Connect with us

Azab Kubur Diangkat 40 Hari?

Umum

Azab Kubur Diangkat 40 Hari?

Soalan:
Apakah kesahihan hadith apabila seorang ulama’ melalui sebuah perkuburan maka diangkat azab selama 40 hari?

Jawapan :
Merujuk kepada soalan di atas, kita perlulah memastikan kesahihan sesebuah hadith sebelum menyandarkannya kepada Nabi SAW dan menyebarkannya kepada orang lain. Ini kerana, menyandarkan sesuatu yang tidak sahih kepada Rasulullah SAW adalah termasuk di dalam pendustaan di atas nama Baginda SAW yang mulia dan perbuatan tersebut boleh menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam neraka .

Matan Hadith

Setelah kami melihat dan meneliti berkaitan hadith yang dimaksudkan, kami menemui matan hadith tersebut seperti berikut:

إِنَّ الْعَالِمَ وَالْمُتَعَلِّمَ إِذَا مَرَّا عَلَى قَرْيَةٍ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَرْفَعُ الْعَذَابَ عَنْ مَقْبَرَةِ تِلْكَ الْقَرْيَةِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا
“Sesungguhnya orang alim dan orang yang belajar apabila mereka berjalan di sebuah kampung maka Allah SWT akan mengangkat azab daripada perkuburan yang terletak di kampung itu selama 40 hari.”

Hukum Hadith

Setelah kami menekuni berkaitan hadith ini, kami mendapati hadith ini sebagai palsu dan tiada asal baginya. Antara ulama’ yang mengatakan bahawa hadith ini adalah palsu adalah:

  • Imam al-Suyuthi mengatakan hadith ini tiada asal baginya sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Mulla Ali al-Qari. [Lihat: dan al-Mashnu’ fi Ma’rifah al-Hadith al-Maudhu’, 65]
  • Syeikh al-Qauqaji menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Lu’lu’ al-Marshu’, 53/1]
  • Syeikh al-‘Ajlouni mengatakan bahawa hadith ini tiada asal baginya (palsu). [Lihat: Kasyf al-Khafa’, 221/1]
  • Syeikh Mulla Ali al-Qari menghukum hadith ini sebagai palsu. [Lihat: Asrar al-Marfu’ah, 123/1]

Penutup

Kesimpulannya, mengenalpasti akan kesahihan status sebuah hadith adalah penting kerana Nabi SAW telah mengancam terhadap orang-orang yang melakukan pendustaan terhadapnya dan juga hadithnya. Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَعَمَّدَ عَلَيَّ كَذِبًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Barangsiapa yang sengaja berkata-kata dusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di neraka.” [Muttafaqun ‘Alaih, al-Bukhari (108) dan Muslim (2)]

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini serta memelihara lidah kita daripada melakukan kesalahan dalam menyandarkan sesuatu kepada Nabi SAW. Amin.

Wallahua’alam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top