Oh! Negara
Syed Saddiq Dedah 7 Pelaburan Tabung Haji Rugi RM2.58 Bilion
Syed Saddiq dedah tujuh pelaburan Tabung Haji mengalami kerugian penuh dengan jumlah mencecah kira-kira RM2.58 bilion.
Tujuh pelaburan bermasalah Lembaga Tabung Haji (TH) dilaporkan mengalami kerugian sepenuhnya sehingga jumlahnya mencecah kira-kira RM2.58 bilion.
Perkara itu dikongsikan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berdasarkan jawapan bertulis menteri bertarikh 11 Ogos yang turut mengenal pasti keseluruhan 14 pelaburan bermasalah.
Syed Saddiq dedah Al-Rawda catat kerugian terbesar

Daripada tujuh pelaburan yang dibuat rosot nilai 100 peratus itu, Al-Rawda Real Estates merekodkan kerugian paling tinggi iaitu RM1.864 bilion.
Syed Saddiq mendakwa lebih RM1.5 bilion dibayar secara pendahuluan kepada Al-Rawda sebagai orang tengah tanpa jaminan bank, selain mempersoalkan proses semakan teliti yang dilakukan.

Paling teruk pelaburan Al Rawda Real Estates. Kalau baca, memang naik darah. Lebih RM1.5 bilion dibayar secara pendahuluan kepada Al-Rawda sebagai orang tengah. Tiada jaminan bank. ‘Due diligence’ (semakan teliti) hancur,.- Katanya.
Enam lagi pelaburan Tabung Haji turut rugi


Selain Al-Rawda, Trurich Resources Sdn Bhd mencatatkan kerugian RM364 juta, diikuti Putrajaya Perdana Berhad sebanyak RM193.5 juta dan Al Fareeda Residential Fund RM82 juta.
Abraj Sdn Bhd pula merekodkan RM40.2 juta, Emrail Sdn Bhd RM19.3 juta manakala Wellspring Worldwide Ltd sebanyak RM18 juta.
Syed Saddiq turut mendakwa perlindungan terhadap pelaburan TH hanya bergantung kepada nota janji yang dijamin secara peribadi, manakala manfaat penginapan untuk jemaah tidak diterima seperti dirancang dan kutipan sewa terhenti selama bertahun-tahun.

