Trending
“Tak Sangka Malaysia Macam Ni…” – Wanita Indonesia Kagum, Pemandu E-Hailing Sanggup Pandu Sejam Hantar Wang Tercicir
Pemandu e-hailing menolak upah berkata itu adalah tanggungjawabnya.
Siapa yang tak panik kalau tiba-tiba sedar sampul berisi wang ratusan ringgit hilang ketika sedang berjalan-jalan di negara orang?
BACA: Abang E-Hailing Halau Budak Uni Masuk Kereta Lebih Had
Itulah yang dialami seorang wanita Indonesia selepas menyedari sampul berisi lebih RM300 miliknya dipercayai tertinggal di dalam sebuah kereta e-hailing ketika berada di Kuala Lumpur.
Baru sedar wang hilang selepas dua jam
Menerusi perkongsian di Threads, wanita yang menggunakan nama akaun Katherine Sabatinis itu mengakui dia berada dalam keadaan agak tergesa-gesa kerana bangun lewat.
Dia kemudian menaiki Bolt menuju ke Dataran Merdeka sebelum meluangkan masa kira-kira dua jam untuk mengambil gambar dan makan di sebuah restoran.

Namun, ketika dalam perjalanan ke Niko Neko, dia baru menyedari sampul berisi wang miliknya sudah tiada.
Dalam keadaan cemas, dia bertanya kepada orang sekeliling, namun sampul itu masih gagal ditemukan.
Nasib menyebelahinya apabila rakannya terfikir untuk menghubungi semula pemandu e-hailing yang dinaiki mereka sebelum itu.
Pemandu e-hailing berada jauh di Bukit Jalil

Panggilan tersebut akhirnya dijawab oleh pemandu berkenaan yang ketika itu berada jauh di Bukit Jalil.
Menurut wanita itu, pemandu tersebut memaklumkan dia hanya mampu datang menghantar semula barang berkenaan selepas kira-kira satu jam.
Menerusi tangkap layar perbualan WhatsApp yang dikongsikan, pemandu itu turut meminta lokasi wanita berkenaan sebelum bergerak untuk memulangkan sampul tersebut.
Walaupun terpaksa memandu dari lokasi yang jauh, lelaki itu tetap datang menghantar semula sampul berisi wang berkenaan.
Sampul langsung tak dibuka
Sebaik sahaja sampul itu diterima, wanita berkenaan segera memeriksa kandungannya. Lebih mengharukan, wang tersebut masih berada dalam keadaan lengkap dan sampul itu juga dikatakan langsung tidak dibuka.
Sebagai tanda penghargaan, dia cuba memberikan sedikit wang kepada pemandu berkenaan bagi menampung kos perjalanan.

Bagaimanapun, pemandu yang dikenali sebagai Muhammad itu menolak pemberian tersebut dan mengatakan bahawa tindakannya hanyalah satu kewajipan.
Perkongsian tersebut mengundang perhatian ramai yang tersentuh dengan kejujuran pemandu e-hailing berkenaan.
Seorang pengguna yang mengaku sebagai rakyat Indonesia menetap di Malaysia turut memuji sikap jujur rakyat di negara ini.
Seorang lagi pengguna turut berkongsi pengalaman hampir sama apabila begnya yang tertinggal di tandas sebuah pusat beli-belah ditemukan oleh petugas pembersihan dan diserahkan kepada kaunter khidmat pelanggan.
Pssttt! Kadang-kadang, satu perbuatan jujur yang dianggap kecil mampu meninggalkan kesan besar dalam hati seseorang. Sikap pemandu ini bukan sahaja memulangkan wang yang hilang, malah turut memberikan gambaran baik tentang rakyat Malaysia kepada pelancong luar.
Kredit: Thread @katherinesabatinis
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
