Connect with us

Oh! Media

Sorok Mayat Bayi Dalam Peti Sejuk, Ini Hukuman Yang Dijatuhkan Kepada Pengasuh

Trending

Sorok Mayat Bayi Dalam Peti Sejuk, Ini Hukuman Yang Dijatuhkan Kepada Pengasuh

Beberapa tahun lalu, negara dikejutkan dengan penemuan mayat bayi lelaki berusia lima bulan dalam bahagian sejuk beku peti ais rumah pengasuh di Batu Caves, Selangor.

ADVERTISEMENT

BACA: Ibu Adam Raykal Tidak Dapat Terima

Mengimbau kronologi kes, pada 3 Julai 2018, ibu Adam Rayqal telah menghantar anaknya ke rumah pengasuh di Kampung Nakhoda, Batu Caves Gombak.

Kronologi kes

Pada pukul 7 malam, pengasuh mendakwa Adam telah diambil oleh seorang lelaki yang disangkakan bapa kepada bayi itu. Berita kehilangan bayi itu tular di media sosial selepas misi pencarian dijalankan.

Pihak polis mendapati terdapat keraguan dalam keterangan pengasuh. Selepas pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menemui mayat Adam Rayqal tersorok dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu, kira-kira 11 malam.

Mayat ditemui lengkap berpakaian, berbalut kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau.

Hasil bedah siasat mendapati, mangsa meninggal dunia akibat pendarahan dalam di bahagian otak serta keretakan pada tempurung kepala.

Susulan itu, polis menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun untuk siastan lanjut.

Bagaimanapun, rakan serumah pengasuh terbabit dibebaskan dengan jaminan polis kerana tiada kaitan dengan kes itu.

Pengasuh didakwa atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan kepala dan melupuskan mayat bayi lelaki Adam Rayqal Mohd Sufi berusia lima bulan di rumahnya di Kampung Nakhoda.

Pertuduhan dan hukuman

Foto: Bernama

Terbaru, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk mengekalkan hukuman penjara selama enam tahun kepada tertuduh.

Keputusan itu dibuat panel hakim selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mewakili Noor Aqilah, Peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff memaklumkan panel hakim bahawa anak guamnya turut berhasrat menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Selepas rayuan kedua-dua pihak dibatalkan, Noor Aqilah diperintah menjalani hukuman penjara itu mulai 14 Februari 2019.

Lapor Berita Harian, pada tarikh sama, Noor Aqilah yang mengaku bersalah menyebabkan kecederaaan di bahagian kepala dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan dan denda RM5,000.

Jika gagal membayar denda, tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan. Wanita itu turut dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun, cagaran RM8,000 dan khidmat masyarakat selama 200 jam.

Bagi kesalahan melupuskan mayat dengan niat menyembunyikan kematian supaya terlepas hukuman, tertuduh dipenjara 18 bulan dan denda RM5,000.

Dilaporkan, pada 8 Ogos 2019, Mahkamah Tinggi yang membenarkan rayuan pendakwaan telah menaikkan hukuman penjara kepada enam tahun bagi kesalahan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Manakala, hukuman penjara bagi pertuduhan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan perintah lain dikekalkan.

Mahkamah memerintahkan Noor Aqilah menjalani hukuman secara serentak menjadikannya selama enam tahun sahaja.

Peguam mewakili Noor Aqilah mengesahkan anak guamnya telah membayar denda sebanyak RM10,000 serta melakukan khidmat masyarakat selama 200 jam.

Kredit: Berita Harian | Sinar Harian

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh!Media.

Comments

Lagi dalam kategori Trending

Ke Atas