Oh! Negara
Asyraf Wajdi Tulis ‘Alhamdulillah’, Mesyuarat Pengampunan Najib Jadi Tumpuan
Hantaran “Alhamdulillah” Asyraf Wajdi tarik perhatian ketika mesyuarat pengampunan Najib berlangsung di Istana Negara.
Satu perkataan sahaja sudah cukup buat ramai tertanya-tanya. Hantaran “Alhamdulillah” daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pagi ini terus menjadi perhatian di media sosial.
Menariknya, hantaran ringkas itu muncul ketika tumpuan sedang terarah ke Istana Negara susulan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang turut melibatkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Bagaimanapun, Asyraf Wajdi tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan menerusi hantaran tersebut.
Mesyuarat di Istana Negara jadi perhatian

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilihat memasuki pekarangan Istana Negara sekitar jam 7.48 pagi sebelum meninggalkan lokasi sekitar jam 9.40 pagi. Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar turut hadir dalam mesyuarat berkenaan.
Sehingga jam 9.40 pagi, masih belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai keputusan mesyuarat tersebut. Pertimbangan terhadap permohonan pengampunan Najib sebelum ini ditangguhkan ketika mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 11 September lalu.
Hannah nafi dokumen tahanan rumah

Sebelum mesyuarat berlangsung, Hannah turut tampil menafikan pernah menandatangani dokumen berkaitan perintah tahanan rumah Najib yang tular di media sosial.
Saya tidak pernah menandatangani perintah tahanan rumah seperti yang sedang tular di media sosial. Lembaga Pengampunan masih belum bersidang.
Tolong jangan sebarkan dokumen palsu ini. Setiausaha Akhbar saya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa.- atanya.
Buat masa ini, maksud sebenar di sebalik hantaran “Alhamdulillah” Asyraf Wajdi masih belum diketahui dan perkembangan rasmi mengenai mesyuarat berkenaan masih dinantikan.
