Oh! Artis
Yasin Tetap Beri Kerjasama Selepas Kediaman Diserbu Pihak Polis
Oleh
Pada Mac tahun lalu, penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman kelihatan cemas sewaktu unit kediaman kondominiumnya diserbu oleh pihak polis.
Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin, memaklumkan, Yasin berkelakuan sedemikian selepas dia dan beberapa anggota lain memperkenalkan diri sebagai polis.
Selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis, tertuduh yang sedang berdiri dilihat cemas serta terkejut dengan kehadiran polis. Semasa serbuan hanya tertuduh seorang berada di dalam rumah itu.
Malah, saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian dalam pemeriksaan utama ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengenai keadaan Yasin ketika serbuan dilakukan.
Menurutnya, walaupun Yasin kelihatan cemas dan terkejut dia tetap memberikan maklum balas dan kerjasama yang baik kepada polis.
Terdahulu, pada 24 Mac tahun lalu, lebih kurang jam 5.30 petang, dia bersama pasukan serbuan tiba di hadapan sebuah rumah di kondominium itu dan mendapati pintu jeriji besi hadapan dan pintu kayu utama rumah tertutup rapat dan berkunci.
Khuatir barang kes dilupuskan saya arahkan Lans Koperal Yusri untuk mengumpil pintu jeriji besi dan kemudian mengarahkan Sarjan Allif untuk memecahkan pintu kayu utama rumah itu. Selepas pintu jeriji besi dan pintu kayu utama rumah berjaya dibuka, saya dan pasukan serbuan masuk ke dalam rumah, saya perkenalkan diri sebagai polis dengan menunjukkan kad kuasa dan tahan seorang lelaki Melayu (tertuduh) di hadapan pintu masuk utama dalam rumah itu.
Dengan disaksikan oleh tertuduh dan saksi polis yang hadir, saya buat pemeriksaan di bahagian dapur rumah dan menemui satu bekas plastik berwarna biru dan hitam dari atas kabinet dapur.
Darwis turut berkata hasil pemeriksaan lanjut di dalam bekas plastik menemui satu plastik lutsinar bertulis ‘Diamond’ di dalamnya berisi ketulan mampat daun kering disyaki dadah ganja (berat 74 gram) dan satu plastik lutsinar bertulis ‘Diamond’ yang berisi leraian daun kering disyaki ganja (berat 140 gram) di dalam bekas plastik itu dengan jumlah keseluruhan dadah seberat 214 gram.
Kami kemudian melakukan pemeriksaan di bahagian ruangan dapur dan menemui satu almari kain berwarna hitam dan di dalamnya terdapat tiga pokok dalam pasu disyaki pokok ganja.
Turut dirampas dalam ruangan almari itu, satu botol cecair pemusnah serangga, satu alat pengukur kandungan PH air, satu alat penyukat suhu, satu lampu ‘grow light’, dua lampu LED, dua lampu limpah dan satu alat menyiram tanaman. Selain itu satu alat pengudaraan yang disambungkan ke almari kain itu, pemeriksaan seterusnya dalam bilik pertama sebelah kiri rumah menemui 13 pokok dalam pasu disyaki pokok ganja dalam almari pakaian itu.
Tambahan, pemeriksaan di ruangan balkoni rumah kemudian menemui satu pokok dalam pasu disyaki pokok ganja dan turut dirampas dari atas meja bahagian ruang rumah itu adalah pasport milik tertuduh atas nama Muhammad Yasin Sulaiman dan barangan peribadi lain.
Sewaktu ditanyakan mengenai keadaan almari yang ditemui, memaklumkan almari itu berfungsi dengan baik ketika serbuan yang mana lampu dalam almari menyala dengan satu alat pengudaraan juga turut dipasang.
Raja Zaizul: Ada keluar bau apa-apa?
Darwis: Ketika serbuan saya masuk ke bahagian dapur, saya hidu bau ganja.
Selepas disoal pihak pendakwaan, saksi itu tidak disoal balas oleh peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin.
Mengikut pertuduhan pertama, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5 petang.
BACA: Diarah Periksa Mental Di Tanjung Rambutan, Ini Perkembangan Terkini Yasin Sulaiman
Sebelum ini kami ada kongsikan berita Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini mengarahkan penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak.
Kredit: Berita Harian
+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media.
Hai semua! Saya penulis separuh masa di Oh! Media berkaitan isu-isu trending dan hiburan.