Connect with us

Oh! Media

Adab Dalam Media Sosial

Umum

Adab Dalam Media Sosial

Media sosial kini telah menjadi kaedah alternatif untuk berhubung dengan seseorang. Ada yang dapat berjumpa semula dengan kenalan lama setelah berpuluh tahun tidak bertemu. Ada yang berkenalan dengan kenalan baharu dan mengenali pelbagai budaya, perniagaan dan bermacam-macam maklumat.

ADVERTISEMENT

Hampir setiap dari kita mempunyai akaun media sosial yang digunakan untuk pelbagai perkara seperti Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi Whatsapp dan sebagainya. Bahkan ada yang menghabiskan hampir keseluruhan waktunya pada media sosial. Statistik menunjukkan, sehingga Jun 2017, sebanyak 19 juta daripada rakyat Malaysia mempunyai akaun Facebook.

Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia antara pengguna yang aktif dalam penggunaan media sosial. Namun dalam keghairahan kita menggunakan laman sosial itu, ada adab-adab dan peraturan yang perlu kita patuhi sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT. Antaranya:

1. Menyampaikan perkara yang baik

Laman sosial menjadi medan untuk kita berkongsi menyampaikan maklumat pada perkara yang baik kerana menyampaikan perkara-perkara yang baik akan memperoleh ganjaran pahala. Ini bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu Anhu:

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak mana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya.” (Riwayat Muslim)

Oleh itu, kita hendaklah menjauhi dan menghentikan perkara yang tidak baik seperti fitnah, mengadu domba, membuka akaun palsu untuk mengaib dan menjatuhkan maruah orang lain, menghantar ayat-ayat berbaur lucah, hingga membawa kepada perselisihan dan persengketaan sesama manusia. Perbuatan yang buruk ini merupakan dosa yang wajib dihindari.

2. Pastikan sahih, sebelum disebarkan

Kita sebagai pengguna media sosial juga hendaklah memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya kepada orang lain. Memastikan kesahihan ini merupakan satu kewajipan dan tanggungjawab bagi setiap individu. Walaupun penulisan itu bukan tulisan kita tetapi kita turut berdosa kerana bertindak menyebarkannya. Peringatan ini dijelaskan oleh Allah SWT sepertimana firman-Nya dalam surah Qaf ayat 18 yang bermaksud:

“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya Malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

Bahkan Nabi kita Muhammad SAW juga mengingatkan melalui sebuah hadis-Nya daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang hamba apabila menuturkan satu perkataan yang tidak dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, akan membawanya ke neraka yang jaraknya lebih jauh dari jarak antara timur dan barat.” (Muttafaqun Alaih)

3. Menjaga batas-batas pergaulan

Dalam pada kita asyik dengan pertemuan kawan-kawan lama, berkenalan dengan rakan baharu, ada batas yang perlu dijaga. Ikhtilat atau perbualan serta komunikasi dengan yang bukan mahram secara melampau adalah satu perkara yang perlu kita lihat secara serius bagi mengelakkan mudharat di kemudian hari.

Semasa kita berkomunikasi di laman sosial, elakkan daripada berkomunikasi dengan terlalu mesra dan manja sehingga menimbulkan fitnah dan merosakkan hubungan dalam rumahtangga. Pastikan apa yang ingin disampaikan jelas dan nyata serta terus kepada maksud.

Akibat daripada batas perbualan yang tidak dikawal dengan sebaiknya dalam penggunaan media sosial, dibimbangi akan terjadi permasalahan hati yang menjerumus kepada keruntuhan akhlak. Oleh itu batasilah perbualan di laman sosial dengan sebaik mungkin.

4. Menjaga keaiban

Ada dikalangan segelintir daripada kita yang terikut-ikut dengan trend masa kini yang secara tidak langsung suka membuka aib orang lain apabila menulis atau berkongsi sesuatu artikel. Lebih parah lagi apabila aib pasangan juga dijaja atau dibuka kepada umum dengan cara yang tidak disedari.

Oleh itu kita disuruh untuk menjaga dan tidak mendedahkan keaiban orang lain sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang menutupi (aib) seseorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Riwayat al-Bukhari)

Disamping adab-adab yang telah dinyatakan, sebagai pengguna media sosial hendaklah bijak menggunakan masa yang sesuai untuk berkomunikasi. Hindari menggunakannya ketika khatib sedang membaca khutbah Jumaat, ketika makan, memandu, ketika bergaul bersama-sama ahli keluarga, sejurus selesai solat hinggakan tiada masa untuk berdoa dan berzikir.

Adab-adab penggunaan media sosial bukanlah bertujuan untuk menyekat kebebasan seseorang, namun ia adalah untuk memastikan agar kita berjaya menjadi Muslim yang bertaqwa kepada Allah SWT, sekaligus menunjukkan imej sebagai seorang Muslim yang berakhlak mulia.

Sebagai seorang Muslim juga, kita adalah merupakan ejen penyebar kebaikkan kepada semua golongan masyarkat. Contohilah baginda Nabi SAW yang bermuamalat dengan kaumnya yang menentang baginda, contohilah baginda yang bersahabat dengan sahabatnya dan berkomunikasi dengan bukan Muslim, contohilah baginda yang berurusan dengan kaum wanita dengan penuh tertib dan penuh dengan tatasusila kerana sesungguhnya pada diri baginda itu wujud serba serbi contoh yang perlu menjadi ikutan kita semua.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat -benar (dalam segala perkara), supaya ia memberi taufik dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.” (Surah al-Ahzab: 70-71)

Oleh: Jabatan Agama Islam Selangor
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas