Connect with us

Oh! Media

Hadith Perubahan Lafaz Azan Agar Solat Di Rumah

Oh! Islam

Hadith Perubahan Lafaz Azan Agar Solat Di Rumah

SOALAN:
Baru-baru ini, tersebar beberapa rakaman video berkaitan beberapa masjid di negara luar melaungkan ketika dan selepas azan dengan meminta para penduduk agar melakukan solat di kediaman masing-masing. Hal ini, disebabkan kes penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat saban hari memungkinkan untuk ditangguh terlebih dahulu sebarang aktiviti di masjid termasuklah solat jemaah. Apakah benar terdapat hadith berkaitan perubahan lafaz azan agar solat di rumah?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Berdasarkan soalan di atas, laungan azan agar melakukan solat di rumah adalah tsabit dan terdapat di dalam hadith yang sahih berdasarkan kepada riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab mereka. Bahkan peristiwa ini pernah berlaku di zaman Nabi SAW sebagaimana yang disebutkan di dalam beberapa riwayat seperti:

1. Daripada Ibn Umar R.anhuma bahawa beliau telah azan pada satu malam yang sejuk dan berangin dengan berkata:

أَلاَ صَلُّوا فِي الرِّحَالِ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْمُرُ المُؤَذِّنَ إِذَا كَانَتْ لَيْلَةٌ ذَاتُ بَرْدٍ وَمَطَرٍ، يَقُولُ: أَلاَ صَلُّوا فِي الرِّحَالِ
“Solatlah kamu di rumah kamu.” Kemudian beliau berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan muazzin sedemikian sekiranya malam tersebut teramat sejuk dan hujan teramat lebat dengan berkata: “Solatlah kamu di rumah kamu.” [Riwayat al-Bukhari (666) dan Muslim (697)]

2. Daripada Usamah bin Umair R.A berkata:

أَنَّ يَوْمَ حُنَيْنٍ كَانَ يَوْمَ مَطَرٍ، فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مُنَادِيَهُ: أَنَّ الصَّلَاةَ فِي الرِّحَالِ
“Pada hari peperangan Hunaian berlaku hujan teramat lebat. Maka Nabi SAW mengarahkan muazzin untuk melaungkan: “Solat di rumah.” [Riwayat Abu Daud (1057) dan Ahmad (20700), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih]

Terdapat beberapa lagi riwayat lain yang menceritakan berkaitan arahan Nabi SAW agar muazzin melaungkan solat di rumah. Selain itu, terdapat keluasan pada tempat diucapkan “solatlah kamu di rumah” sebagaimana disebutkan oleh para ulama’ sama ada ia diucapkan ketika azan atau selepas selesai melaungkan azan. [Lihat: al-Masail al-Muhimmah fi al-Azan wa al-Iqamah, 96]

Ini kerana, berdasarkan kepada beberapa riwayat laungan ini diucapkan berbeza-beza tempatnya. Antaranya:

1. Daripada Nu’aim bin al-Nahham R.A berkata ketika mendengar muazzin Nabi SAW melaungkan azan:

فَلَمَّا بَلَغَ حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ، قَالَ: صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ
“Apabila sampai pada hayya ‘ala al-Falah. Dia (muazzin) berkata: “Solatlah kamu di rumah kamu.” [Riwayat Ahmad (17933), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan]

2. Daripada Abdullah bin Harith berkata:

خَطَبَنَا ابْنُ عَبَّاسٍ فِي يَوْمٍ رَدْغٍ، فَلَمَّا بَلَغَ المُؤَذِّنُ حَيَّ عَلَى الصَّلاَةِ، فَأَمَرَهُ أَنْ يُنَادِيَ الصَّلاَةُ فِي الرِّحَالِ
“Pada satu hari, Ibn Abbas sedang menyampaikan khutbah kepada kami dalam keadaan hari penuh dengan lumpur. Apabila muazzin sampai pada hayya ‘ala al-Salah, dia diperintahkan untuk mengucapkan: “Solatlah kamu di rumah.” [Riwayat al-Bukhari, 616]

Di dalam al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah ada dinyatakan bahawa dibolehkan bagi muazzin ketika dalam keadaan hujan yang teramat lebat, ribut atau sejuk yang melampau untuk melaungkan “solatlah kamu di rumah kamu” dan ia dilaungkan selepas daripada azan. [Lihat: al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/362]

Adapun di dalam kitab Raudhah al-Tholibin oleh Imam al-Nawawi ada disebutkan bahawa sunat bagi muazzin untuk melaungkannya selepas azan “solatlah kamu di rumah kamu”. Sekiranya dia ingin melaungkan ketika azan maka ia dilaungkan selepas daripada al-Haila’ah (hayya ‘ala al-Solah atau hayya ‘ala a-Falah) tidak menjadi masalah. [Lihat: Raudhah al-Tholibin, 1/208]

Antara penambahan yang boleh disebutkan adalah:

أَلَا صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ
“Hendaklah kamu solat di tempat tinggal kamu.”


أَلَا صَلُّوا فِي بُيُوْتِكُمْ
“Hendaklah kamu solat di rumah kamu.”

Penutup

Kesimpulannya, peristiwa dilaungkan agar solat dilakukan di rumah pernah berlaku di zaman Nabi SAW dan ia merupakan satu sunnah apabila ditimpa sesuatu musibah yang menyukarkan seseorang itu ke masjid atau membahayakan dirinya berdasarkan kepada beberapa riwayat yang telah disebutkan di atas. Selain itu, ke atas muazzin diberi pilihan untuk melaungkannya selepas atau ketika azan. Akhirnya, semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada wabak COVID-19 yang berbahaya ini serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa mendirikan solat dalam apa jua keadaan sekalipun. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Oh! Islam

Ke Atas