Oh! Negara
Altimet Tegur Ridhuan Tee Isu Sepanduk Hungry Ghost Festival, Minta Hormati Kepelbagaian Budaya
Altimet tegur isu sepanduk Hungry Ghost Festival dan minta rakyat hormati budaya kaum lain.
Penyanyi rap dan ADUN Lembah Jaya, Altimet tampil memberikan penjelasan isu sepanduk sambutan Hungry Ghost Festival yang didakwa tidak menggunakan Bahasa Melayu.
Menerusi perkongsian di Threads, Altimet menegaskan bahawa perbezaan budaya tidak sepatutnya dijadikan punca perpecahan, sebaliknya perlu ditangani dengan matang mengikut konteks dan peraturan yang ditetapkan.
Hungry Ghost Festival sebahagian budaya Tiong Hua

Altimet menjelaskan bahawa Hungry Ghost Festival atau Perayaan Hantu Lapar merupakan sebahagian daripada tradisi masyarakat Tiong Hua yang diamalkan sejak turun-temurun.

Menurutnya, perayaan itu berkait dengan nilai mengenang leluhur, menghargai generasi terdahulu serta melakukan kebajikan kepada roh yang dipercayai tidak mempunyai keluarga atau waris untuk memperingati mereka.
Mengulas isu penggunaan bahasa pada sepanduk tersebut, Altimet berkata perkara itu perlu dilihat dari sudut konteks dan tujuan sesuatu bahan komunikasi.

Jelasnya, jika sepanduk itu ditujukan khusus kepada komuniti tertentu, penggunaan bahasa komuniti berkenaan bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Namun, apabila bahan promosi dipasang di ruang awam dan tertakluk kepada peraturan pihak berkuasa tempatan, semua garis panduan termasuk penggunaan Bahasa Melayu tetap perlu dipatuhi.
Saya selaku ADUN Lembah Jaya telah meminta pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil tindakan jika ada syarat yang tidak dipenuhi. Dan tindakan telah pun diambil.
Altimet turut menegaskan prinsipnya bahawa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan mesti dihormati, namun pada masa sama hak setiap masyarakat untuk mengamalkan adat, budaya dan perayaan masing-masing juga perlu diraikan.

Dalam perkongsian sama, Altimet turut menegur Saudara Ridhuan Tee agar tidak menjadikan isu kebudayaan seperti ini sebagai bahan untuk mencetuskan kecurigaan atau ketegangan antara masyarakat.
Menurutnya, jika terdapat ketidakpatuhan terhadap garis panduan pihak berkuasa tempatan, perkara itu boleh diperbetulkan tanpa perlu dijadikan konflik perkauman.
Beliau turut mengingatkan agar keharmonian masyarakat Ampang yang dibina sejak puluhan tahun tidak dirosakkan hanya kerana satu sepanduk.

