Connect with us

Oh! Media

‘Nilah Kereta Baru Ayah’ – Anak Hadiahkan Kereta BMW 520i Sebelum Ayah Tunaikan Haji

Umum

‘Nilah Kereta Baru Ayah’ – Anak Hadiahkan Kereta BMW 520i Sebelum Ayah Tunaikan Haji

 

Ketika aku menulis ini, ayah dan ibu sudah selamat berada di dalam perut kapal terbang Saudi Airlines, memulakan perjalanan 9,000 kilometer, perjalanan menuju ke kota Mekah al Mukarramah untuk menunaikan ibadah haji. Ibadah iltimatum yang berada di tangga terakhir dalam rukun agama.

Tengah hari semalam, kami buat kenduri doa selamat di rumah ayah dan ibu. Syukur ramai tetamu yang datang bersama-sama mengucap selamat dan mendoakan kesejahteraan mystical journey yang bakal ayah dan ibu tempuhi di Haramain nanti.

ADVERTISEMENT

Semalam, ketika tetamu dan saudara mara kian beransur pulang, dalam jam 3 petang, adik aku, brader farmasi mendapat panggilan daripada rakannya di Ipoh memberitahu bahawa dokumen yang ayah aku kena sign perihal gurantor syarikat yang adik aku itu tengah uruskan.

Masalahnya, dia tidak boleh turun ke Tanjong Malim kerana dia perlu pergi ke Pulau Pinang. Mahu tak mahu, sebelum pergi haji, ayah mesti juga menurunkan tandatangan dan perkara itu mesti berlaku di Ipoh petang iut juga. Jika tidak, hal urusan adik aku ini akan tertangguh lama sebab dokumen guarantor tidak lengkap.

Aku, brader farmasi dan adik aku seorang lagi, Taufiq Ahmad berbincang seketika dengan ayah dan ibu bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini. Di rumah masih ada saudara mara, sahabat handai semua. Sedang kipas khemah masih ligat berpusing dan lauk pauk pun masih berbaki menunggu baki tetamu yang mungkin tiba lewat, akhirnya ayah setuju juga untuk pergi ke Ipoh semata-mata satu tandatangan.

Begitulah ayah dan ibu aku, kalau ada hal yang melibatkan urusan anak-anak, hal-hal mereka yang lebih penting mereka sanggup ketepikan. Bayangkan tengah kenduri di Tanjong Malim, esoknya jam 8 pagi sudah perlu bertolak ke Kelana Jaya, jam 3 petang anak minta ikut pergi ke Ipoh pula. Maka ke Ipohlah kami pada masa itu juga.

Kebetulan pada masa itu, anak murid master yang datang, abang Masri, abang Lan dan abang Rahim masih berborak di bawah khemah dan mereka memang berniat nak stay sampai malam. Maka ayah ajak mereka temankan sekali ke Ipoh untuk selesaikan hal adhoc yang tiba-tiba muncul mendesak ini.

Ayah tidur sepanjang perjalanan, mungkin sebab penat dengan urusan kenduri dan melayan 1-2 tetamu hari ini. Sampai di Tol Ipoh, ayah pun terjaga dan kembali berborak.

“Kita ke BMW, sign kat situ yah, tak jadi ke McD. Member dah ada di situ,” terang adik aku, brader farmasi.

Aku yang menjadi driver, keluar exit area Tasek dan terus drive ke Jalan Kuala Kangsa menghala balik ke pekan Ipoh.

“Apa hal tukar BMW pula ni? BMW belah kiri ni ke atau aku nak kena u-turn?” aku pula membalas.

“Belah kiri ini saja, tu haa dah nampak signage. Ready signal masuk,” katanya.

Aku belok ke kiri, masuk terus ke parking. Adik aku, Taufik (Opik) ajak ayah aku keluar lepak depan pintu masuk pejabat BMW sementara aku pula mengikut brader farmasi masuk ke dalam mencari rakannya bernama Davis.

Davis muncul dari satu ruang, kami bersalaman dan dia senyum sambil memberi aku sesuatu. Aku patah balik keluar dan memanggil Opik dan ayah masuk ke dalam.

Opik dan Ayah berjalan mengikut aku sementara brader farmasi sudah hilang bersama Davis ke ruang belakang.

Sampai di ruang belakang BMW showroom, aku keluarkan dari poket barang yang Davis beri tadi, kunci kereta. Aku hulur pada ayah.

 

“Nah ayah, test!”

Ayah aku terpingga-pingga.

“Eh? Kita nak cepat ni, bukannya ada masa nak test kereta. Mana dokumen nak sign tadi?” tanya ayah yang agak pressure.

Kunci kereta yang aku hulur tadi ayah masih pegang. Aku, brader farmasi dan Opik senyum.

“Ayah cuba tengok nombor plat tu,” kata Opik sambil menunjuk ke nombor plate kereta yang jarak 2 meter dari tempat kami semua berdiri.

Ayah perhatikan nombor plat, sama macam nombor plate kereta dia sekarang.

“Inilah kereta baru ayah. Hadiah sebelum pergi haji,” celah brader farmasi.

Suasana menjadi senyap sunyi. BMW 520i dengan warna carbon black cuma memerhatikan kami anak beranak sedang cuba memberitahu dan menyakinkan ayah yang sang kereta telah dibeli dan dihadiahkan oleh anak-anak kepada seorang ayah.

Rancangan aku, brader farmasi dan Opik untuk trick bawa ayah ke Ipoh berjalan lancar. Yess!!

Ayah nampak sebak dalam tak percaya. Kami tiga beradik lagilah sebak. Ya, sepanjang hidup ayah aku, dia tidak pernah membeli kereta baru. Semua kereta yang dia pernah beli adalah kereta terpakai. Kereta-kereta ini pula sering bertukar ganti atas banyak sebab, tak habis bayar, sangkut bayar, sambung bayar, downgrade bayar dan ada juga yang aku ingat masa sekolah rendah, kereta ini kena tarik sebab sudah berbulan tak bayar.

Pada ayah aku, jenis kereta apa tidak penting pada masa itu. Apa yang penting ialah keluarga cukup makan, pakai dan anak-anak punya duit nak belajar tak sangkut. Antara hal yang paling aku ingat masa kecil dulu, bila kami nampak kereta besar seperti Merc atau BMW, ayah aku akan cakap,

“Nanti hangpa dah besar, kerja elok-elok. Ada duit boleh beli kereta macam itu, dapat bagi ayah dan ibu tumpang pun jadilah. Naik kereta macam tu best, rasa macam duduk dalam kapal terbang,” katanya.

Kami tiga beradik pun terhangguk-hangguk walaupun kami tahu ayah tak pernah pun naik BMW atau Merc yang selesa itu apatah lagi naik kapal terbang pun ayah tak pernah.

Sekarang kami sudah dewasa. Ya, pesan ayah aku, “nanti hangpa dah besar…” itu roll back semula. Betul, sekarang kami dah kerja elok. Betul, sekarang kami beli BMW520i baru. Kereta yang sedap macam naik kapal terbang itu. Semua pesan ayah dulu kami ikut, kecuali satu saja yang kami tak ikut ialah kami tak beli kereta untuk ayah dan ibu tumpang tetapi kami beli kereta untuk ayah dan ibu supaya kami dapat tumpang macam masa kami kecil-kecil dulu.

Terima kasih. Selamat menunaikan ibadah haji ayah dan ibu. Kereta ini jangan risau, kami tak bawa jauh-jauhlah.

Kredit: Fdaus Ahmad

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas