Oh! Bisnes
Pelabur Berebut Saham! Catcha Digital Terlebih Langgan 78.25%, Raih Dana RM24.33 Juta
Catcha Digital raih RM24.33 juta selepas Terbitan Hak terlebih langgan 78.25%, kukuhkan kedudukan dalam ekonomi digital ASEAN.
Catcha Digital Berhad (Bursa Malaysia: 0173) sekali lagi mencuri perhatian apabila berjaya menamatkan terbitan hak saham baharunya dengan kejayaan besar apabila ia terlebih langgan sebanyak 78.25%, sekaligus mengumpul dana kasar berjumlah RM24.33 juta.
Terbitan saham Catcha Digital yang ditutup pada 29 Oktober 2025 telah menerima 160.64 juta permohonan, walaupun hanya 90.12 juta saham ditawarkan.
Catcha Digital berjaya kumpul sebanyak RM24.33 juta
Setiap pemegang saham lama boleh beli 1 saham baharu untuk setiap 4 saham sedia ada pada harga RM0.27 satu saham, dan bagi setiap saham baharu yang dibeli, mereka akan dapat 2 waran percuma. Melalui penawaran ini, Catcha Digital berjaya kumpul sebanyak RM24.33 juta.
Kejayaan ini dilihat sebagai bukti keyakinan pelabur terhadap hala tuju dan strategi syarikat dalam membina kumpulan digital terkemuka di rantau ASEAN.

Pengerusi Catcha Digital, Patrick Grove berkata:
Permintaan kukuh terhadap Terbitan Hak kami, yang menyaksikan terlebih langgan sebanyak 78.25%, jelas menunjukkan sokongan dan keyakinan pemegang saham terhadap visi dan strategi kami. Kami amat menghargai sokongan padu mereka ketika kami terus melaksanakan visi tersebut.
Tambah Patrick Grove lagi, kejayaan pengumpulan modal ini mengukuhkan lagi kedudukan Catcha Digital untuk membina kumpulan digital terkemuka di ASEAN.
Sementara itu, sebanyak 90,120,544 saham baharu dan 180,241,088 waran dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada atau sekitar 13 November 2025.
Catcha Digital menyasarkan untuk terus memperkukuh kedudukannya dalam ekonomi digital ASEAN yang kini bernilai sekitar RM1 trilion, menurut laporan SEA e-Conomy 2024 oleh Google, Temasek, dan Bain & Company.
Syarikat ini juga aktif menjalankan pelbagai pemerolehan strategik, dengan tujuh pengambilalihan diumumkan dalam tempoh 12 bulan terakhir.
Kesemua pemerolehan itu diunjurkan menjana keuntungan sekitar RM26.7 juta secara keseluruhan berdasarkan tempoh 12 bulan selepas selesai atau pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Tujuh pemerolehan strategik Catcha Digital

Antara pemerolehan utama termasuk pegangan 60% dalam One International Exhibition Sdn Bhd bernilai RM11.38 juta yang disiapkan pada Ogos 2025, serta 92.5% kepentingan dalam Theta Service Partner Sdn Bhd bernilai RM35 juta yang kini menunggu kelulusan akhir.
Selain itu, Catcha Digital turut memperoleh 51% kepentingan dalam DS Services Sdn Bhd (Digital Symphony) bernilai RM22.95 juta dan 60% dalam Framemotion Studio Sdn Bhd bernilai RM37.32 juta. Kedua-duanya masih menunggu pematuhan syarat-syarat perjanjian.
Dua lagi pemerolehan yang telah diselesaikan termasuk Drive 2 Digital Sdn Bhd (60%) pada Mei 2025 dan Tastefully Malaysia Sdn Bhd (70%) pada Jun 2025.
Sementara itu, Nexible Solutions Sdn Bhd (51%) disiapkan pada Januari 2025 dengan jaminan keuntungan selepas cukai sehingga RM3.3 juta menjelang 2027.
Pssttt! Langkah berani Catcha Digital ini membuktikan syarikat tempatan juga mampu bersaing dalam ekonomi digital serantau. Dengan sokongan pelabur yang kukuh dan strategi pemerolehan berfokus, Catcha Digital dilihat semakin hampir merealisasikan visinya untuk menjadi peneraju digital ASEAN. Tahniah!
Kredit: Catcha Digital
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.