Connect with us

Oh! Media

Ayat Al-Quran Terakhir Diturunkan

Umum

Ayat Al-Quran Terakhir Diturunkan

ADVERTISEMENT
Soalan:
Kita semua tahu, wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah ayat Iqra’. Bagaimana pula dengan ayat terakhir yang diturunkan?
Jawapan:
Para ulama berbeza pandangan dalam menentukan ayat al-Quran terakhir yang diturunkan, dan setiap pandangan didasari dengan riwayat-riwayat daripada para sahabat, namun tiada satu pun yang bertaraf marfu’, dalam erti kata tiada riwayat yang bersambung kepada Rasulullah SAW. (Rujuk Manahil al-‘Irfan fi Ulum al-Qur’an 1/96-97)
Berikut kami kemukakan beberapa pandangan ulama:
1. Ayat 278 Surah al-Baqarah (Ayat riba)
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.
Diriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas pernah berkata:
آخِرُ آيَةٍ نَزَلَتْ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم آيَةُ الرِّبَا
Ayat al-Quran terakhir yang diturunkan kepada Baginda Nabi SAW ialah ayat tentang riba. [Sahih al-Bukhari (4544)]
2. Ayat 281 Surah al-Baqarah
Firman Allah SWT:
وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّـهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.
Menurut Imam al-Alusi, banyak riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang menyatakan ayat ini sebagai ayat al-Qur’an terakhir yang diturunkan. (Rujuk Tafsir Ruh al-Ma’ani 3/54)
Inilah juga pandangan Said ibn Jubair R.A, dan beliau mengatakan bahawa Nabi SAW hidup selama 9 malam setelah ayat ini diturunkan, sebelum Baginda wafat. (Rujuk Tafsir Ibn Abi Hatim 2/554)
3. Ayat 282 Surah al-Baqarah (Ayat hutang)
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ ۚ
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).
Imam al-Suyuthi sewaktu memberi komentar tentang 3 pandangan di atas pula menyebut bahawa tiada percanggahan antara satu sama lain kerana ketiga-tiga ayat ini sebenarnya diturunkan sekaligus, sebagaimana susunannya di dalam mushaf. (Rujuk Al-Itqan fi Ulum al-Qur’an 1/83)
Menurut Syeikh Muhammad Ra’fat Sa’id pula, ayat 281 merupakan ayat terakhir yang diturunkan antara ketiga-tiga ayat ini. (Rujuk Tarikh Nuzul al-Qur’an 1/52)
4. Ayat 176 Surah al-Nisaa’
Firman Allah SWT:
سْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّـهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلَالَةِ ۚ إِنِ امْرُؤٌ هَلَكَ لَيْسَ لَهُ وَلَدٌ وَلَهُ أُخْتٌ فَلَهَا نِصْفُ مَا تَرَكَ ۚ وَهُوَ يَرِثُهَا إِن لَّمْ يَكُن لَّهَا وَلَدٌ ۚ فَإِن كَانَتَا اثْنَتَيْنِ فَلَهُمَا الثُّلُثَانِ مِمَّا تَرَكَ ۚ وَإِن كَانُوا إِخْوَةً رِّجَالًا وَنِسَاءً فَلِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ ۗ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ أَن تَضِلُّوا ۗ وَاللَّـهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan”. Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Diriwayatkan bahawa Abu Ishaq berkata:
سَمِعْتُ الْبَرَاءَ بْنَ عَازِبٍ، يَقُولُ آخِرُ آيَةٍ أُنْزِلَتْ آيَةُ الْكَلاَلَةِ وَآخِرُ سُورَةٍ أُنْزِلَتْ بَرَاءَةُ
Aku mendengar al-Barra’ bin ‘Azib berkata, ayat al-Qur’an terakhir yang diturunkan ialah ayat tentang al-Kalalah. [Sahih Muslim (1618)]
Diriwayatkan juga bahawa Imam ‘Izz ibn Abd al-Salam berpegang pada pandangan ini, namun ia ditolak oleh Imam Ibn Hajar yang menyatakan bahawa Nabi SAW masih hidup selama 50 hari selepas ayat al-kalalah ini diturunkan. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 8/317)
5. Ayat 3 Surah al-Ma’idah
Firman Allah SWT:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلامَ دِيناً
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.
Menurut Syeikh Muhammad Ra’fat Sa’id, ayat ini bukanlah ayat terakhir yang diturunkan, kerana ia diturunkankan di ‘Arafah sewaktu Hajjatul Wida’ (Haji Perpisahan) pada tahun kesepuluh hijrah, dan Baginda Nabi SAW wafat setelah 80 malam. Dan kita mengetahui bahawa Nabi SAW wafat 9 malam selepas ayat 281 Surah al-Baqarah diturunkan. (Rujuk Tarikh Nuzul al-Qur’an 1/54)
Menurut Imam al-Alusi pula, selepas ayat ini tiada lagi ayat yang turun berkenaan hukum halal dan haram, dan inilah maksud mereka yang mengatakan ayat ini ayat yang terakhir yang diturunkan, dalam erti kata ayat terakhir berkenaan hukum halal dan haram. (Rujuk Tafsir Ruh al-Ma’ani 6/60)
Namun ini juga tidak tepat kerana telah disebutkan di atas bahawa selepas ayat ini, diturunkan ayat berkenaan riba dan hutang.
Sementara Imam Ibnu Jarir al-Tobari pula menyatakan maksud ‘menyempurnakan agama’ dalam ayat ini ialah dalam konteks kaum Musyrikin ketika itu melaksanakan haji Bersama dengan kaum Muslimin, namun pada tahun tersebut aktiviti haji kaum Muslimin tidak lagi disertai orang Musyrikin, maka ini adalah penyempurnaan nikmat bagi orang Islam. (Rujuk Tafsir al-Tobari 9/521-522)
6. Ayat 128-129 Surah al-Taubah
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢٨﴾ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ ﴿١٢٩﴾
Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.”
Pandangan ini diriwayatkan oleh Ibn Jarir, Ibn Abi Syaibah dan Ibn Mardawaih daripada Ubai ibn Ka’ab oleh (Rujuk Tafsir al-Thabari 14/588 dan Al-Durr al-Manthur 7/609)
Namun pandangan ini ditolak oleh Imam al-Zarqani yang mentakwilkan athar Ubai ibn Ka’ab ini dalam erti kata ia merupakan ayat terakhir daripada surah al-Taubah. (Rujuk Manahil al-‘Irfan 1/99)
7. Ayat 110 Surah al-Kahfi
Firman Allah SWT:
قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.
Ini merupakan pandangan Mu’awiyah ibn Abi Sufyan yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Kathir, namun Ibn Kathir menta’wilkan athar tersebut, dimana ia mungkin bermaksud ayat terakhir yang diturunkan yang tidak dinasakhkan.(Rujuk Tafsir al-Qur’an al-‘Azim 5/110)
8. Surah al-Nasr
Firman Allah SWT:
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). 
Namun demikian, ayat ini boleh ditakwilkan sebagai ayat yang terakhir yang mengisyaratkan kepada kewafatan Nabi SAW, dan inilah yang difahami oleh sebahagian para sahabat R.Anhum. Pandangan ini juga boleh ditakwilkan yang merujuk kepada surah terakhir yang diturunkan secara sekaligus, dan ia dikuatkan dengan satu athar daripada Ibn Abbas R.A yang menyatakan hal yang demikian. (Rujuk Manahil al-‘Irfan 1/100)
Tarjih dan Kesimpulan
Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, pandangan yang paling tepat ialah pandangan kedua di atas, iaitu ayat 281 surah al-Baqarah. (Rujuk Fath al-Bari 8/317)
Kami sendiri cenderung kepada pandangan ini kerana hampir semua tafsir yang kami rujuk ada menyebut ayat ini sebagai ayat terakhir yang diturunkan. Pandangan ini juga tidak ditolak dan dinafikan sebagaimana ayat-ayat lain yang disanggahi oleh pelbagai riwayat dan kalam ulama’.
Namun begitu, kami juga ingin menukilkan kata-kata Imam Abu Bakar al-Baqillani dalam isu ini:
“Mengetahui ayat terakhir yang diturunkan bukanlah satu kefardhuan dalam agama, tidak juga dinaskan oleh Rasulullah SAW supaya kita mengetahuinya. Baginda tidak melihat adanya maslahah agama untuk umatnya mengetahui perkara ini.
Para sahabat juga memberikan pandangan tentang ayat terakhir diturunkan menurut kadar ilmu dan pengetahuan mereka. Boleh jadi seseorang sahabat ada bersama Nabi SAW ketika satu ayat diturunkan, dan beliau yakin itu merupakan ayat terakhir, namun dia tidak mengetahui adanya ayat lain yang diturunkan selepasnya ketika ketiadaannya bersama Baginda SAW.” (Rujuk Al-Intisar lil Qur’an 1/245-246)
Wallahu a’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas