Connect with us

Oh! Media

Dakwaan Terima Rasuah RM6.9 Juta, Ketua Penerangan BERSATU Mohon Dibicara, Diikat Jamin RM400k

ketua penerangan bersatu

Oh! Negara

Dakwaan Terima Rasuah RM6.9 Juta, Ketua Penerangan BERSATU Mohon Dibicara, Diikat Jamin RM400k

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

ADVERTISEMENT

BACA: “Wallahi, Saya Tak Terima Satu Sen Pun” -Muhyiddin Jawab Tuduhan Terima RM300 Juta

Memetik laporan Berita Harian, pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi ketika beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Penerangan Bersatu diikat jamin RM400,000

ketua penerangan bersatu wan saiful
Foto: Berita Harian

Wan Saiful diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin dan sebutan seterusnya untuk serahan dokumen ditetapkan pada 22 Mac ini. Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan.

Menurut kertas pertuduhan, Ahli Parlimen Tasek Gelugor pada April tahun lalu didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara pra kelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana.

Untuk pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima RM6.9 juta daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd. menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd. Wang suapan itu didakwa sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima untuk projek yang sama.

Hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda

Untuk pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat turut hadir ke mahkamah hari ini untuk mengikuti perkembangan di atas.

Kredit: Berita Harian

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh!Media.

Lagi dalam kategori Oh! Negara

Ke Atas