Branded
Penyertaan Anugerah Tandas Terbaik Negara 2026 Naik 146% Sejak 2023
Artikel Tajaan · Apa maksudnya?
Anugerah Tandas Terbaik Tahun 2026 (TOTYA 2026) mencatat rekod baharu dengan 849 penyertaan, melonjak 146 peratus berbanding 345 penyertaan ketika anugerah itu mula diperkenalkan pada tahun 2023.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming berkata peningkatan ketara tersebut membuktikan bahawa usaha kerajaan kini sudah mula menampakkan hasil.
TOTYA bukan sekadar platform pengiktirafan tahunan, malah ia telah berkembang menjadi pemangkin kepada kempen kebersihan tandas awam di seluruh negara.
Cerminkan kesedaran tinggi masyarakat

Menurut beliau, peningkatan penyertaan kali ini turut mencerminkan kesedaran masyarakat yang semakin tinggi dalam kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), institusi pendidikan, pengusaha premis komersial dan pelbagai pihak terhadap kepentingan menyediakan tandas awam yang bersih, selesa, menawan dan wangi.
Tandas awam yang bersih, menawan dan wangi bukan sekadar soal keselesaan, tetapi merupakan cerminan imej, disiplin dan tahap peradaban sesebuah negara. Kita mahu kebersihan tandas awam menjadi satu budaya nasional. Kerajaan tidak boleh bergerak bersendirian. Kita perlu menggembleng kekuatan semua pihak supaya standard kebersihan tandas awam terus ditingkatkan,”
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Tandas Terbaik Tahun 2026 (TOTYA 2026) di Pavilion Damansara Heights, pada malam Selasa.
Perkukuh sektor pelancongan

Tambah beliau, tandas awam turut memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi dan first impression pelancong terhadap Malaysia, khususnya selaras dengan aspirasi negara untuk memperkukuh sektor pelancongan dan meningkatkan daya saing negara di pentas dunia.
Kebersihan tandas awam mencerminkan tahap tamadun sebuah negara. Kerajaan berhasrat apabila rakyat dan 47 juta pelancong menggunakan tandas awam di Malaysia, mereka dapat melihat satu standard yang sama iaitu bersih, menawan, wangi, selesa dan selamat.
Seiring dengan usaha memperkukuh standard pengurusan tandas awam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mempergiat transformasi melalui pengenalan Tandas Pintar BMW-i, yang mengintegrasikan teknologi automasi, sensor persekitaran dan sistem pemantauan digital bagi meningkatkan kecekapan penyelenggaraan serta keselesaan pengguna.
Pendekatan tersebut turut diperkukuh menerusi Aplikasi Penarafan Bintang Tandas Awam (PBTA) yang membolehkan pemantauan dan penilaian tahap kebersihan tandas awam dilaksanakan secara lebih sistematik, telus dan berkesan.
Umum komitmen RM150 juta

Melalui gabungan pelaburan kerajaan dan sektor swasta, inisiatif KPKT dijangka merancakkan aktiviti ekonomi berkaitan industri kelengkapan tandas dengan anggaran nilai melebihi RM100 juta.
Pada majlis sama, YB Tuan Nga Kor Ming turut mengumumkan komitmen baharu sebanyak RM150 juta bagi tempoh lima tahun, dari 2026 hingga 2030, bagi menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara tandas awam milik PBT di seluruh negara.
Beliau berkata peruntukan tersebut merupakan kesinambungan komitmen KPKT dalam memastikan kemudahan asas rakyat sentiasa berada pada tahap yang baik, selamat dan selesa untuk digunakan.
Sejak 2023, KPKT telah menyalurkan RM154 juta bagi kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan, melibatkan 1,529 tandas awam PBT di seluruh negara dan jumlah tandas awam yg berjaya dibaikpulih dan naik taraf meningkatkan kepada 11,835 buah.
Dalam pada itu, TOTYA 2026 mengiktiraf pemenang bagi lapan (8) kategori utama iaitu kategori PBT, hotel, sekolah, stesen minyak, restoran, pusat beli-belah, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) termasuk rumah ibadat.
Setiap pemenang utama menerima wang tunai RM20,000 berserta trofi dan sijil pengiktirafan sebagai penghargaan terhadap komitmen serta pencapaian cemerlang dalam penyediaan dan pengurusan kemudahan tandas.
