Connect with us

Oh! Media

Adakah I’tidal Dianggap Rukun Panjang?

Umum

Adakah I’tidal Dianggap Rukun Panjang?

Soalan:
Adakah i’tidal di dalam solat dianggap sebagai rukun panjang?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
I’tidal merupakan perbuatan berdiri di antara rukuk dan sujud. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.Anha ketika menceritakan cara bersolat Rasulullah SAW, katanya:

كَانَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ لَمْ يَسْجُدْ حَتَّى يَسْتَوِىَ قَائِمًا
“Apabila mengangkat kepalanya daripada rukuk, Baginda tidak sujud sehingga telah berdiri tegak.” [Riwayat Muslim (498)]

Hadith seterusnya, Rasulullah SAW bersabda ketika mengajarkan cara-cara bersolat kepada seorang lelaki yang tidak melakukannya:

ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا
“Kemudian bangunlah hingga engkau berdiri tegak.” [Riwayat al-Bukhari (724) dan Muslim (397)]

Berdasarkan mazhab Syafi’e, syarat-syarat sah i’tidal adalah seperti berikut:

  • Tidak bertujuan lain selain daripada ibadat.
  • Tetap seketika sekadar masa sekali tasbih.
  • Tidak berdiri terlalu lama hingga melebih kadar bacaan al-Fatihah. Hal Ini kerana i’tidal merupakan rukun yang pendek dan tidak harus dipanjangkan.

(Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’e, 1/134-135)

Namun, para ulama’ berbeza pandangan adakah dibolehkan untuk memanjangkan i’tidal. Sebahagian ulama’ mengatakan ianya dibolehkan, hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Anas RA, beliau berkata:

مَا صَلَّيْتُ خَلْفَ أَحَدٍ أَوْجَزَ صَلَاةً مِنْ صَلَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي تَمَامٍ كَانَتْ صَلَاةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَقَارِبَةً وَكَانَتْ صَلَاةُ أَبِي بَكْرٍ مُتَقَارِبَةً فَلَمَّا كَانَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ مَدَّ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ قَامَ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَوْهَمَ ثُمَّ يَسْجُدُ وَيَقْعُدُ بَيْنَ السَّجْدَتَيْنِ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَوْهَمَ
“Belum pernah aku solat di belakang seseorang yang lebih ringkas solatnya daripada solat Rasulullah SAW dengan kesempurnaannya. Solat baginda adalah hampir sama (antara satu rukun dengan rukun lainnya), dan solat Abu Bakr adalah saling berdekatan (antara satu rukun dengan rukun lainnya). Lalu ketika Umar mengimami, maka dia memanjangkan dalam solat Subuh. Rasulullah SAW pernah apabila mengucapkan, (سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ), maka baginda berdiri hingga kami mengatakan bahawa baginda telah lupa, kemudian baginda sujud dan duduk di antara dua sujud hingga kami mengatakan bahawa baginda telah lupa.” [Riwayat Muslim (473) , dan Abu Dawud (853)]

Syeikh Syaraf al-Haq al-‘Azim Abadi dalam syarahnya menyebut: “Hadith ini menunjukkan secara zahir untuk memanjangkan I’tidal dan duduk di antara dua sujud.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud, 3/64)

Imam al-Syaukani mengatakan dalam kitab Nail al-Autar: “Hadith ini menjadi dalil kepada bolehnya memanjangkan i’tidal daripada rukuk dan duduk antara dua sujud. Sebahagian ulama’ Syafi’iyyah mengatakan batal solat orang yang memanjangkan i’tidal dan duduk antara dua sujud dengan hujjah ianya menafikan sifat al-Muwalat (berturut-turut) dalam solat.

Beliau kemudian menukilkan kalam Ibn Daqiq al-‘Eid: “Hadith ini menunjukkan bahawa i’tidal merupakan rukun yang panjang dan hadith Anas menunjukkan dengan jelas mengenai perkara itu dan ianya merupakan dalil baginya.” (Lihat Nail al-Autar, 2/304)

Hal ini dikuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan daripada Huzaifah RA, beliau berkata:

فَكَانَ رُكُوعُهُ نَحْوًا مِنْ قِيَامِهِ، ثُمَّ قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، ثُمَّ قَامَ طَوِيلًا قَرِيبًا مِمَّا رَكَعَ، ثُمَّ سَجَدَ، فَقَالَ: سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى، فَكَانَ سُجُودُهُ قَرِيبًا مِنْ قِيَامِهِ
“Rukuk baginda SAW panjangnya hampir sama dengan berdiri baginda, kemudian baginda berkata, (سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ), kemudian baginda berdiri lama hampir sama dengan rukuk baginda, kemudian baginda sujud dan baginda berkata, (سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى). Sujud baginda hampir sama tempohnya dengan berdirinya baginda.” [Riwayat Muslim (772)]

Imam al-Nawawi mengatakan: “Pada hadith ini menunjukkan dengan jelas bahawa harus memanjangkan i’tidal dengan zikir.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/127)

Pandangan utama dalam mazhab Syafi’e pula mengatakan bahawa memanjangkan rukun yang pendek di dalam solat merupakan di antara perkara yang membatalkan solat. Antara rukun pendek adalah i’tidal (bangun daripada rukuk). Disyaratkan agar orang yang solat tidak memanjangkan i’tidalnya selepas daripada rukuk dengan pemanjangan yang ketara iaitu tidak melebihi kadar bacaan al-Fatihah. Ini kerana, i’tidal merupakan rukun yang pendek, maka tidak dibolehkan untuk memanjangkannya melainkan pada qunut dan solat Tasbih. [Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 273/1]


Imam al-Nawawi juga menukilkan pandangan ashab al-Khurasan bahawa i’tidal daripada rukuk merupakan rukun yang pendek serta dituntut agar diringankan (dipendekkan) rukun tersebut. Jika dia memanjangkan dengan sengaja seperti diam (diam yang panjang), membaca qunut yang tidak disyariatkan (tidak warid daripada Nabi SAW) atau dengan zikir yang lain, maka ketiga wajah ini yang paling sahihnya di sisi Imam al-Haramain dan ia juga diputuskan oleh al-Baghawi bahawa perbuatan ini membatalkan solatnya melainkan apa yang warid (datang) dalam syariat. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 126/4]

Bacaan Yang Warid Dalam I’tidal

Terdapat hadith sahih daripada Nabi SAW mengenai zikir yang dibaca ketika i’tidal yang diriwayatkan oleh Rifa’ah bin Rafi’ RA, beliau berkata:

كُنَّا يَوْمًا نُصَلِّي وَرَاءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرَّكْعَةِ قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ “، قَالَ رَجُلٌ وَرَاءَهُ: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ، فَلَمَّا انْصَرَفَ، قَالَ: مَنِ المُتَكَلِّمُ، قَالَ: أَنَا، قَالَ: رَأَيْتُ بِضْعَةً وَثَلاَثِينَ مَلَكًا يَبْتَدِرُونَهَا أَيُّهُمْ يَكْتُبُهَا أَوَّلُ
“Kami pernah solat bersama Rasulullah SAW, saat bangun dari rukuk baginda membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ. Tiba-tiba ada seorang sahabat yang membaca, رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ (Wahai Rabb kami, bagi-Mu segala puji, aku memuji-Mu dengan pujian yang banyak, yang baik dan penuh dengan barakah).” Selepas selesai solat, Rasulullah SAW bertanya: “Siapa yang mengucapkan kalimah itu?” Sahabat itu berkata: “Saya.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Aku melihat lebih tiga puluh malaikat berebut untuk menjadi yang pertama kali mencatatnya (pahalanya).” [Riwayat al-Bukhari (799), al-Nasaie (1062), dan Ahmad (18996)]

