وَصَلَّى النَّاسُ عَلَيْهِ أَفْذَاذًا لاَ يَؤُمُّهُمْ أَحَدٌ
“Dan orang ramai mensolatkan Baginda sendiri-sendiri, seorang demi seorang. Tanpa ada seorang pun yang mengimamkan mereka.” (Lihat al-Muwatta’, 1/316)
Begitu juga hal ini telah dinaskan oleh Imam al-Baihaqi, iaitu daripada Ibn Abbas, Ibn Sa’d daripada Sahl bin Sa’d dan daripada Ibn al-Musayyib dan lainnya.
Dalam riwayat al-Tirmidzi, orang ramai bertanya kepada Abu Bakar R.A: “Adakah kita perlu solat ke atas jenazah Rasulullah SAW?” Maka jawab Abu Bakar: “Ya.” Mereka bertanya: “Bagaimana cara kita solat?” Jawab Abu Bakar: “Satu kumpulan akan masuk. Mereka bertakbir dan solat serta berdoa. Kemudian kumpulan yang lain masuk, mereka bertakbir, bersolat dan berdoa secara perseorangan.”
Daripada Ibn Sa’d, daripada Ali R.A, katanya: “Dia (Rasulullah SAW) adalah imam kamu sama ada pada masa hidup atau mati. Maka tiada seorang pun boleh mengatasinya.” Inilah yang dinyatakan oleh al-Zurqani. (Lihat Awjaz al-Masalik ila Muwatta’ Malik, 8/500)
Syeikh Sofiyyurahman menyebut dalam al-Rahiq al-Makhtum: “Orang ramai masuk ke dalam bilik secara bergilir-gilir, sepuluh orang untuk mensolatkan jenazah Rasulullah SAW, tanpa seorang pun menjadi imam. Giliran pertama yang mensolatkan Baginda adalah pihak keluarga, kemudian disusuli oleh orang-orang Muhajirin dan kemudian orang-orang Ansar. Setelah kaum lelaki, giliran kaum wanita yang mensolatkan, kemudian disusuli oleh kanak-kanak. Semua ini dilakukan sehari penuh, pada hari Selasa, hingga menginjak malam Rabu.” Aisyah berkata: “Kami tidak mengetahui penguburan Rasulullah SAW hingga kami mendengar suara cangkul di tengah malam Rabu.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 688)
Ya Allah, kami cintakan kepada Rasul-Mu. Jadikanlah kami bersama mereka dalam syurga-Mu! Amin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas