Satu insiden yang melibatkan seorang pegawai kadet tahun dua Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menjadi bualan ramai apabila mangsa ditekap dengan seterika panas oleh pelajar senior pada 22 Oktober lalu.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, siasatan awal mendapati kejadian ini bukanlah disebabkan tindakan buli, tetapi dikatakan berpunca daripada gurauan keterlaluan antara mereka.
Ketika kejadian, kedua-dua pegawai kadet terbabit sedang berbual. Salah seorang daripada mereka secara spontan mencabar, ‘pernah cuba tak,’ yang kemudiannya membawa kepada tindakan menekap seterika panas pada badan mangsa.- Jelas Datuk Rusdi.
Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 11.45 malam di bilik asrama UPNM ketika mangsa sedang menggosok pakaian.
IKLAN
Pelaku, seorang pegawai kadet tahun empat, dipercayai melakukan tindakan tersebut secara tidak sengaja sebagai satu gurauan yang keterlaluan.
Walaupun tiada motif pergaduhan atau dendam, tindakan menggunakan objek panas seperti ini menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan pelajar.
Datuk Rusdi turut memaklumkan bahawa pihak polis tidak membuat sebarang tangkapan dalam kes ini kerana kedua-dua individu yang terlibat telah memberikan keterangan lengkap dan pihaknya tidak melihat keperluan untuk tindakan lanjut terhadap pelaku.
Kami sudah merakam percakapan daripada 16 individu, termasuk rakan sebilik, jurulatih, serta individu yang merakam video kejadian.- Tambah beliau.
Setakat ini, polis masih menunggu laporan perubatan daripada mangsa untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut.
#OhmediaNasihat
Kejadian ini menjadi pengajaran bahawa tindakan gurauan keterlaluan boleh mendatangkan bahaya dan kecederaan serius.
Walaupun tanpa niat jahat, penting untuk sentiasa mempertimbangkan risiko dan kesan tindakan kita terhadap orang lain.
Hafizal adalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang sentiasa hadir menemani anda, terutama di saat-saat lewat malam. Untuk mendapatkan berita terkini dan cerita viral, jangan lupa cari nama Hafizal—sentiasa ada untuk menghibur dan menginformasikan anda!