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata di dalam syarahnya: “Secara zahirnya, para Malaikat tersebut bukan Malaikat penjaga, kerana terdapat di dalam kitab Sahihain (al-Bukhari dan Muslim), hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, marfu’ kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah mempunyai Malaikat yang mengelilingi jalan-jalan mencari ahli zikir.” Hal ini juga menjadi dalil bahawa sebahagian daripada amalan ketaatan ditulis oleh Malaikat yang bukan tugasnya menjaga catatan amalan.” (Lihat Fath al-Bari, 2/286)

Ibn Rejab al-Hanbali pula di dalam kitab syarahnya menyebut: “Hadith ini menunjukkan kelebihan zikir ini di dalam solat, dan makmum boleh menambah tahmid dan pujian kepada Allah, sebagaimana pandangan mazhab al-Syafie dan riwayat daripada mazhab imam Ahmad. Contoh bagi zikir adalah baik dilakukan di dalam i’tidal daripada rukuk ketika solat fardhu, kerana para sahabat R.anhum kebiasaannya solat di belakang Nabi SAW pada solat fardhu, serta mereka tidak banyak solat sunat dibelakang baginda SAW. Dalam hadith ini juga menjadi dalil bahawa tidak makruh makmum menjaharkan (mengangkat suara) sekali sekala sebahagian daripada zikirnya di belakang imam, sebagaimana tidak makruh imam kadang-kadang menjaharkan sebahagian daripada bacaannya pada solat di siang hari.” (Lihat Fath al-Bari li Ibn Rejab, 7/202-203)

Selain itu, terdapat juga hadith di dalam Sahih Muslim yang menyebutkan bacaan lain di dalam i’tidal sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Aufa RA dan juga Abu Sa’id al-Khudhri RA.

Daripada Abu Aufa RA, beliau bekata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا رَفَعَ ظَهْرَهُ مِنَ الرُّكُوعِ، قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، اللهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، مِلْءُ السَّمَاوَاتِ، وَمِلْءُ الْأَرْضِ وَمِلْءُ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْد
“Rasulullah SAW jika mengangkat kepalanya dari rukuk, beliau mengucapkan: Allah mendengar bagi sesiapa yang memuji-Nya, Ya Allah, Tuhan kami bagi-Mu pujian sepenuh langit dan bumi, sepenuh apa yang Engkau mahukan lebih daripada itu.” [Riwayat Muslim (476)]

Daripada Abu Sa’id al-Khudhri RA, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ قَالَ : رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ مِلْءُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، وَمِلْءُ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ، أَهْلَ الثَّنَاءِ وَالْمَجْدِ، أَحَقُّ مَا قَالَ الْعَبْدُ، وَكُلُّنَا لَكَ عَبْدٌ، اللهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ “
“Rasulullah SAW jika mengangkat kepalanya dari rukuk beliau mengucapkan: Tuhan kami bagi-Mu pujian sepenuh langit dan bumi, sepenuh apa yang Engkau mahukan lebih daripada itu, yang memiliki semua pujian dan kebaikan, yang paling berhak diucapkan oleh setiap hamba, dan setiap daripada kami adalah hamba-Mu. Ya Allah tidak ada yang boleh menghalang apa yang Engkau berikan. Dan tidak ada yang boleh memberikan apa yang Engkau halang. Dan segala daya upaya tidak bermanfaat kecuali dengan izin-Mu, seluruh kekuatan hanya milikMu.” [Riwayat Muslim (477)]

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan bab ini menyebut: “Pada hadith ini mempunyai faedah yang banyak. Antaranya, sunat untuk mengucapkan zikir ini, serta wajib beri’tidal dan bertenang padanya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/193)

Penutup

Kesimpulannya, berdasarkan nas dan hujah di atas, kami menyatakan bahawa pandangan mazhab Syafi’e mengatakan rukun i’tidal termasuk dalam rukun yang pendek.

Namun, kami cenderung mengatakan bahawa harus untuk memanjangkan i’tidal sekiranya bacaan yang dibaca di dalamnya merupakan bacaan yang warid daripada Nabi SAW serta tidak membebankan makmum sekiranya dia menjadi imam.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama agar kita dapat beramal sesuai dengan kehendak Allah SWT dan Rasulullah SAW. Amin. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas