Connect with us

Oh! Media

Adakah Hutang Bank Membuatkan Roh Dan Amalan Akan Tergantung?

Umum

Adakah Hutang Bank Membuatkan Roh Dan Amalan Akan Tergantung?

Soalan:
Adakah sekiranya kita tidak sempat untuk melunaskan hutang pinjaman bank untuk membeli rumah, kereta atau pinjaman peribadi, maka roh dan amalan kita akan tergantung juga? Mohon penjelasan.

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mencatat segala hutang dan masa bayarannya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).” (Surah al-Baqarah: 282)

Hutang juga merupakan satu amanah yang wajib ditunaikan dengan secara adil dan hukum untuk melangsaikannya sebagai satu akad antara sesama manusia adalah wajib, ini seperti disebutkan di dalam al-Quran:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” (Surah al-Nisa: 58)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ ۚ
“Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” (Surah al-Maidah: 1)

Selain itu, terdapat banyak hadith yang menerangkan tentang ancaman terhadap golongan yang sengaja enggan membayar hutang dan tidak berusaha untuk melunaskan hutangnya tersebut.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَ مَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ
“Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya.” [Riwayat al-Bukhari: (2387)]

Rasulullah SAW juga bersabda:

أيُّما رجلٍ يَدَّينُ دَينًا وهو مجمعٌ أن لا يوفِّيه إيَّاه لقي اللهَ سارِقًا
“Sesiapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari Kiamat) sebagai seorang pencuri.” [Riwayat Ibn Majah: (1969)]

Di samping itu, hutang akan dibayar kepada si pemiutang dengan pahala amal kebajikan si penghutang di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda:

وَ مَنْ مَاتَ وَ عَلَيْهِ دَيْنٌ فَلَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ وَلَكِنَّهَا الحَسَنَاتُ وَ السَيِّئَاتُ
“Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang, maka di hari Akhirat tidak ada lagi urusan dinar dan dirham, yang ada hanyalah urusan berkaitan pahala kebaikan dan dosa kemaksiatan.” [Riwayat Abu Daud: (3597)]

Jiwa orang yang berhutang akan tergantung selagimana dia tidak melunaskan hutangnya terlebih dahulu. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
“Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.” [Riwayat Tirmidzi: (1079)]

Dosa berhutang tidak terampun kecuali dihalalkan oleh si pemiutang tersebut walaupun mati sebagai mati syahid. Rasulullah SAW bersabda:

يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إلَّا الدَّيْنَ
“Diampunkan semua dosa bagi orang yang terkorban mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia).” [Riwayat Muslim: (1886)]

Orang yang berhutang tidak disembahyangkan oleh Rasulullah SAW. Daripada Salamah bin Akwa’ RA bahawa dia berkata:

كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا فَقَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ فَصَلَّى عَلَيْهِ ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قِيلَ نَعَمْ، قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ، فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ، قَالَ فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟، قَالُوا ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ، قَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ، قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ، فَصَلَّى عَلَيْهِ
“Pernah suatu ketika kami duduk-duduk bersama Rasulullah SAW, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah SAW: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW: “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab: “Tidak”. Rasulullah SAW bersabda: “Apakah dia meninggalkan (mewariskan) sesuatu?” Mereka menjawab: “Tidak”. Lalu Baginda mengsolatkan jenazah itu. Kemudian dibawakan jenazah lain dan mereka memohon: “Wahai Pesuruh Allah! Solatkan jenazah ini”. Sabda Rasulullah SAW: “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab: “Ya”. Rasulullah SAW bersabda: “Apakah dia meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab: “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW: “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab: “Tiga dinar”. Lalu Baginda bersabda: “Biar kalianlah yang bersolat atas jenazah sahabat kalian ini.” Lalu Abu Qatadah merespon: “Mohon solat ke atas jenazah ini wahai Pesuruh Allah, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.” [Riwayat al-Bukhari (2286)]

Berdasarkan kepada dalil yang umum daripada ayat al-Quran dan hadith di atas, maka hutang tersebut termasuklah juga hutang kepada bank. Oleh itu, hutang pinjaman bank juga termasuk di dalam hutang yang wajib dibayar dan diancam dengan ancaman yang berat di dalam hadith sekiranya sengaja tidak mahu membayarnya.

Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai cara untuk memastikan pinjaman tersebut dilunaskan antaranya seperti mengambil pelan takaful bagi menjamin pembayaran hutang dan sebagainya. Kita haruslah berusaha memastikan bahawa kita dapat melunaskan hutang tersebut. Tambahan pula, hutang tersebut merupakan al-dayn al-muajjal (hutang yang boleh ditangguhkan), justeru ia boleh ditangguhkan kepada masa-masa tertentu jika sekiranya mempunyai kekangan.

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyatakan bahawa hutang pinjaman bank adalah sama seperti hutang-hutang yang lain. Justeru itu, ia termasuk dalam ancaman berat terhadap hutang yang disebutkan oleh Rasulullah SAW.

Oleh itu, kami menasihati kepada masyarakat supaya berusaha sedaya-upaya mengelakkan diri daripada berhutang kecuali jika diyakini mampu untuk membayarnya semula. Ini kerana Rasulullah SAW sendiri berlindung daripada masalah hutang. Dalam satu hadith yang diriwayatkan al-Bukhari:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَ سَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَلَاةِ : اللهمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَاْثَمِ وَ المَغْرَمِ. فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ: مَا أَكْثَرَ تَسْتَعِيذُ مِنَ المَغْرَمِ. فَقَالَ: إِنَّ الرَجُلُ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ.
Bahawasanya Rasulullah SAW berdoa selepas daripada menunaikan solat: “Ya Allah SWT, aku berlindung kepada-Mu dari berbuat dosa dan banyak hutang.” Lalu ada yang bertanya kepada Rasulullah SAW: “Kenapakah engkau selalu meminta perlindungan dalam masalah hutang?” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Jika orang yang berhutang berkata-kata, dia akan selalu berdusta. Jika dia berjanji, dia akan mengingkari.” [Riwayat al-Bukhari: (832)]

Pada akhirnya, kita berdoa kepada Allah SWT dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW bagi menyelesaikan hutang, antaranya:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.” [Riwayat Abu Daud, (4:353)]

Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas