Connect with us

Saksi Pakar Nyatakan Adib Ditarik dan Dihentak

Umum

Saksi Pakar Nyatakan Adib Ditarik dan Dihentak

Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim mungkin ditarik keluar daripada van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan terhimpit di daun pintu sebelum dihentak dua atau tiga individu dengan kuat sehingga menyebabkan tujuh tulang rusuk kiri patah.

Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (dulu dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Dr Shahrom Abd Wahid, berkata berdasarkan video lakonan semula kejadian dan corak kecederaan pada mangsa, kemungkinan besar daya yang menyebabkan mangsa terhimpit antara dua permukaan keras adalah hentaman pintu ke dada kanan Muhammad Adib, 24.

Dr Shahrom berkata, selain itu terdapat individu menghentak mangsa sekuat hati dengan daya lebih 3,000 Newton atau lebih daripada tiga orang sehingga menyebabkan patah pada tulang rusuk.

Saksi pakar itu berkata, rumusan dibuat daripada hasil rekontraksi dan lakonan semula kes Muhammad Adib berdasarkan sumber material yang diberi kepadanya, beliau mencadangkan luka sagat di dada kanan, di belakang pinggang dan patah tulang rusuk mangsa disebabkan beberapa perkara.

“Ia disebabkan mangsa diseret keluar daripada van yang dinaikinya berdasarkan luka sagat melintang pada bahagian belakang badan, selain butang satu, dua dan empat tercabut daripada pakaian seragam bomba.

“Kemudian daun pintu EMRS diterajang sehingga menyebabkan luka sagat dan patah tulang tulang rusuk di dada kanan atas dan lebam paru-paru kanan.

“Daun pintu EMRS sekali lagi diterajang menyebabkan dua lebam pada bahagian depan atas lengan kanan, manakala bahagian belakang kiri badan mangsa ditolak dengan kuat mengenai bahagian sisi menegak daun pintu menyebabkan patah tulang rusuk kiri posterior dan lebam paru-paru kiri,” katanya pada prosiding inkues hari ke-23, di Mahkamah Koroner, di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa mati akibat kecederaan parah pada paru-paru kiri dan kanan akibat hentakan trauma tumpul yang mana hentakan trauma tumpul bukan disebabkan perbuatan diri sendiri, tetapi akibat perbuatan dua atau lebih individu lain.

Menjawab soalan peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Bomba, Syazlin Mansor, saksi ke-29 itu berkata, tidak mungkin mangsa terhimpit akibat EMRS dan jentera Fire Rescue Team (FRT) atau mana-mana kenderaan.

“Sekiranya terhimpit antara EMRS dan FRT, besar kemungkinan mangsa akan mati di tempat kejadian,” katanya.

Beliau turut merumuskan kemungkinan yang diperoleh hasil rekontraksi dan lakon semula adalah berdasarkan sains forensik kerana tidak berada di tempat kejadian.

Sumber penuh: Berita Harian

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Skop penulisan merangkumi segala aspek terkini & viral.

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top