Connect with us

Oh! Media

Adakah Memasukan Supositori Ke Dalam Dubur Membatalkan Wudhu’?

Umum

Adakah Memasukan Supositori Ke Dalam Dubur Membatalkan Wudhu’?

SOALAN:
Sekiranya dimasukkan supositori ke dalam dubur seseorang yang dalam keadaan berwudhu’, apakah batal wudhu’nya?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Supositori merupakan pepejal ubat yang dimasukkan ke dalam dubur, uretra atau kemaluan wanita, kemudian ia dibiarkan lalu menjadi cair. Manakala menurut Kamus Dewan, supositori adalah (Ubat) ubat pejal berbentuk silinder atau kon yg dimasukkan ke dalam dubur atau faraj supaya larut dan melepaskan bahan aktifnya. (Kamus Dewan Edisi Keempat).

Dalam mazhab Imam Al-Syafi’e, berikut merupakan beberapa perkara yang membatalkan wudhu’:

  • Keluarnya sesuatu dari dua saluran (qubul dan dubur).
  • Tidur dalam keadaan yang tidak tetap.
  • Hilangnya akal sama ada disebabkan mabuk atau sakit.
  • Bersentuhan kulit di antara seorang lelaki dengan perempuan ajnabi tanpa sebarang lapik.
  • Menyentuh kemaluan anak Adam dengan bahagian dalam (باطن).
  • Menyentuh halaqah (lubang) dubur dengan bahagian dalam tangan.

Dalam menjelaskan berkenaan maksud ‘sesuatu yang keluar dari dua saluran qubul dan dubur’, Imam Al-Mawardi membahagikannya kepada tiga bahagian yang berikut:

1. Satu kategori mewajibkan istinja’ iaitu najis (tahi), air kencing, dan semua yang keluar dalam keadaan basah.

2. Ada juga kategori yang tidak mewajibkan istinja’ seperti bunyi dan angin (dari kentut).

3. Bahagian yang berlaku perbezaan pendapat padanya iaitu sesuatu yang keluar dari dua saluran tersebut dalam bentuk ‘ain yang tidak ada kebasahan padanya seperti ulat atau batu yang keluar dalam keadaan kering. Maka berlaku perbezaan pendapat akan kewajipan beristinja’ darinya kepada dua pendapat. Pertama, tidak wajib beristinja’ kerana tidak basah sama seperti kentut. Kedua, wajib beristinja’ kerana terdapatnya ‘ain (benda) iaitu ulat atau batu. [Rujuk Al-Hawi Al-Kabir, Al-Mawardi (1/60)]

Dalam menjawab persoalan yang dikemukakan di atas, secara asasnya kaedah umum yang diletakkan oleh para ulama’ berkenaan perkara-perkara yang mewajibkan wudhu’ ini adalah ia disebabkan oleh keluarnya sesuatu dari badan dan bukan kerana masuknya sesuatu. Hal ini berdasarkan kata-kata daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

الْوُضُوءُ مِمَّا خَرَجَ وَلَيْسَ مِمَّا دَخَلَ
“Wudhu’ itu disebabkan sesuatu yang keluar dan bukannya disebabkan sesuatu yang masuk.” [Riwayat Ibn Abi Syaibah (535)]

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa masuknya supositori ke dalam dubur seseorang yang dalam keadaan berwudhu’ tidaklah membatalkan wudhu’. Meskipun begitu, terdapat dua keadaan yang boleh membatalkan wudhu’ individu tersebut iaitu:

  • Sekiranya dia memasukkan sendiri supositori tersebut ke dalam duburnya lalu bahagian dalam tangannya menyentuh lubang duburnya. Maka keadaan ini membatalkan wudhu’. Sekiranya dengan sarung tangan, maka ia tidak membatalkan wudhu’.
  • Jika supositori yang telah dimasukkan itu keluar semula dari saluran dubur, maka hal tersebut membatalkan wudhu’. Maka dalam keadaan ini, wajib untuk beristinja sekiranya ia keluar dalam keadaan basah dan ia mewajibkan wudhu’.

Akhir kalam, semoga pencerahan ini sedikit sebanyak memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas