Rakyat Indonesia sudah tentu berasa bangga dengan kewujudan litar Mandalika selepas akhirnya dapat kembali menganjurkan sukan permotoran terbesar dunia iaitu MotoGP. Bagaimanapun, siapa sangka ada kisah menyedihkan disebalik pembinaan litar ini.
Kisah ini tersebar selepas gambar tiga penduduk tempatan yang mengenakan kain pelekat sambil menyaksikan sesi ujian MotoGP di tepi pagar litar Mandalika viral.
Gambar tersebut telah dikongsikan melalui Instagram milik Repsol Honda Team dan dari situlah kisah sebenar tiga individu terbabit terbongkar.
Identiti tiga lelaki terbabit berjaya dikesan iaitu Sibawaeh 53 tahun, Medan 47 tahun dan Amaq Manim 57 tahun. Mereka bertiga sebenarnya adalah pemilik asal sebahagian tanah yang telah dibeli kerajaan Indonesia bagi pembangunan litar Mandalika.
Apa yang menyedihkan adalah, tanah milik mereka telahpun diserahkan tetapi pembayaran tanah masih belum diselesaikan. Pihak Perbadanan Pembangunan Pelancongan Indonesia (ITDC) seharusnya bertanggungjawab menyelesaikan urusan penjualan dan pembayaran tetapi masih menyepi.
Tanah tergadai duit tak dapat!
Bunyi deruan motor ini buat hati saya sakit. Sedih mengenangkan nasib kami, tanah tergadai, duit tak dapat. Kami tidak sedar gambar kami dirakam ketika menyaksikan sesi ujian itu dan dalam hati kami terdetik bilakah masalah jual tanah ini akan selesai. – Kata Sibawaeh kepada Kompas.com.
Memetik laporan Kompas.com lagi, Gabenor Nusa Tenggara Timur dikatakan telah mengwujudkan pasukan tindakan bagi menyelesaikan masalah ini tetapi masih tidak berlaku apa-apa.
Setakat ini, sebanyak 10 kes masalah tanah dilaporkan dan hanya 2 kes sahaja yang berjaya diselesaikan. Jurucakap pasukan tindakan itu juga memaklumkan bahawa proses menyelesaikan masalah penjualan dan pembayaran tanah akan mengambil masa yang lama.
Kesian pula lihat wajah tidak orang pemilik asal tanah litar Mandalika ni. Semoga segala permasalahan ini dapat diselesaikan kerajaan Indonesia sebaiknya.
Kredit: Utusan
+ Baca respon pembaca yang di Facebook dan Telegram Oh! Media.