Ibu kepada Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain iaitu Hawa Osman berpendapat hukuman gantung sampai mati terhadap enam pelaku adalah adil.
BACA: Enam Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung Sampai Mati Bersalah Bunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan
Dalam satu temu bual bersama Mingguan Wanita, Hawa berkata, enam pelaku tersebut tidak sepatutnya membuat rayuan kerana kes sudah diadili dengan baik.
Ibu Zulfarhan masih sedih walau sudah 8 tahun berlalu
Walaupun sudah 8 tahun berlalu, Hawa masih bersedih apabila mengenangkan keadaan arwah yang menahan kesakitan ketika ditekap seterika panas.
Arwah diikat tangan ke belakang, diikat kaki. Apabila ditekap, arwah jatuh dan menjerit meraung, “Sakit.. panas”. Saya sedih kami satu keluarga tak dapat menatap arwah semasa nazaknya.
Sejak pemergian Zulfarhan, dia tidak pernah berhenti berdoa agar arwah mendapat keadilan. Setiap kali selesai solat, dia memohon agar sesiapa sahaja yang menunaikan umrah dan haji turut mendoakan perkara yang sama.
“Mati biarlah dibalas mati”
Perjuangan mereka untuk menuntut keadilan tidak pernah berhenti. Hawa dan suaminya bertekad untuk hadir ke setiap prosiding mahkamah bagi memastikan arwah Zulfarhan tidak dilupakan.
Malah, suaminya sendiri sanggup menangguhkan pembedahan saluran jantung yang tersumbat demi menyaksikan keadilan ditegakkan.
Dengan linangan air mata, Hawa berkongsi rasa kecewa kerana hingga ke hari ini keluarganya masih tidak mengetahui individu sebenar yang bertanggungjawab atas penderitaan yang dialami arwah Zulfarhan.
Saya kata, saya tak berdendam, cuma terkilan kerana mereka tidak menceritakan perkara yang sebenar. Setiap kali lepas solat, saya maafkan muslimin dan muslimat, termasuklah anak mereka. Tapi hati ini tetap akan kenang seumur hidup apa yang mereka dah buat kepada Along.
Dalam pada itu, Hawa mengaku ada ahli keluarga pelaku datang memohon maaf dan berharap melupakan dendam tetapi hatinya tetap terluka kerana kebenaran masih belum terungkap sepenuhnya.