Connect with us

Oh! Media

Adakah Orang Yang Disiksa Di Neraka Akan Mati?

Umum

Adakah Orang Yang Disiksa Di Neraka Akan Mati?

Soalan:
Adakah orang yang dihumban ke dalam api neraka itu akan mati pada akhirnya? Bagaimanakah hakikat sebenar orang yang disiksa? Bolehkah dijelaskan kepada saya.

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Sesungguhnya penciptaan manusia itu bukanlah sesuatu pekerjaan yang sia-sia apabila manusia itu bertemu dengan kematian. Sebaliknya, setiap daripada kita akan dihisab dan ditentukan kedudukan sama ada akan ditempatkan di syurga atau neraka berdasarkan apa yang diamalkan sepanjang kehidupan di dunia. Hal ini jelas seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT:

وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَـٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا
“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun.” (Surah al-Nisa’:124)

Manakala bagi manusia-manusia yang lalai akan hari pembalasan, maka telah dipersiapkan buat mereka neraka sebagai pembalasan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا وَكَذَّبُوا بِآيَاتِنَا أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
“Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Baqarah: 39)

Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Baghawi menyatakan yang dimaksudkan dengan kekal adalah, penghuni neraka tidak akan dikeluarkan dan tidak akan mati padanya. [Lihat Maalim al-Tanzil (1/29)]

Hal ini lebih jelas sekiranya diperhatikan daripada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَمَّا أَهْلُ النَّارِ الَّذِينَ هُمْ أَهْلُهَا فَإِنَّهُمْ لاَ يَمُوتُونَ فِيهَا وَلاَ يَحْيَوْنَ وَلَكِنْ نَاسٌ أَصَابَتْهُمُ النَّارُ بِذُنُوبِهِمْ أَوْ بِخَطَايَاهُمْ فَأَمَاتَتْهُمْ إِمَاتَةً حَتَّى إِذَا كَانُوا فَحْمًا أُذِنَ لَهُمْ فِي الشَّفَاعَةِ فَجِيءَ بِهِمْ ضَبَائِرَ ضَبَائِرَ فَبُثُّوا عَلَى أَنْهَارِ الْجَنَّةِ فَقِيلَ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ أَفِيضُوا عَلَيْهِمْ فَيَنْبُتُونَ نَبَاتَ الْحِبَّةِ تَكُونُ فِي حَمِيلِ السَّيْلِ
“Adapun penduduk neraka yang sememangnya mereka penghuninya, maka mereka tidak akan mati di dalamnya dan tidak juga hidup (beristirehat daripada siksa neraka). Tetapi ada manusia yang akan diazab dengan api kerana dosa-dosa mereka atau kesalahan mereka, mereka akan dibunuh sehingga mereka bagaikan menjadi arang, hingga diizinkan kepada mereka syafaat. Kemudian (arang-arang) itu dibawa secara lambakan dan dilemparkan di sungai-sungai syurga, lalu dikatakan “Wahai ahli syurga, curahkan air kepadanya dan ia akan menjadi benih yang dihanyutkan arus.”

Imam al-Nawawi menukilkan pandangan ulama’ yang menerangkan maksud penduduk neraka yang sememangnya penghuni neraka, ialah golongan kuffar yang tidak akan keluar selamanya daripada neraka. [Lihat Fatwa al-Nawawi:104]

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا لَهُمْ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقْضَىٰ عَلَيْهِمْ فَيَمُوتُوا وَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُم مِّنْ عَذَابِهَا ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِي كُلَّ كَفُورٍ
“Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka; dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya.” (Surah al-Fatir: 36)

Maka jelaslah, bahawa Allah SWT tidak mematikan orang-orang yang kufur kepada-Nya sebagai balasan, kerana kematian itu hanya akan menyebabkan sakit yang seketika, berbanding dengan siksaan yang berpanjangan sesuai dengan tempoh masa yang diberikan di dunia untuk setiap manusia beriman kepadanya. Bukan sekadar menyiksa orang-orang yang kufur ini dengan tidak mematikan mereka, malah untuk memastikan mereka berterusan merasa sakit dengan siksaan tersebut, maka Allah SWT berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا
“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’: 56)

Kesimpulan

Berdasarkan apa yang di hujahkan di atas, kami katakan bahawa sememangnya sudah terang lagi bersuluh, penghuni neraka itu sesekali tidak akan mati atau dimatikan di dalam neraka agar mereka boleh terus merasakan azab di atas segala yang mereka lakukan di dunia.

Semoga Allah SWT menjauhi kita dan membebaskan kita daripada api neraka-Nya. Amin

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas