Trending
Bekas Isteri Najib Razak Meninggal Dunia, Anak Sulung Kongsi Ucapan Pilu Buat Bonda
Pemergian seorang ibu pastinya meninggalkan kehilangan yang cukup besar buat anak-anak dan keluarga. Hargailah ibu bapa selagi mereka masih ada kerana kasih sayang dan pengorbanan mereka tidak mungkin dapat digantikan.
Bekas isteri kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar dilaporkan meninggal dunia pada Khamis.
Menurut laporan Sinar Harian, berita sedih itu dikongsikan anak sulungnya, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib menerusi satu hantaran di Facebook.
Menerusi perkongsian tersebut, Nizar menzahirkan rasa dukacita atas pemergian bonda tercinta selain mengenang segala kasih sayang, pengorbanan dan doa yang dicurahkan sepanjang hayatnya.
“Bonda tetap hidup dalam doa dan ingatan anakanda” – Nizar Najib
Dalam hantaran sama, Nizar turut menitipkan ucapan penuh penghargaan buat ibunya serta mendoakan agar segala dosa Allahyarhamah diampunkan dan ditempatkan dalam kalangan penghuni syurga.
Terima kasih, bonda atas segala kasih sayang, pengorbanan dan doa sepanjang hayatmu. Tiada apa yang mampu membalas segala jasamu.
Semoga Allah SWT mengampuni segala dosamu, merahmatimu dan menempatkanmu dalam kalangan penghuni Syurga Firdaus.
Bonda tetap hidup dalam doa dan ingatan anakanda selamanya.
Hantaran tersebut turut disertakan dengan ucapan Al-Fatihah buat Allahyarhamah.
Sebelum ini bekas isteri Najib Razak dilaporkan kritikal di ICU
Untuk makluman, Allahyarhamah Tengku Puteri Zainah berusia 65 tahun dan merupakan ibu kepada tiga orang anak iaitu Nizar, Putri Norlisa dan Mohd Nazifuddin.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan keadaan kesihatan Tengku Puteri Zainah yang dilaporkan kritikal sebelum mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
