Connect with us

Menamakan Allah Dengan Nama Yang Tidak Terdapat Dalam Al-Quran Dan Hadith

Oh! Islam

Menamakan Allah Dengan Nama Yang Tidak Terdapat Dalam Al-Quran Dan Hadith

SOALAN:
Bolehkah memberikan nama kepada Allah SWT yang tidak terdapat dalam al-Quran dan al-hadith jika dirasakan sesuai dengan sifat keagungan-Nya?

JAWAPAN:
Menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya.” [Surah al-A’raf (180)]

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلا وَاحِدًا مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ
“Sesungguhnya Allah memiliki 99 nama, seratus kurang satu. Sesiapa yang menghitungnya, dia masuk syurga.” [Riwayat al-Bukhari (2736) dan Muslim (2677)]

Ibn Kathir dalam mentafsirkan ayat 180 surah al-A’raf di atas menyebut: “Perlu diketahui bahawa Asma’ al-Husna itu tidak terbatas pada bilangan 99. Ini seperti mana yang disebut dalam hadith riwayat Imam Ahmad. Begitu yang seperti mana diriwayatkan oleh Imam Abi Hatim bin Hibban al-Busti dalam Sahihnya. Imam Abu Bakar Ibn al-‘Arabi, salah seorang Imam Mazhab Maliki dalam kitabnya ‘Aridhah al-Ahwazi bi Syarh Sahih al-Tirmidzi menyebut bahawa ada di antara mereka yang mengumpulkan asma ‘Allah (nama-nama Allah) dari al-Quran dan al-Sunnah sebanyak seribu nama. Wallahua’lam.” (Lihat: Tafsir al-Quran al-Azim, 4/65)

Dalam menjawab persoalan di atas, kita tidak boleh memberi nama kepada Allah dengan nama tertentu sekalipun nama itu benar dengan sifat keagungan-Nya. Ibn Hazm menjelaskan: “Tidak boleh memberikan nama bagi Allah kecuali dengan nama yang Allah SWT telah sebutkan dan khabarkan di dalam al-Quran serta melalui lisan Rasul-Nya atau berdasarkan ijma’ ulama’, tanpa menambahnya meskipun makna dari nama-nama tersebut benar dan sesuai dengan sifat Allah SWT.” (Lihat: al-Fisal fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal, 2/108)

Nama-nama Allah SWT hanya boleh diketahui melalui apa yang dikhabarkan oleh-Nya sendiri di dalam al-Quran atau melalui lisan Rasul-Nya. Ia adalah bersifat tauqifiyyah. Imam al-Nawawi menyebut: “Sesungguhnya nama-nama Allah itu bersifat tauqifiyyah, iaitu tidak boleh ditetapkan kecuali berdasarkan dalil-dalil sahih.” (Lihat: al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 7/188)

Nama-nama tersebut juga tidak boleh ditetapkan dengan cara qiyas. Abu Mansur al-Baghdadi dalam kitabnya tafsir al-Asma’ wa al-Sifat menyebut: “Tidak ada ruang bagi qiyas pada nama-nama Allah. Ini kerana nama-nama Allah itu diambil daripada syarak dan al-tauqif.”

Justeru, hendaklah kita ketahui bahawa nama-nama Allah tersebut bukanlah perkara yang boleh difikir-fikirkan. Sebaliknya, ia mesti terbina di atas dalil al-Quran dan al-Sunnah.

Syeikh Dr. Sa’id bin Ali al-Qahtani pula di dalam Syarh Asma’ Allah al-Husna menjelaskan: “Nama-nama Allah SWT merupakan urusan tauqifiyyah. Tiada ruang untuk akal padanya. Disebabkan itu, wajib untuk tawaqquf pada apa yang ada dalam al-Quran dan al-Sunnah. Tidak boleh ditambah atau dikurangkan. Ini kerana akal tidak mungkin mampu menentukan apakah nama-nama yang layak untuk Allah. Maka wajib mengikut dalil dalam hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” [Surah al-Isra’ (36)]

Firman Allah SWT lagi:

قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَن تُشْرِكُوا بِاللَّـهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّـهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.” [Surah al-A’raf (33)]

Kata Syeikh Dr. Said al-Qahtani lagi: “Menamakan Allah dengan apa yang Dia tidak namakan pada diri-Nya dan mengingkari nama yang Dia berikan pada diri-Nya merupakan satu jenayah pada hak-Nya. Justeru, wajib beradab dalam hal ini dan memadai dengan apa yang disebut dalam dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah.” (Lihat: Syarh Asma’ Allah al-Husna, hlm. 10)

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan kenyataan di atas, jelas bahawa tidak boleh memberi nama kepada Allah dengan nama tertentu sekalipun nama itu benar dengan sifat keagungan-Nya. Hal ini kerana nama-nama tersebut adalah bersifat tauqifiyyah, iaitu hanya boleh diketahui melalui apa yang dikhabarkan oleh-Nya sendiri di dalam al-Quran atau melalui lisan Rasul-Nya.

Oleh itu, sewajarnya kita berpada dengan mengambil dari apa yang telah disebutkan di dalam al-Quran dan al-hadith sahaja dengan tidak menambah dan mengurangkannya kerana akal fikiran tidak mampu untuk mencapai apa yang berhak bagi Allah SWT dari nama-nama-Nya.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam mengamalkan setiap titah perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Amin.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Oh! Islam

To Top