Oh! Negara
Network School Di Forest City Dikenakan Notis Henti Niaga
Network School di Forest City dikenakan Notis Henti Niaga selepas satu premis didapati beroperasi tanpa lesen sah.
Operasi Network School di Forest City kini berdepan tindakan penguatkuasaan selepas pemeriksaan dibuat oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan, satu daripada dua premis yang digunakan syarikat itu didapati menjalankan operasi tanpa lesen perniagaan MBIP yang sah.
Satu premis didapati tiada lesen

Menurut Onn Hafiz, sebuah premis mempunyai lesen pejabat urusan yang sah. Namun, sebuah lagi premis yang dimiliki warga tempatan didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan.
MBIP kemudian mengeluarkan Notis Henti Niaga terhadap premis berkenaan. Notis Lesen Iklan turut dikeluarkan kerana papan iklan yang dipamerkan tidak mematuhi syarat dan kelulusan diberikan.
Selain daripada itu, syarikat juga didapati telah melanggar jenis perniagaan yang dibenarkan iaitu pejabat urusan dan menggunakannya sebagai ruang kelas serta promosi perniagaan yang tidak dikemukakan permohonan secara terperinci.- Katanya.
Siasatan Network School akan diteruskan

Kerajaan Johor menegaskan MBIP akan meneruskan siasatan terhadap semua perkara yang berada di bawah bidang kuasanya. Tindakan penguatkuasaan lanjut akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan yang sedang berkuat kuasa.
Dalam isu Network School, perkara berkaitan kemasukan warga asing pula berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.
Kerajaan Negeri menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan keputusan yang segera, jelas dan muktamad berhubung status individu yang terbabit serta operasi ‘Network School’.- Katanya.

