Connect with us

Oh! Media

“Kalimah Allah Sama Sekali Tidak Boleh Diletakkan Di Tempat Yang Salah” – Sultan Selangor

Oh! Islam

“Kalimah Allah Sama Sekali Tidak Boleh Diletakkan Di Tempat Yang Salah” – Sultan Selangor

Isu penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible terjemahan Bahasa Melayu dilarang sama sekali di Selangor. Ini selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah untuk melarang penggunaan kalimah Allah dalam bentuk pencetakan buku mahupun tulisan atau dalam bentuk apa sekalipun untuk agama Kristian.

ADVERTISEMENT

Titah Sultan Selangor ini dikongsikan di Facebook rasmi Selangor Royal Office dan Sultan Selangor dengan tegas mengatakan kalimah Allah adalah satu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk Tuhan Yang Maha Esa.

Kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa, yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

Namun demikian sekiranya perkataan ‘Tuhan’ digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan ‘God’, beta tiada halangan atas penggunaan perkataan ‘Tuhan’ tersebut. – Titah baginda.

Apa yang disampaikan baginda ini selaras dengan  keputusan Mahkamah Persekutuan dalam Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada 2014 dan fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Feb 2010, yang menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain.

Beta menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam terutamanya umat Islam di Selangor, untuk menjaga kesucian kalimah Allah pada setiap masa dan di dalam apa jua keadaan sekali pun.

Beta juga menitahkan agar rakyat Beta yang bukan beragama Islam di Selangor, sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah seperti mana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988), yang diwartakan pada 7 Julai 1988. – Titah baginda.

Sebelum ini, Sultan Johor turut telah meminta kerajaan Persekutuan untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai penggunaan kalimah Allah ini dan Sultan Sharafuddin turut menyokong.

Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka, maka Beta juga menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam, khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam.

Beta juga menitahkan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), untuk memohon kepada mahkamah sebagai pihak pencelah dalam rayuan tersebut dan turut menyeru agar perkara yang sama dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam. – Titah baginda lagi.

Kredit: Selangor Royal Office

+ Baca respon pembaca di Facebook Oh! Media.

Comments

Lagi dalam kategori Oh! Islam

Ke Atas