Oh! Negara
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Ditahan SPRM, Disyaki Terima Rasuah RM1.6 Juta
Pengerusi jawatankuasa perumahan ditahan SPRM Johor selepas disyaki meminta dan menerima rasuah RM1.6 juta.
Urusan memohon lot tapak rumah yang sepatutnya membantu orang ramai akhirnya bertukar menjadi kes rasuah membabitkan jumlah yang cukup besar.
Seorang pengerusi jawatankuasa perumahan sebuah badan berkanun di Johor kini berdepan siasatan selepas disyaki meminta dan menerima kira-kira RM1.6 juta daripada ratusan pemohon tanah kerajaan.
Didakwa minta RM4,000 daripada setiap pemohon

Menurut SPRM Johor, lelaki berusia lingkungan 40-an itu dipercayai meminta kira-kira RM4,000 daripada setiap seorang melibatkan 400 pemohon lot tapak rumah.
Siasatan awal mendapati, suspek disyaki melakukan kesemua perbuatan itu antara 2016 hingga 2025.- Menurut kenyataan SPRM Johor.
Lebih mengejutkan, wang berkenaan dipercayai bukan sekadar dikutip, malah didakwa dikeluarkan daripada akaun bank jawatankuasa untuk kegunaan sendiri dengan menggunakan invois palsu.
Ditahan SPRM selepas beri keterangan

Suspek ditahan kira-kira jam 7.30 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim memaklumkan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A), Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Individu terbabit akan dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas proses rakaman keterangannya selesai.
