Connect with us

Oh! Media

Adakah Rasulullah SAW Berijtihad?

Umum

Adakah Rasulullah SAW Berijtihad?

Soalan:
Kita tahu Rasulullah SAW pernah berijtihad urusan keduniaan, contohnya dalam strategi ketenteraan dan mengahwinkan pokok. Soalan saya, adakah harus bagi Nabi SAW untuk berijtihad dalam perkara-perkara agama, atau kesemua kata-kata dan tindakan Baginda merupakan wahyu daripada Allah SWT? Kerana Allah berfirman bahawa Rasulullah SAW tidak berkata-kata melainkan ianya wahyu yang diturunkan. (Surah al-Najm: 3)

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Dari sudut istilah syara’, ijtihad bermaksud curahan usaha dan tenaga yang bersungguh-sungguh untuk mengistinbatkan hukum syar’ie. (Rujuk Al-Luma’ fi Usul al-Fiqh 1/72)

Para ulama usul fiqh dan fuqaha’ banyak membahaskan isu samada Rasulullah SAW berijtihad ataupun tidak.

Menurut Imam al-Syathibi, hadith itu merupakan samada wahyu daripada Allah SWT, ataupun ijtihad daripada Nabi SAW. (Rujuk Al-Muwafaqat 3/335)

Maka difahami daripada perkataan beliau ini, harus bagi Nabi SAW untuk berijtihad.

Berdasarkan kefahaman kami bahawa isu ijtihad Rasulullah SAW boleh dibahagikan kepada dua jenis.

  • Pertama: Ijtihad dalam urusan dunia.
  • Kedua: Ijtihad dalam urusan Syarak.

Adapun yang pertama, maka Imam al-Syaukani menukilkan ijmak akan keharusan para Rasul dan Anbiya’ untuk berijtihad dalam urusan-urusan keduniaan.

Sedangkan yang kedua pula dalam permasalahan hukum syar’ie, para ulama berbeza pandangan kepada dua:

  • Pendapat yang tidak mengharuskan ijtihad. Inilah pendapat Ibn Hazm.
  • Sedangkan jumhur ulama berpendapat hukumnya harus.

Adapun firman Allah SWT:

وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ
“Dan ia tidak memperkatakan sesuatu menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.” [Surah al-Najm: (3)]

Menurut Imam al-Syaukani dan Syeikh Wahbah al-Zuhaily, ayat ini merujuk kepada al-Quran, dimana kaum Musyrikin dan orang kafir mendakwa Nabi SAW mempelajari al-Quran daripada manusia lain, lalu Allah SWT menurunkan ayat ini untuk menepis dakwaan tersebut. (Rujuk Irsyad al-Fuhul ila Tahqiq al-Haq min ‘Ilm al-Usul 2/217-219 dan Tafsir al-Munir 14/129)

Almarhum Syeikh Wahbah al-Zuhaily pula menyatakan para ulama bersepakat akan keharusan Nabi SAW berijtihad pada urusan kehakiman, maslahah keduniaan dan urustadbir ketenteraan, namun mereka berkhilaf pada keharusan Nabi SAW berijtihad pada perkara keagamaan. Kebanyakan ulama’ usul mengharuskan ijtihad Nabi SAW pada urusan keduniaan, sedangkan jumhur ulama’ Asya’irah, Mutakallimin dan Mu’tazilah tidak mengharuskannya.

Antara dalil umum akan keharusan Nabi SAW berijtihad ialah firman Allah SWT:

فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الْأَبْصَارِ
“Maka insaflah dan ambilah pelajaran wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.” [Surah al-Hasyr: (3)]

Iktibar dalam konteks ayat ini membawa maksud qiyas dan ijtihad, dan ia hanya layak bagi golongan ulil absar, iaitu mereka yang cerdas akalnya, dan Nabi SAW merupakan manusia yang paling cerdas akalnya dan paling meliputi kelayakan untuk berijtihad. (Rujuk Usul al-Fiqh al-Islami 2/1084-1086)

Antara contoh ijtihad Nabi SAW ialah hadith:


لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ صَلاَةٍ
“Jika tidak kerana akan menyusahkan umatku, nescaya aku perintahkan mereka agar bersiwak setiap kali sebelum solat.” [Riwayat al-Bukhari (887) dan Muslim (252)]

Menurut Imam al-Nawawi dan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, hadith ini menjadi dalil akan keharusan ijtihad oleh Nabi SAW dalam perkara yang tiada nas padanya daripada Allah SWT, dan ini merupakan pandangan majoriti fuqaha’ dan ulama’ usul, dan inilah pandangan yang paling sahih dan terpilih. (Rujuk Al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 3/144 dan Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 2/376))

Menurut Imam al-Baji, jika Nabi tidak dibenarkan berijtihad, nescaya Baginda tidak menjadikan kebimbangan menyusahkan umat sebagai alasan untuk tidak mewajibkan mereka bersiwak. (Rujuk Al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’ 1/130)

Begitu juga dengan hadith:

قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَبِي مَاتَ وَلَمْ يَحُجَّ أَفَأَحُجُّ عَنْهُ قَالَ ‏”‏ أَرَأَيْتَ لَوْ كَانَ عَلَى أَبِيكَ دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ ‏”‏‏.‏ قَالَ نَعَمْ‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ
Seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, bapaku meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji, adakah patut aku menunaikan haji bagi pihaknya?” Rasulullah menjawab: “Tidakkah jika bapamu mempunyai hutang, kamu akan membayarnya?” Dia mengiyakannya, lalu Baginda menambah: “Maka hutang Allah SWT adalah lebih berhak (untuk dibayar).” [Sunan al-Nasa’ie (2639)]

Menurut Almarhum Syeikh Wahbah al-Zuhaily, Nabi SAW tidak menunggu wahyu untuk turun terlebih dahulu bagi menjawab persoalan ini, dan wahyu tidak turun dalam soal ini, maka Nabi SAW berijtihad. (Rujuk Usul al-Fiqh al-Islami 2/1087)

Begitu juga dengan hadith:

إِنَّكُمْ تَخْتَصِمُونَ إِلَىَّ، وَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَلْحَنُ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ، فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ بِحَقِّ أَخِيهِ شَيْئًا بِقَوْلِهِ، فَإِنَّمَا أَقْطَعُ لَهُ قِطْعَةً مِنَ النَّارِ فَلاَ يَأْخُذْهَا
“Kalian memperdengarkan kes dan hujahan kalian kepadaku, dan sebahagian daripada kamu mungkin lebih fasih dan mahir berhujah. Jika aku memberi hak orang lain kepadanya dengan sebab kepetahannya berhujah, sesungguhnya aku telah memberikannya sebahagian daripada api neraka, maka janganlah dia mengambilnya.” [Riwayat al-Bukhari (2680) dan Muslim (1713)]

Antara tugas Nabi SAW ialah sebagai hakim yang memutuskan pertelingkahan yang berlaku ketika itu, dan hadith ini menjadi bukti bahawa Nabi SAW menggunakan ijtihad untuk menyelesaikan kes yang dibawa kepada Baginda, dan Baginda sendiri mengakui kemungkinan untuk Baginda membuat keputusan yang kurang tepat dalam sesetengah keadaan.

Pernahkah Rasulullah SAW Silap dalam Ijtihad?

Para ulama ada membahaskan adakah Nabi SAW tersilap dalam ijtihad Baginda. Jumhur ulama menyatakan harus bagi Baginda untuk tersilap dalam ijtihad pada urusan keduniaan sahaja, dan tidak harus untuk Baginda tersilap dalam perkara perkara agama. Antara contoh yang diberi oleh Almarhum Syeikh Wahbah al-Zuhaily ialah firman Allah SWT:

مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَن يَكُونَ لَهُ أَسْرَىٰ حَتَّىٰ يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ ۚ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّـهُ يُرِيدُ الْآخِرَةَ ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [Surah al-Anfal (67)]

Dalam ayat ini, Allah SWT menegur ijtihad Nabi SAW yang mengambil fidyah daripada tawanan perang Badar seperti yang dicadangkan Sayyidina Abu Bakar R.A, dan firman Allah SWT ini membenarkan cadangan Sayyidina Umar R.A agar dibunuh tawanan-tawanan perang tersebut. (Rujuk Usul al-Fiqh al-Islami 2/1092)

Kesimpulan

Tuntasnya, adalah harus bagi Rasulullah SAW untuk berijtihad samada dalam urusan keagamaan atau keduniaan. Nabi SAW juga berkemungkinan untuk tersilap dalam ijtihad Baginda dalam perkara keduniaan, namun tidak mungkin tersilap dalam urusan keagamaan sebagaimana yang disebut oleh majoriti ulama. Hal ini dikuatkan dengan sabda Baginda SAW:

إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَىْءٍ مِنْ دِينِكُمْ فَخُذُوا بِهِ وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَىْءٍ مِنْ رَأْىٍ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ
“Sesungguhnya aku ini manusia; apabila aku menyuruh kamu akan suatu perintah agama, maka ambillah ia, dan apabila aku menyuruh kamu akan suatu perkara daripada pandanganku, maka ingatlah sesungguhnya aku adalah seorang manusia.” [Sahih Muslim (2362)]

Imam al-Nawawi berkata: “Daripada kehidupan dunia, sebagai contoh menggunakan ijtihad, hadis kacukan kepada pohon kurma. Pendapat ulama menunjukkan bahawa ia bukan masalah syariat, tetapi ucapannya berdasarkan ijtihad Baginda SAW.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 15/116)

Segala perbuatan dan keputusan Baginda Nabi SAW sentiasa dikawal oleh wahyu, dan apabila Baginda tersilap, wahyu akan datang untuk membetulkannya. Maka secara tidak langsung, segala ijtihad Nabi SAW sebenarnya bersumber daripada wahyu.

Wallahu a’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas