Dengan teknologi terkini, segala yang pernah dilihat mustahil sebelum ini boleh direalisasikan. Kadang-kadang kita sendiri susah membezakan mana satu yang realiti, mana satu suntingan komputer. Sebelum ini kita lihat imej janaan komputer (CGI) banyak digunakan dalam filem, tapi sekarang, manusia ciptaan juga boleh dijana menggunakan teknologi serupa!
Siapa Imma?
Dari sinilah munculnya Imma, influencer dari Jepun yang mencipta sensasi sendiri dalam kalangan pengguna laman sosial. Imma adalah manusia maya yang ‘dilahirkan’ dari teknologi rendering canggih untuk menghasilkan ekspresi wajah dan bahasa tubuh yang realistik.
Hasilnya, pengikut di Instagram berjumlah 406 ribu manakala di TikTok, 489 ribu pengguna menjadi pengikutnya menjadikan keseluruhan lebih 800 ribu orang mengikuti perkembangannya di laman sosial.
Imma dinamakan bersempena perkataan Jepun ‘Ima’ yang bermaksud sekarang. Dia cukup sinonim dengan potongan rambut bob merah jambu yang ikonik dan merupakan manusia maya pertama di Asia. Tinggi, berat dan kewarganegaraannya kekal misteri sehingga hari ini.
Aktif dalam bidang kreatif, pameran seni
Sejak diperkenalkan pada 2018, Imma telah mengejutkan ramai pihak dan ditampilkan dalam media dari fesyen hingga ke seni, majalah dan pelbagai platform lain. Imma adalah seorang model fesyen yang mengekspresikan dirinya dengan bidang kreatif melalui pelancaran koleksi rekaan sendiri untuk siri Amazon Fashion ‘The Drop’.
Selain itu, Imma turut bekerjasama dengan 13 penggiat seni Jepun dan antarabangsa untuk pameran ‘immaten’ termasuklah pereka grafik dan pengarah seni terkenal Jepun, Yuni Yoshida.
Diiktiraf pelbagai pihak
Imma dinobatkan sebagai ‘100 Bakat Baru Jepun’ oleh syarikat media berpengaruh, Nikkei. Selain itu, Imma juga menjadi salah seorang ‘Wanita Tahun 2020’ oleh Forbes Women untuk menghargai inisiatif sosialnya kepada masyarakat.
Pada 2021, dia menerima Cool Japan Award, inisiatif dari Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun untuk aktiviti yang dijalankan di Cambodia bagi meningkatkan kesedaran di negara tersebut.
Kempen IKEA Harajuku yang menampilkan Imma merangkul anugerah Pengiklanan, Media dan Perhubungan Awam Realiti Tertambah 2021 untuk Anugerah Webby. Imma juga menerima anugerah Wood Pencil dari D&AD 2021 yang mengangkat karya dalam bidang rekaan dan pengiklanan.
Imma turut membuat penampilan khas ketika acara penutupan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 lalu.
Terbaru, Imma dikatakan akan bekerjasama dengan jenama telefon pintar vivo. Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan kerjasama tersebut akan dijalankan. Adakah Imma akan menjadi duta baru vivo? Atau Imma bakal ditampilkan dalam model terbaru keluaran vivo edisi khas?
Nantikan pengumuman khas mengenai kolaborasi Imma dan vivo yang akan diketahui tidak lama lagi. Ikuti vivo di Facebook, Instagram dan laman web untuk update terkini dan pengumuman ini. Mesti ramai tertunggu-tunggu!