Connect with us

Oh! Media

Sakit Ketika Duduk Antara Dua Sujud, Afdhal Tawaruk Atau Membongkok?

Oh! Islam

Sakit Ketika Duduk Antara Dua Sujud, Afdhal Tawaruk Atau Membongkok?

ADVERTISEMENT

SOALAN:
Saya mengalami sakit pada telapak kaki. Saya tidak boleh duduk di antara sujud seperti biasa. Saya hanya boleh sama ada duduk membongkok dengan bertumpu pada lutut, atau duduk seperti duduk tasyahud akhir. Mana lebih utama untuk saya lakukan?

JAWAPAN:
Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut antara syarat sah rukun duduk antara dua sujud ialah:
“I’tidal pada duduknya, dengan menegakkan badan ketika duduk, dan tidak cukup hanya dengan mengangkat kepala, atau duduk dalam keadaan membongkok, melainkan kerana keuzuran.” [Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/285)]

Duduk antara dua sujud boleh dilakukan, apabila terdapat hajat seperti sakit, dalam bentuk tawarruk yakni seperti duduk tasyahhud akhir, apabila seseorang itu duduk dalam keadaan tapak kaki kanannya berdiri tegak, dan jari jemari kaki kanannya menghadap ke arah kiblat. Manakala kaki kirinya dilipat ke arah kaki kanan, dan dia meletakkan bahagian punggungnya di atas lantai atau tanah.

Hukumnya tidak dimakruhkan kerana para ulama’ usul menggagaskan kaedah:

الكَرَاهَة تَزُولُ بالحَاجَة
“Hukum makruh itu hilang apabila wujud keperluan.” [Rujuk: Ma`lamah Zayed (no.267); Syarah Sahih Muslim (5/34) oleh al-Nawawi]

Justeru berdasarkan kenyataan di atas, maka lebih utama seseorang yang tidak boleh duduk iftirasy bagi rukun duduk antara dua sujud untuk duduk secara tawarruk.

Isu kedua ialah adakah boleh ‘duduk’ seperti yang dinyatakan di dalam soalan yakni mengangkat kepala daripada sujud dengan membongkokkan badan serta bertumpu pada kedua-dua lutut, kerana sakit pada hujung jemari kaki?

Kami katakan, sekiranya terdapat pilihan antara ‘duduk’ sebegitu dengan tawarruk maka diutamakan tawarruk. Jika tidak ada pilihan, maka cara tersebut sah kerana terdapat keuzuran, dan dibuat mengikut kemampuan. Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا
“Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaran-Nya) serta taatlah (akan perintah-perintah-Nya).” (Surah al-Taghabun: 16)

Kaedah menyatakan:

المَيْسُورُ لَا يَسْقُطُ بِالمَعْسُوْرُ
“Perkara yang mudah dilakukan tidak jatuh tuntutannya dengan perkara yang sukar dilakukan.” [Rujuk: al-Asybah wa al-Nazo`ir (hlm. 293) oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti]

Ertinya, jika seseorang yang mukallaf itu tidak dapat melaksanakan semua kewajipan yang perlu diraikan dalam satu amalan, jangan sampai amalan itu ditinggalkan secara keseluruhan.

Manakala daripada perspektif hukum, ‘duduk’ seperti itu dibahaskan ulama’ tentang kesahihannya. Ini kerana bentuknya tidak dinamakan duduk pada uruf. Para ulama’ khilaf tentang seseorang yang duduk dalam keadaan membongkokkan badan ke hadapan tetapi kecenderungan lebih mendekati had duduk secara tegak berbanding had sujud. Di sisi jumhur hukumnya adalah tidak sah kerana itu tidak dinamakan duduk tegak. Namun di sisi Syeikh al-Jauhari yang mensyarahkan matan al-Manhaj, hukumnya adalah sah kerana diqiyaskan dengan berdiri. Dalam rukun berdiri, seseorang itu dianggap berdiri sekalipun jika dia bongkok ke hadapan selagi mana tidak sampai kepada had rukuk, iaitu apabila tapak tangan boleh menyentuh lutut. Adapun mengikut pendapat Imam Abu Hanifah, duduk di antara dua sujud memadai dengan hanya mengangkat kepala daripada sujud. [Rujuk: Hasyiah al-Baijuri (1/298); Fath al-`Allam ()2/225) oleh al-Jardani]

Wallahua’lam.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada penanya. Kita berdoa agar Allah SWT memberikan kita kekuatan dan kemudahan untuk beribadah dengan sempurna dan diterima. Amin

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Oh! Islam

Ke Atas