Connect with us

Oh! Media

Adakah Dibenarkan Bersetubuh Jika Penceraian Masih Belum Disahkan Di Mahkamah?

Umum

Adakah Dibenarkan Bersetubuh Jika Penceraian Masih Belum Disahkan Di Mahkamah?

SOALAN:
Saya dalam proses mendapatkan surat cerai setelah menceraikan isteri saya. Namun dengan nama Allah, hakim/pendaftar di Mahkamah Syariah negeri Selangor terbabit menyatakan saya masih boleh bersetubuh dengan bekas isteri saya jika penceraian tidak mendapat pengesahan mahkamah. Adakah kuasa Mahkamah Syariah menafikan hukum syarak sedia ada? Adakah jika saya melakukan persetubuhan ia tidak dihukumkan sebagai zina oleh Allah?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Semoga Allah permudahkan urusan rumah tangga kalian.

Apabila berlaku penceraian, setiap pasangan perlu mengambil berat soal hak dan tanggungjawab serta perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan agar tidak terjerumus melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Syarak. Antara perkara penting yang wajib diketahui ialah berkaitan hukum talak dan rujuk beserta prosedurnya mengikut ketetapan daripada Mahkamah Syariah.

Dalam perkahwinan yang sah, seorang suami mempunyai hak untuk menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Penceraian pertama dan kedua masih boleh dirujuk selagi mana masih dalam tempoh iddah. Sekiranya tempoh iddah sudah tamat, suami tidak boleh rujuk isterinya kembali melainkan perlu mengulang semula akad nikah berserta maharnya sekali seperti perkahwinan pertama kali. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 4/180)

Dari segi hukum syarak, sejurus sahaja talak diucapkan maka talak satu akan jatuh serta-merta tidak kira sama ada lafaz talak diucapkan di mahkamah ataupun luar mahkamah. Kesannya, tidak boleh bagi bekas suami untuk tinggal bersama isteri yang telah diceraikan di dalam satu rumah apatah lagi melakukan persetubuhan, sama ada talak raj’ie[1] atau talak bain[2]. Ini kerana isteri yang sudah ditalakkan adalah wanita ajnabi (asing) kepada bekas suami. Inilah pendapat muktamad seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam Raudhah al-Talibin (8/418).

Kekeliruan timbul apabila ada pihak mengatakan talak hanya jatuh apabila dilafazkan di depan hakim di mahkamah tidak di luar. Menjawab kekeliruan ini, persoalan di atas boleh dijawab berdasarkan pembahagian wajib.

Ulama’ membahaskan wajib ada tiga jenis; wajib dari segi Syarak (Diyanah), wajib dari segi Undang-undang (Qada’) dan wajib dari segi Syarak & Undang-undang. Pengertiannya:

1. Wajib Diyanah ialah kewajipan yang dilaksanakan semata-mata atas suruhan Allah. Kewajipan yang perlu dilaksanakan walaupun tiada bukti yang boleh digunakan untuk membuktikan kewajipan tersebut, khususnya apabila didakwa dan dibicarakan di mahkamah.

Contohnya, suami mentalakkan isteri tanpa saksi. Apabila isteri ingin mengangkat kes talak ini ke mahkamah bagi menuntut hak-hak berkaitan sedangkan suami tidak mahu mengaku sudah melafazkan talak sehingga menyebabkan hakim memutuskan perempuan itu masih isteri yang sah atas faktor tidak mempunyai saksi dan pengakuan, si suami tetap tidak boleh menafikan fakta yang dia sudah menceraikan isterinya.

Keputusan hakim berdasarkan apa yang terzahir sahaja, sedangkan Allah Maha Mengetahui segalanya. Mengikut ketetapan Syarak, talak tetap jatuh dan suami wajib melaksanakan segala suruhan dan larangan berkaitan talak dan rujuk walaupun hakim memutuskan sebaliknya.

2. Wajib Qada’ ialah kewajipan yang perlu dilaksanakan mengikut kepada ketetapan undang-undang semata-mata. Kewajipan ini boleh dibuktikan dan dituntut di mahkamah mengikut akta dan enakmen yang diperuntukan.

Contohnya boleh didapati daripada soalan di atas, undang-undang mewajibkan setiap penceraian mestilah didaftarkan dan disahkan di mahkamah. Sekiranya penceraian tersebut masih belum mendapat pengesahan mahkamah, kesannya mereka berdua masih dianggap suami isteri di sisi undang-undang.

Namun perlu diingatkan, status suami isteri tersebut hanya sah di sisi undang-undang sahaja, tidak di sisi syarak. Hal ini berlaku kerana syarak menetapkan talak tetap jatuh apabila syarat-syaratnya dipenuhi tidak kira mahkamah sudah mengesahkannya atau belum.

3. Wajib Diyanah dan Qada’ ialah kewajipan yang syarak dan undang-undang tetapkan dalam masa yang sama. Jadi, apabila suami menceraikan isterinya melalui prosedur Mahkamah Syariah dan mahkamah mengesahkannya, maka penceraian itu sah di sisi syarak dan undang-undang.

(Lihat: al-Mausūah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 18/41]

Pembahagian wajib di atas menunjukkan bahawa penceraian yang berlaku di luar mahkamah tetap dianggap sah di sisi agama walaupun mahkamah masih belum mengesahkannya. Walaupun begitu, dinasihatkan kepada semua pasangan untuk mendaftarkan sebarang penceraian dan rujuk yang berlaku di Mahkamah Syariah. Dalam masa yang sama, mematuhi hukum-hakam berkaitan talak dan rujuk. Pengamalan ini lebih baik dan sempurna.

Menurut Akta Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri, lafaz talak perlulah dilakukan di dalam mahkamah sebagaimana yang dinyatakan di dalam seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 bagi tujuan rekod dan memudahkan urusan tuntutan jika terdapat sebarang permasalahan. Sekiranya lafaz talak tersebut dibuat di luar mahkamah, pihak suami atau isteri hendaklah segera membuat pengesahan di Mahkamah Syariah dalam tempoh 7 hari bagi mengelakkan didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Akta ini diwujudkan demi kebaikan kedua-dua belah pihak. Menyembunyikan lafaz talak yang dilakukan di luar mahkamah boleh menyebabkan ketiadaan rekod di Pejabat Agama dan menyukarkan pihak-pihak berkaitan untuk mengingat kembali butir kejadian sekiranya perkara yang sama berulang kembali di masa hadapan. Sekiranya lafaz telah berlaku secara kerap pula boleh menyebabkan berlakunya talak tiga tanpa disedari dan menyebabkan suami isteri tidak boleh berkahwin semula.

Lebih dahsyat apabila kedua-dua pasangan sudah melakukan persetubuhan sedangkan proses rujuk tidak dibuat di dalam tempoh iddah sehingga memberi kesan kepada nasab anak yang lahir. Jika berlaku, suami dan isteri terlibat wajib bertaubat kepada Allah kerana terlibat dengan dosa zina.

Penutup

Berdasarkan keterangan di atas, boleh disimpulkan bahawa haram bagi suami untuk bersetubuh dengan isterinya sepanjang tempoh penceraian walaupun belum mendapat pengesahan mahkamah. Kuasa Mahkamah Syariah berperanan sebagai institusi kehakiman dalam melaksanakan dan memelihara hukum syarak sedia ada demi memelihara kebaikan dan kepentingan anggota masyarakat.

Persetubuhan yang terjadi sebelum proses rujuk boleh dianggap sebagai zina. Suami dan isteri yang terlibat wajib bertaubat kepada Allah atas keterlanjuran yang dilakukan. Akhirnya, apabila suami melafazkan kata-kata yang meragukan segeralah merujuk ke Mahkamah Syariah yang berhampiran untuk penerangan lanjut. Sikap berdiam diri boleh membawa padah di kemudian hari.

Nota kaki:
[1] Talak raj’ie: Talak yang boleh dirujuk dengan syarat berlaku pada kali pertama dan kedua serta masih dalam tempoh ʿiddah.
[2] Talak bain: Talak yang tidak boleh dirujuk disebabkan tamat tempoh ʿiddah (ketika talak pertama atau kedua) atau talak berlaku kali ketiga.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas