Connect with us

Oh! Media

Apple Memperkenalkan iPhone 6, iPhone 6 Plus, dan Apple Watch

Umum

Apple Memperkenalkan iPhone 6, iPhone 6 Plus, dan Apple Watch

Selepas mengambil masa hampir satu tahun tanpa sebarang produk baru, awal pagi tadi Apple akhirnya memperkenalkan dua peranti baru keluaran mereka yang paling lama ditunggu iaitu iPhone 6 dan juga Apple Watch.

ADVERTISEMENT

Di awal pembukaan keynote kali ini, satu video yang amat menarik dimainkan Apple mengingatkan semula tentang misi dan visi sebenar syarikat tersebut yang sentiasa memandang sesuatu secara berlainan dari orang lain dan tidak sesekali berebut-rebut untuk menjadi yang terawal memasarkan sesuatu kepada pengguna selagi produk tersebut belum benar-benar sempurna untuk dijual kepada pengguna mereka. Video bertajuk ‘Perspective’ itu berdurasi selama hampir 3 minit. Tonton video tersebut di bawah ini:

iPhone 6 & iPhone 6 Plus

Apple memperkenalkan iPhone 6 yang datang dalam dua jenis iPhone berlainan saiz iaitu iPhone 6 yang bersaiz 4.7 inci dengan ketebalan 6.9mm sahaja dan juga iPhone 6 Plus dengan saiz skrin ‘phablet’ 5.5 inci dan ketebalan hanya 7.1mm. Tindakan Apple ini dapat dijangkakan kerana mereka perlu menurut permintaan ramai pengguna mereka yang mengharap iPhone 6 datang dalam saiz skrin yang lebih besar berbanding iPhone 5S terdahulu mengikut kehendak pasaran hari ini.

Kedua-dua iPhone terbaru ini menggunakan paparan Retina HD buat pertama kalinya selain memberikan prestasi yang jauh lebih baik berbanding iPhone terdahulu dengan kehadiran A8 Chip, M8 Motion Co-Processor dan juga seni bina 64-bit.

Apple masih mengekalkan kamera 8MP pada iSight (kamera) iPhone 6 kerana menurut mereka saiz gambar 8MP telah memadai untuk sesebuah kamera telefon pintar dan Apple lebih mementingkan sensor dan teknologi lain yang didatangkan bersama dan mampu memberikan hasil gambar yang jauh lebih baik berbanding telefon pintar lain di pasaran.

iSight kini mempunyai sensor ‘Focus Pixels’ yang membolehkan gambar atau video sentiasa fokus dengan teramat pantas setiap kali anda memfokuskan kepada sesuatu. Rakaman video juga kini hadir dengan rakaman 1080p HD pada 60 fps dan slo-mo pada 240fps begitu juga dengan time-lapse. Walaubagaimanapun iPhone 6 masih tidak menyokong rakaman video 4K mengikut kehendak pasaran hari ini. Kewujudan OIS dalam kamera iPhone 6 Plus dan IS dalam iPhone 6 mampu menjadikan imej dan video yang dirakam lebih stabil.

Tonton video berikut untuk lebih mengenali tentang iPhone 6 dan juga iPhone 6 Plus.

Pelbagai lagi fungsi baru yang diperkenalkan seperti Apple Pay yang membolehkan anda melakukan pembayaran ketika membeli-belah dan sebagainya dengan hanya menyentuh phone dan meletakkan jari di Touch ID untuk melakukan sebarang pembayaran. Ini merupakan misi Apple untuk membunuh ‘wallet’ di mana sedikit masa lagi sukar untuk kita lihat orang ke sana dan sini bersama wallet mereka.

Harga jualan bagi iPhone 6 di Malaysia nanti berkemungkinan bermula daru RM2499 (16GB) manakala untuk iPhone 6 Plus pula bermula pada harga RM2999. Jadi kalau berminat tu, mulalah menyimpan dari sekarang!

Kami akan bercerita lebih lanjut lagi berkenaan iPhone 6 dan iPhone 6 Plus selepas kami menggunakannya nanti. InsyaAllah jika tiada aral Oh! Media akan mendapatkan iPhone 6 Plus di Singapura pada 19 September 2014 ini dan berkongsi pelbagai perkara menarik bersama anda.

Apple Watch

Ramai yang menjangkakan jam tangan pintar dari Apple akan diperkenalkan pada keynote kali ini selepas menanti beberapa tahun dan nampaknya tekaan tersebut tepat sekali. Bagaimanapun nama iWatch seperti yang dijangka ramai tidak dipilih untuk menjadi nama rasmi bagi peranti tersebut tetapi Apple menggunakan nama Apple Watch sebagai nama rasmi bagi jam tangan pintar pertama keluaran mereka.

Tonton video di bawah ini untuk mengenali lebih lanjut tentang jam pintar pertama dari Apple ini.

Apple Watch didatangkan dalam 3 jenis iaitu Apple Watch untuk kegunaan biasa, Apple Watch Sport untuk mereka yang aktif bersukan, dan satu lagi Apple Watch Edition yang lebih mewah dengan rekaan emas 18-karat untuk yang berkerja professional.

Semua jenis Apple Watch ini didatangkan dalam dua saiz yang mana satunya bersaiz 42mm tinggi dan satu lagi bersaiz lebih kecil setinggi 38mm untuk wanita dan mereka yang pergelangan tangan lebih kecil.

Harga bagi Apple Watch ini ialah USD349 atau lebih kurang RM1200. Ianya akan mula dijual pada awal tahun 2015 nanti apapun tarikh yang tepat bilakah ianya akan dijual tidak dinyatakan pihak Apple.

Info lanjut tentang iPhone 6, iPhone 6 Plus, dan Apple Watch di www.apple.com atau ikuti Oh! Media di Twitter  dan Instagram untuk pelbagai lagi perkongsian menarik. Jadi bagaimana? Adakah iPhone 6 dan Apple Watch menarik perhatian dan minat anda?

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas