Connect with us

Hukum Orang Kaya Minta Dana Sama Seperti Orang Miskin

Oh! Islam

Hukum Orang Kaya Minta Dana Sama Seperti Orang Miskin

SOALAN:
Pihak kerajaan ada menyediakan dana untuk disumbangkan kepada orang miskin atau orang yang dalam kesusahan untuk meringankan beban hidup dan menampung keperluan mereka. Apakah hukumnya orang kaya atau orang senang yang mempunyai harta yang mencukupi juga meminta sumbangan dana tersebut?

JAWAPAN:
Hukum meminta sedekah atau bantuan harta di sisi ulama’, jika yang meminta itu orang susah adalah harus dan sebahagian ulama’ berkata dengan makruh. Dan jika yang meminta sedekah atau sumbangan harta itu orang yang senang maka hukumnya adalah haram.

Oleh itu orang yang kaya atau orang senang hidupnya yang tidak termasuk dalam kategori miskin dan melarat adalah haram meminta dana yang diperuntukkan oleh pihak kerajaan tersebut. Jika dia telah menerimanya maka wajib dipulangkan semula dan bertaubat kepada Allah.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah R.A, Rasululllah SAW telah bersabda:

لاَ تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ وَلاَ لِذِي مِرَّةٍ سَوِيٍّ
“Tidak halal menerima sedekah bagi orang yang kaya dan orang yang sihat tubuh badannya (untuk bekerja).” (Hadith An-Nasaai dan Ibnu Majah dan Abu Daud)

Tersebut pada kitab Mausu’atul Hadisiyyah:

وفيه: الترهيبُ مِن أكلِ أموالِ الناسِ بالباطِلِ
“Dan pada hadith ini menakutkan dari perbuatan makan harta manusia secara batil.”

Dan tersebut pada kitab Syarah Riadhus Salihin:

ففي هذا دليل على أن سؤال الناس بلا حاجة من كبائر الذنوب
“Dan pada hadith ini menjadi dalil bahawa perbuatan meminta-minta kepada orang dengan tiada keperluan yang mendesak adalah termasuk dosa-dosa besar.”

Diberi Api Neraka

Telah diriwayatkan dari Abu Hurairah R.A bahawasanya Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَأَلَ اَلنَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا, فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا, فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ
“Barangsiapa yang meminta-minta harta dari manusia padahal sudah banyak, sesungguhnya dia telah meminta bara api neraka. Maka terpulang padanya sama ada dia mahu sedikit bara api neraka atau mahu banyak.” (Hadith Muslim)

Dan diriwayatkan dari Sahal bin Hanzaliyyah R.A, dia menceritakan perbualan Rasulullah SAW bersama sahabatnya:

مَن سأَل وعندَه ما يُغنيه فإنَّما يستكثِرُ مِن جمرِ جهنَّمَ . قال: يا رسولَ اللهِ وما يُغنيه ؟ قال: ما يُغدِّيه ويُعشِّيه.
“Barangsiapa meminta bantuan padahal dia sudah mempunyai kecukupan maka sesungguhnya dia hanya memperbanyakkan api neraka.” Berkata seorang sahabat: “Apa maksudnya kecukupan itu?” Jawab baginda: “Dia sudah mempunyai keperluan untuk makan minum pada masa itu.” (Hadith Abu Daud)

Daging Pada Wajah Tercabut Di Akhirat

Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar R.A berkata, Nabi SAW telah bersabda:

مَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَسْأَلُ النَّاسَ ، حَتَّى يَأْتِيَ يَوْمَ القِيَامَةِ لَيْسَ فِي وَجْهِهِ مُزْعَةُ لَحْمٍ
“Seorang yang suka meminta-minta pada manusia sehingga nanti di hari Kiamat dia dalam keadaan muka yang tercabut dagingnya.” (Hadith Bukhari)

Disebut oleh Imam Badaruddin Al-‘Aini:

أَن الَّذِي يَأْتِي يَوْم الْقِيَامَة لَا لحم فِي وَجهه من كَثْرَة السُّؤَال، إِنَّه للسَّائِل تكثرا لغير ضَرُورَة إِلَى السُّؤَال، وَمن سَأَلَ تكثرا فَهُوَ غَنِي لَا تحل لَهُ الصَّدَقَة وَإِذا جَاءَ يَوْم الْقِيَامَة لَا لحم على وَجهه
“Sesungguhnya orang yang datang pada hari Kiamat nanti dalam keadaan tiada berdaging mukanya ialah sebab suka meminta-minta. Dia meminta-minta padahal bukan dalam keadaan susah dan perlu meminta. Siapa yang meminta kerana hendak memperbanyakkan padahal sudah kaya maka tiada halal baginya dan datang dia pada hari Kiamat tidak ada daging pada wajahnya.” (Kitab ‘Umdatul Qaari Syarah Sahih Bukhari)

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Oh! Islam

To Top