Oh! Negara
Tun Dr Siti Hasmah Meninggal Dunia Pada Usia 100 Tahun
Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di IJN pada usia 100 tahun, pagi ini.
Negara kehilangan seorang figura yang cukup dekat di hati rakyat apabila Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dilaporkan meninggal dunia pagi ini.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada usia 100 tahun.
Pemergian Tun Dr Siti Hasmah disahkan Mokhzani

Berita pemergian Allahyarhamah disahkan sendiri anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir ketika dihubungi Bernama. Allahyarhamah dilaporkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi dan meninggalkan tujuh orang anak.
Pemergian Tun Dr Siti Hasmah pastinya meninggalkan kesan buat keluarga serta mereka yang mengenali figura yang selama ini sering dilihat berada di sisi Tun Dr Mahathir.
Agong, Raja Permaisuri Agong zahir takziah

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah.
Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar Allahyarhamah dicucuri rahmat Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
Dalam masa sama, doa turut dititipkan agar seluruh keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
